Oleh pada 24 Jul 2018 kategori

Teknologi aplikasi telefon pintar membolehkan sistem servis penghantaran makanan seperti GrabFood dan Uber Eats untuk berkembang, menghantar makanan daripada kedai makan atau restoran terlibat ke destinasi yang diinginkan.

Namun, di Mumbai, India, servis seperti ini sudah lama wujud, sejak ratusan tahun lalu. Uniknya sistem ini, mereka menghantar makanan yang dimasak di rumah oleh isteri, kepada suami di tempat kerja. Untuk mengetahui bagaimana sistem ini beroperasi? Teruskan membaca.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Latar Belakang Dabbawala

servis penghantaran makanan dabbawala

prince charles melawat dabbawala

Bagi seorang suri rumah, Sulochana, 35 tahun, dapurnya adalah tempat dia berasa tenang. Jauh dari kesibukan kota Mumbai, dia berasa selesa memasak di rumah sendiri. Tepat jam 10 pagi, Sulochana menunggu kehadiran seorang lelaki berpakaian putih. Lelaki itu digelar sebagai dabbawala, yakni penghantar makanan bekal. Dengan senyuman terukir di wajahnya, Sulochana memberikan dabbawala bekal makanan yang dibuat untuk suaminya, dan kembali ke dapur. 

Terdapat lebih kurang 300,000 wanita seperti Sulochana yang bergantung kepada ketepatan dabbawala di Mumbai, bagi menghantar bekal makanan tengah hari ke seluruh pelusuk bandar, kepada suami masing-masing. Sistem servis penghantaran bekal makanan tengah hari yang berusia 125 tahun hanya beroperasi di Mumbai, dan memainkan peranan sebagai penyambung antara rumah dan tempat kerja. 

Sistem dabbawala telah menarik perhatian ramai pihak dari seluruh dunia, termasuklah lawatan oleh Prince Charles dan Richard Brandson (Pemilik dan pengasas Virgin Group). Pekerja daripada Federal Express (FedEx), yang terkenal sebagai pakar logistik dunia turut melawat ibu pejabat dabbawala untuk mempelajari tentang sistem tersebut. Kini, sistem dabbawala turut dijadikan kajian di universit-universiti terkenal seluruh dunia termasuklah Harvard University.

Sejarah Dabbawala

mahadeo havaji bachche pengasas dabbawala

Sejarah dabbawala bermula sekitar tahun 1893, apabila seorang lelaki bernama Mahadeo Havaji Bachche memulakan inisiatif ini di Dharamshala, Himachal Pradesh, India. Seorang petani sebagai profesion, Mahadeo berpindah ke Mumbai dan menetap di sana. Bermula sebagai perniagaan kecil-kecilan, saban hari permintaan terhadap servis dabbawala semakin meningkat, akhirnya berkembang menjadi sebuah rangkaian servis penghantaran makanan yang terkenal di Mumbai, sehingga ke hari ini.

Bagaimana Dabbawala Beroperasi?

dabbawala membawa bekal makanan

Dabbawala tidak mengamalkan sistem berpusat, di mana sumber makanan bekal (dabbas) dan destinasinya dikenal pasti melalui kod warna. Dabbawala bermula dengan mengutip mangkuk tingkat berisi makanan, sebelum ianya dibawa ke suatu tempat pengelasan, di mana para dabbawala akan mengelaskan mangkuk tingkat mengikut destinasi penghantaran.

Mangkut tingkat yang telah diasingkan ditanda bagi mengenal pasti destinasi, diserahkan kepada dabbawala untuk dihantar melalui kereta api. Penanda yang dibuat pada bekas termasuklah stesyen kereta api di mana ianya perlu diturunkan, dan alamat destinasi. Permintaan terhadap servis ini juga boleh dibuat melalui SMS. 

Kereta api tempatan Mumbai, adalah antara yang paling kompleks dan paling ramai digunakan di seluruh dunia. Pengangkutan ini memainkan peranan penting dalam sistem operasi dabbawala. Menurut sebuah laporan oleh The New York Times pada tahin 2007, industri dabbawala terus berkembang pada kadar 5 hingga 10 peratus setahun. Suatu kadar yang tinggi untuk sesebuah industri servis. 

dabbawala mengangkat dabbas ke dalam kereta api

Sistem servis penghantaran makanan ini mempunyai ketepatan yang sangat tinggi, di mana kesilapan hanya berlaku sebanyak 1 kali untuk setiap 8 juta penghantaran. Di samping sistem kod warna yang sangat efisyen, dabbawala memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan kadar ketepatan yang tinggi untuk kelancaran operasi 260,000 transaksi penghantaran, yang dilakukan dalam tempoh 6 jam selama 52 minggu sepanjang tahun. Dabbawala beroperasi selama 6 hari seminggu. 

