Oleh pada 22 Jul 2019 kategori

Petik saja bahasa Arab, kita akan terus terbayangkan orang-orang Arab yang tinggal di Arab Saudi, Mesir dan kawasan sekitarnya. Sedangkan bahasa Arab sebenarnya turut sama diletakkan sebagai bahasa rasmi beberapa negara yang tidak kita sangkakan - seperti Djibouti, Eritrea, Somalia serta Republik Chad yang terletak di benua Afrika.

Selain itu bahasa Arab juga diiktiraf oleh beberapa negara lain sebagai bahasa minoriti seperti di Mali, Senegal dan Cyprus. Dianggarkan ketika ini, wujud seramai 420 juta individu yang fasih berbahasa Arab di seluruh dunia meletakkan Arab dalam kedudukan ke 5 bahasa paling ramai pengguna.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Menjadi bahasa yang digunakan dalam tulisan kitab suci al-Quran, tidak dapat dinafikan pengaruh kitab suci itu menyebabkan penggunaan bahasa Arab meningkat, bukan saja di kalangan masyarakat Muslim bahkan di kalangan mereka yang mahu mengkaji kitab tersebut. Tetapi, pernahkah anda terfikir bagaimana bahasa Arab terbentuk?

Asas sebenar bahasa Arab

geografi bahasa semit

Bahasa Arab berasal daripada keluarga bahasa Afroasia, dipercayai bermula daripada bahasa Semit yang diamalkan oleh orang-orang Samiyyah. Juga dikenali sebagai bahasa Arab kuno, bahasa ini juga dikenali sebagai 'sem'; jadi bahasa semit dan sem merujuk kepada sejenis bahasa yang serupa.

Istilah 'semit' ini diperkenalkan oleh seorang pengkaji Jerman bernama August Ludwig Schlotzer dalam hasil tulisannya. Bahasa semit boleh dibahagikan kepada dua, bergantung kepada kedudukan geografi dan dinamakan sebagai bahasa Semit timur dan bahasa Semit barat, dengan bahasa Arab yang ada sekarang ini datangnya daripada pecahan bahasa semit barat.

Peredaran zaman serta pergerakan manusia ke daerah-daerah baru menyebabkan bahasa Arab turut sama berpecah dua kepada Arab utara dan Arab selatan, yang turut dikenali sebagai bahasa Yamani kuno.

Bahasa Arab yang wujud sekarang ini berasal daripada bahasa Arab utara, mengambil elemen-elemen bahasa semit lain seperti bahasa Aramaik dan Kanaanit.

Tempat orang Samiyyah

orang arab badwi

Orang Samiyyah yang dikatakan masyarakat yang mula-mula menggunakan bahasa Semit, merupakan sebuah bangsa nomad - jadi untuk menyatakan asal sebenar mereka agak sukar, kerana mereka mengamalkan kehidupan berpindah-randah.

Oleh kerana itu, wujud banyak pendapat yang membincangkan tentang lokasi sebenar penggunaan bahasa semit bermula. Pendapat paling popular menyifatkan orang Samiyyah ini pada awalnya duduk di kawasan Semenanjung Arab, sebelum mula bergerak ke tempat lain.

Ada juga yang menyatakan mereka datang dari Iraq, negera Kan'an yang kini terletak di Syria, Armenia, utara benua Afrika iaitu negeri-negeri Habsyi dan ada juga mengatakan mereka berasal dari Babylon.

Berdasarkan kepada catatan yang ada tentang di mana bermulanya bahasa Semit ini, tetapi persamaan yang ada adalah kedudukannya tetap akan berkisar di kawasan-kawasan Semenanjung Arab. Orang Samiyyah akan berpindah ke kawasan yang mempunyai sumber mata air seperti oasis, sekiranya kawasan yang mereka diami telah kering kontang.

