Jika anda menelusuri internet, pasti agak kerap juga anda akan menemui artikel dan perkongsian berkenaan dakwaan bahawa wabak penyakit yang kerap berlaku, merupakan hasil percubaan senjata biologi - yang sengaja disebarkan.
Kami tidaklah mahu membincangkan tentang isu tersebut, tetapi idea untuk menggunakan virus dan bakteria sebagai senjata, sebenarnya telah pun diamalkan lebih awal oleh masyarakat zaman dahulu. Menyebabkan idea bahawa ada pihak sengaja menyebarkan wabak sebagai usaha melemahkan musuh, pasti akan sentiasa tertanam dalam kepala kita.
BESARKAN TEKS A- A+
Kajian sejarah sebenarnya memang merekodkan beberapa insiden 'serangan senjata biologi' berbentuk primitif pernah digunakan, dengan serangan pertama telah dicatat berlaku pada tahun 1155 di Itali.
1. Raja Barbarossa mencemarkan bekalan air dengan mayat
Dalam insiden terawal yang merekodkan penggunaan bahan tercemar sebagai agen pelemah musuh, Raja Frederick Barbarossa yang memerintah Itali dan Jerman pernah menggunakan taktik keji - sengaja mencampakkan mayat-mayat manusia ke dalam perigi yang digunakan oleh penduduk Tortona bagi memastikan bekalan air mereka dicemari.
Menurut catatan, tidak jelas mengapa tindakan itu dilakukan oleh Barbarossa - sama ada dengan niat mahu menyebarkan wabak atau 'sekadar' mahu mencemarkan bekalan air yang ada. Barbarossa bercita-cita mahu meluaskan jajahannya ke bahagian utara Itali memilih kaedah tersebut bagi mempercepatkan kejatuhan Kota Tortona, selepas perang itu berlanjutan lebih dua bulan lamanya.
Insiden tahun 1155 itu berakhir dengan kemenangan mudah tentera Barbarossa berjumlah 5,400 orang yang hanya perlu menentang 300 orang askar militia Tortona yang tinggal. Kemenangan Barbarossa dalam pertempuran itu pada 18 April 1155 menjadi permulaan kepada gerakan beliau menyatukan wilayah-wilayah dalam Itali, sehinggalah dia berjaya naik menjadi Raja Empayar Rom pada 18 Jun tahun yang sama.
2. Tentera Monggol campak mayat sebagai peluru
Peperangan Kaffa merupakan peristiwa bersejarah yang akan terus diingati kerana hasil daripada peperangan inilah, penyakit wabak yang dikenali sebagai The Black Death mula merebak di Eropah pada tahun 1347. Kaffa kini dikenali sebagai Feodosija yang terletak di Ukraine, menjadi medan pertempuran antara tentera Genoa dari Itali dan empayar Mongol.
Dalam peperangan siri kedua yang bermula pada tahun 1343, tentera Mongol di bawah pimpinan Djanibek Khan menyerang Kaffa, selepas bandar tersebut dikatakan melindungi pemberontak yang telah menyerang orang Islam di sebuah bandar bernama Tana. Bagaimanapun bantuan seramai 15,000 tentera Genoa berjaya menahan serangan Djanibek sehingga menyebabkan kerosakan besar pada peralatan perang Mongol.
Pada tahun 1345, tentera Mongol yang masih cuba menawan Kaffa mula terdedah dengan jangkitan The Black Death - menyebabkan keadaan mereka mula goyah. Diambang kekalahan, Djanibek Khan mengarahkan agar mesin pelontar (catapult) mula menjadikan mayat-mayat tenteranya yang meninggal akibat penyakit, sebagai peluru.
Taktik itu berjaya menyebabkan keadaan tentera Genoa mula kucar-kacir. Akibat daripada kegagalan mereka menguruskan mayat yang dicampak, tahap kesihatan mereka mula merosot. Ramai yang lari meninggalkan Kaffa membawa bersama wabak, menyebabkan jangkitan mula merebak ke serata Eropah yang hanya reda pada tahun 1351.