Menurut sebuah laporan oleh Harvard Business Review, bagi memastikan operasi berjalan lancar, dabbawala hanya mempunyai masa selama 40 saat untuk mengangkat longgokan dabbas ke atas kereta api, sebelum ianya dihantar ke stesyen utama, dan hanya mempunyai masa 20 saat untuk menurunkannya. 

Sistem Kod Dabbawala

sistem kod warna dabbawala

Dabbawala tempatan yang mengutip dan menghantar dabbas kepada pelanggan mengenali mereka secara peribadi, jadi tiada isu daripada segi kekurangan kepercayaan. Dabbawala juga sudah biasa dengan kawasan tempatan di mana mereka beroperasi, yang memudahkan mereka untuk mengakses sesuatu kawasan dengan mudah.

Mereka banyak bergantung kepada basikal dan kereta api untuk menghantar dabbas. Secara purata, setiap mangkuk tingkat akan diserahkan sebanyak 4 kali kepada dabbawala yang berbeza, dan terpaksa melalui perjalanan sejauh 60 hingga 70 kilometer untuk sampai ke destinasi terakhir. 

bekas makanan dabbas

dabbawala servis hantar makanan mumbai india

Menurut salah seorang dabbawala, Bala Sab, 51 tahun, setiap mangkuk tingkat diasingkan dan dikelaskan sepanjang perjalanan mengikut tanda pada penutupnya. Beliau turut berkongsi ringkasan operasi dabbawala, daripada dabbas dikutip daripada rumah, sehinggalah mangkuk tingkat itu dikembalikan semula ke rumah pada petang hari sama:

  1. Dabbawala pertama akan mengutip dabbas daripada rumah, dan menandakannya dengan satu kod unik. 
  2. Setiap dabbawala akan bertemu di sebuah lokasi ditetapkan di mana kesemua mangkuk tingkat akan dikelaskan dan disusun ke dalam sebuah kereta pengangkut (carriage).  
  3. Dabbawala kedua akan menanda pengangkut tersebut dengan kod unik mewakili lokasi sebelum dibawa ke stesyen kereta api. Kod tersebut mempunyai maklumat seperti lokasi stesyen ia perlu diturunkan, dan alamat penghantaran terakhir.
  4. Dabbawala ketiga memainkan peranan menjaga dabbas di dalam kereta api, sebelum menyerahkannya kepada dabbawala keempat yang menunggu di stesen kereta api yang ditetapkan. 
  5. Dabbawala keempat akan mengambil dabbas daripada kereta api, dan menghantarnya ke destinasi terakhir.
  6. Proses yang sama dilakukan bagi menghantar pulang mangkuk tingkat tanpa isi ke rumah penghantar. 

Kos Kepada Pelanggan dan Gaji Dabbawala

kos kepada pelanggan dan gaji dabbawala

Servis dabbawala bukan sahaja sangat efisyen dan boleh dipercayai, malah ianya adalah sangat murah, dengan kos purata sekitar RM50 sebulan yang perlu dibayar oleh pelanggan. Namun, kos ini berubah mengikut jarak penghantaran. Buat pelanggannya, memakan hasil air tangan isteri adalah suatu kemewahan, dan mereka sangat menghargainya. 

Komitmen seseorang dabbawala terhadap pekerjaannya itu sebahagiannya adalah disebabkan gaji yang diterima akan tinggi, sekitar RM700 sebulan. Jumlah ini mungkin agak sedikit jika dilihat dari perspektif rakyat Malaysia, namun bayaran ini adalah agak tinggi di India untuk tenaga kerja tidak berskil.  Kemasyhuran dabbawala juga mengangkat martabat pekerjaan menjadi sebuah profesion yang berprestij. 

Dabbawala juga menerima manfaat seperti diskaun langganan telefon bimbit, dan anak-anak mereka turut berpeluang menerima biasiswa daripada organisasi yang berkaitan dengan rangkaian sistem dabbawala. 

Rasanya boleh tak sistem dabbawala ini dipraktikkan di Malaysia?

Sumber:

  1. independent.co.uk
  2. bbc.com
  3. yourstory.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)