Sebelum tibanya Bahasa Arab sekarang

alquran abad ke 7

Nenek moyang orang Samiyyah dipercayai berkomunikasi menggunakan bahasa Hebrew atau Ibrani, yang dipercayai menjadi antara bahasa terawal di dunia. Bagaimanapun, beberapa pendapat lain menyifatkan asal bahasa Semit datangnya daripada suru-galur bahasa Arab yang diketagorikan sebagai bahasa Arab proto (proto Arabic) dan juga bahasa Arab kuno (old Arabic/al-arabiyyah al-qadimah).

Wujud beberapa persamaan yang kuat di antara sistem komunikasi orang Samiyyah dengan bahasa Arab lama, seperti penggunaan huruf yang mempunyai bunyi yang perlu dikeluarkan daripada rongga halkum iaitu huru 'ain, gh'ain, ha', kha' dan ha'mzah. Huruf-huruf yang digunakan juga mempunyai persamaan seperti huruf 'sod, dod, tho yang zho yang bunyinya agak tebal - menyamai teknik sebutan Arab kuno.

Membentuk perkataan dalam bahasa Semit juga menggunakan sistem 'thulati 3 huruf' (pembentukan perbendarahaan kata) mirip dengan sistem bahasa Arab kuno.

Rajah susur galur bahasa Arab

rumpun bahasa semit

Bahasa Arab dalam dunia moden

modern arabic

Dalam zaman sekarang, bahasa Arab boleh dikategorikan kepada beberapa kelas yang berbeza, bergantung kepada faktor geografi.

  1. Terdapat 7 kumpulan bahasa Arab yang ada berdasarkan kepada kedudukan penuturnya iaitu:Kumpulan Maghrebi yang mewakili orang Maghribi, Tunisia, Algeria dan Libya
  2. Kumpulan Sudan mewakili orang Sudan, Chad dan Juba
  3. Kumpulan Mesir mewakili orang Mesir dan Sai'di
  4. Kumpulan Semenanjung Arab iaitu kumpulan terbesar mewakili negara yang tinggal di kawasan tersebut
  5. Kumpulan Mesopotamia mewakili mereka yang tinggal di Iraq
  6. Kumpulan Levantin yang mewakili orang Lebanon, Syria, Jordan dan Palestin
  7. Serta kumpulan paling kecil, kumpulan penutur Andalusia mewakili komuniti kecil penutur di utara Afrika.

Dari segi bidang akademik pula, bahasa Arab boleh dipecahkan kepada dua kumpulan : standard moden Arab dan juga Arab klasikal. Walaupun begitu, untuk penutur bahasa Arab sendiri, tidaklah wujud perbezaan yang ketara antara kedua kategori ini, kerana kategori ini wujud adalah untuk membezakan sistem bahasa dan tulisan bahasa Arab terdahulu dengan sekarang.

Bahasa Arab klasikal adalah sistem bahasa yang digunakan dalam penulisan kitab suci al-Quran, membolehkan sistem itu turut sama digelarkan sebagai 'bahasa Quranik' selain daripada koleksi-koleksi literatur yang diusahakan pada zaman tersebut, sekitar era pemerintahan Umayyah dan Abbasiyah pada abad ke 8 dan 9.

Sementara bahasa Arab sekarang dikategorikan sebagai Standard Bahasa Arab Moden, dalam kehidupan seharian dalam pertuturan, media dan juga percakapan formal. Tidak banyak perbezaan yang jelas dalam kedua-dua kategori bahasa Arab sekarang, kecuali beberapa perbezaan kecil seperti penambahan istilah-istilah baru yang belum wujud dalam tatabahasa Arab Klasikal.

Mengikut kata mereka yang mahir, untuk mempelajari bahasa Arab dengan lebih mudah - kenalpasti tujuan anda belajar sebagai titik permulaan. Nak mudahkan komunikasi dengan orang Arab? Belajar standard bahasa Arab moden. Nak mendalami al-Quran dengan lebih jelas? Ambil kursus bahasa Arab klasik.

Lama-kelamaan, tak susah untuk anda membiasakan diri dengan kedua-duanya. Maah salamah!

Rujukan

UPM Press (PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)