3. Bagaimana tentera Perancis dijangkitkan sifilis
Kisah peperangan Seminara yang berlaku pada tahun 1495 di antara tentera Sepanyol dan tentera Perancis merupakan rekod sejarah pertama, di mana berlakunya penyebaran wabak sifilis secara besar-besaran. Bagaimanapun, pada ketika itu istilah sifilis belum wujud - jadi penyakit itu dinamakan 'wabak Perancis' kerana mangsanya adalah tentera Perancis sendiri.
Tentera Sepanyol berjaya mengumpulkan darah daripada pesakit kusta yang ada, kemudian mencampurkannya dengan wain dalam botol. Apa yang melucukan, dengan menggunakan bantuan orang dalam - wain-wain itu kemudiannya dijual kepada tentera Perancis.
Walau bagaimanapun, kegopohan tentera Sepanyol dalam peperangan itu yang gagal menjangkakan jumlah sebenar kekuatan pihak lawan dibantu oleh tentera Swiss - menyebabkan tentera Perancis memenangi peperangan. Selepas tewas, tentera Sepanyol mengubah strategi mereka - mula memperkenalkan penggunaan senjata api bagi kumpulan pemegang tombak dan variasi formasi dalam peperangan mereka.
4. Jeneral perang Poland guna khidmat anjing gila
Jeneral Kazimierz Siemienowicz merupakan seorang jeneral perang yang turut sama bertugas sebagai jurutera peralatan bagi tentera Poland sekitar awal abad ke 17. Terkenal sebagai pakar dalam bidang penciptaan senjata dan roket, Siemienowicz berkhidmat dalam beberapa siri peperangan melibatkan negaranya.
Pada zaman beliau berkhidmat, penggunaan senjata biologi sudah mula berkembang dengan penggunaan gas beracun sebagai salah satu senjata yang efektif. Bagaimanapun, Siemienowicz memilih jalan yang lebih bersifat tradisional.
Menggunakan kepakarannya dalam penghasilan persenjataan, Siemienowicz berjaya menemui cara untuk menghasilkan kelongsong peluru yang diperbuat daripada kaca atau tanah liat, mengandungi air liur anjing gila. Idea itu yang pada ketika itu sebenarnya sangat mendahului zaman, tidak diketahui kadar keberkesanan sebenarnya.
Dia sempat merekodkan kesemua ciptaannya dalam tulisannya Artis Magnae Artilleriae, yang terbit pada tahun 1650. Siemienowicz meninggal dunia pada tahun 1651 meninggalkan kita dengan kisah bagaimana seorang jeneral mencipta peluru berisi air liur anjing gila.
5. British cuba membunuh orang asal Amerika dengan selimut tercemar
Salah satu kisah yang menampakkan kejahatan sebenar era kolonial British, adalah bagaimana tentera British menggunakan senjata biologi bagi menyerang orang asal Amerika pada tahun 1763. Tentera British ketika itu perlu mempertahankan kedudukan mereka daripada serangan orang asal Amerika di sebuha kubu bergelar Fort Pitt; sebagai usaha mengusir British keluar daripada tanah mereka.
Gabungan enam puak orang asal Amerika cuba menggunakan jalan diplomasi bagi mengusir keluar British tetapi permintaan itu tidak diendahkan oleh tentera British, yang terus mempertahankan kedudukan mereka. Pada 24 Jun 1763, seorang pahlawan puak Lenape bernama Tortle's Heart hadir ke kubu di mana British bertahan bagi berbincang. Perbincangan mereka gagal menemui penyelesaian dek kedegilan British.
Bagaimanapun, Torle's Heart tidak pulang tangan kosong sebaliknya diberikan dua helai selimut dan satu sapu tangan sebagai sagu hati. Ketiga-tiga helai kain itu sebenarnya diambil dari hospital, milik pesakit yang menderita cacar.
Idea itu dikatakan datang daripada seorang kapten tentera militia bernama William Trent. Beliau melihat bagaimana setiap wakil orang asal yang hadir, pasti akan meminta hadiah dan arak untuk dibawa pulang. Jadi dia cuba mendapatkan selimut dan sapu tangan paling kotor yang ada di hospital, untuk dijadikan hadiah dengan harapan agar penyakit tersebut merebak di kalangan pahlawan orang asal.