sisi gelap kerajaan myanmar dan pelarian rohingya myanmar

Dalam satu artikel berkaitan kategori jenayah perang - kamicuba menjelaskan secara ringkas tindakan kerajaan Myanmar mengisytiharkan secara rasmi apa yang berlaku di antara mereka dan etnik Rohingya ketika ini; merupakan satu bentuk peperangan.

Myanmar melihat isu pelarian Rohingya ini bukan satu bentuk penghapusan etnik, sebaliknya lebih kepada sebuah angkatan tentera bangkit menentang pejuang pemberontakan yang mahu menumbangkan kerajaan yang berdaulat.

Di sebalik semua dakwaan oleh Myanmar dalam mempertahankan pendirian kerajaan mereka, gerakan yang dinamakan ARSA atau Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA) disebut sebagai tunjang utama pemberontakan orang Rohingya. Benarkah wujud hubungan di antara ARSA dan etnik Rohingya yang menjadi pelarian di serata dunia, seperti didakwa Myanmar?

Siapa Arakan Rohingya Salvation Army?

kem pelarian rohingya

Gerakan mewujudkan negeri atau negara sendiri milik orang Rohingya sudah lama menjadi satu impian masyarakat mereka sejak berpuluh-puluh tahun dahulu. Bagaimanapun, kami akan mengupas topik ini dalam artikel lain ya.

Ideologi yang dibawa etnik Rohingya sejak Myanmar mencapai kemederkaan walaupun tidak pernah diperjuangkan secara besar-besaran berbanding perjuangan orang  etnik Karen yang bersifat lebih terbuka dan konsisten, diharap benar-benar akan dipenuhi.

Apa yang membezakan perjuangan orang Rohingya dahulu dan sekarang adalah permintaan mereka sudah dikatakan berbeza mengikut zaman.

Seandainya satu ketika dahulu mereka menuntut negeri mereka sendiri, pada ketika ini perjuangan mereka lebih berkisar kepada tuntutan hak kewarganegaraan.

Secara tak langsung ini menandakan persetujuan untuk mereka bekerjasama dengan kehendak kerajaan Myanmar asalkan etnik mereka diiktiraf secara rasmi dalam perlembagaan negara tersebut. Namun kita tahu Myanmar tetap berkeras sehingga kini, langsung tidak mengiktiraf kedudukan malahan istilah 'Rohingya' juga dianggap tidak wujud di negara itu.

hakikat sebenar sisi gelap pelarian rohingya myanmar

Gerakan ARSA dipercayai mula bertapak selepas insiden rusuhan besar-besarandi antara puak pelampau Muslim dan Buddha pada tahun 2012. Secara rasmi perjuangan ARSA diisytihar bermula pada tahun 2016 dengan penubuhan gerakan Haraqah al-Yaqin, selepas mereka mula menerima kemasukan pejuang pembebasan yang ingin memperjuangkan kebebasan ideologi orang Rohingya.

Atas kertas, ARSA mengakui  mereka tidak mempunyai sebarang hubungan dengan mana-mana gerakan pemberontakan lain, namun banyak pihak mendakwa di belakang tabir - ARSA mendapat sokongan gerakan Islamic State (ISIS) dan juga Lashkar it-Tayyiba, kumpulan pemberontakan terbesar di Pakistan yang mempunyai hubungan rapat dengan Al-Qaeda.

Dari segi kekuatan, ARSA lebih lemah berbanding dengan satu lagi kumpulan pengganas di Myanmar iaitu Arakan Army (AA), kumpulan pengganas beragama Buddha yang lebih aktif serta tersusun dari segi gerakan dan juga peralatannya.

Operasi dari kem pelarian

kanak kanak pegang duit rohingya myanmar

Sejak beberapa tahun lalu, operasi serangan yang dilakukan oleh ARSA semakin perlahan berbanding dengan tahun-tahun awalnya, dipercayai disebabkan oleh kekangan dana operasi yang terjejas serta masalah untuk mereka merancang gerakan.

Kem pelarian Kutupalong serta beberapa bandar di Bangladesh dipercayai menjadi lokasi utama ARSA beroperasi, keahlian pejuang mereka rata-ratanya hadir daripada kawasan tersebut daripada kumpulan pelarian. Bagaimanapun, perkara ini dinafikan kerajaan Bangladesh.

Berikutan daripada ketiadaan sistem latihan yang lengkap, peralatan yang mencukupi dan rangkaian organisasi yang teratur - operasi ARSA hanya berjaya dilakukan dalam operasi skala-skala kecil seperti serangan hendap dan sabotaj.

ARSA tiada kem latihan yang tetap, memaksa latihan-latihan senjata diadakan secara bersembunyi menyebabkan ahli mereka kurang mahir dalam pengalaman bertempur.

Atas kekangan-kekangan logistik serta operasi tentera Myanmar yang semakin berjaya mengawal situasi, ARSA dilaporkan mula mengubah operasi mereka daripada menjalan operasi pemberontakan terbuka kepada gerakan yang lebih halus - menggunakan jaringan masyarakat Rohingya yang ada sebagai rangkaian penyumbang bagi membolehkan kekuatan ARSA dibina dengan lebih teratur.

Di sinilah nama Malaysia mula terpalit.

Warga Rohingya di Malaysia secara sulit menyokong ARSA

lelaki rohingya ditahan tentera tatmadaw

Dalam siri serangan lebih 2 jam ke atas sebuah balai polis di ibu negeri Rakhine iaitu Maungdaw - ARSA menyerang balai tersebut mengakibatkan kecederaan ke atas pegawai yang bertugas.

Mereka yang dikenalpasti terlibat dalam insiden serangan itu dipercayai mempunyai hubungan dengan kumpulan pelarian Rohingya yang ada di Malaysia. ARSA bagaimanapun menafikan wujudnya hubungan di antara mereka dengan kumpulan warga Rohingya yang ada di Malaysia.

Pada bulan Mei tahun 2019, PDRM berjaya menahan kumpulan empat orang pengganas, dua daripadanya warga pelarian Rohingya yang dipercayai merancang siri serangan balas dendam dipercayai berpunca daripada insiden rusuhan kuil di Selangor yang mengakibatkan kematian ahli bomba Allahyarham Muhammad Adib.

Salah seorang daripada warga Rohingya yang ditahan adalah pekerja restoran berusia 20 tahun, mengaku beliau adalah penyokong kepada gerakan ARSA di Myanmar. Dua lagi suspek merupakan warga tempatan dan Indonesia.

Pada awal bulan Julai tahun yang sama, pasukan anti keganasan negara kita berjaya menangkap dua orang penyokong kuat ARSA yang bergerak dalam kumpulan empat orang - didakwa sengaja memuat naik video ke dalam laman media sosial, meminta agar pembunuhan ke atas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina dilakukan.

Salah seorang daripada pelarian Rohingya itu adalah seorang pekerja buruh berusia 41 tahun yang menetap di Kedah, mempunyai rekod jenayah lampau serta terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia. Seorang lagi lelaki berusia 25 tahun yang dikatakan bertugas sebagai seorang pengajar agama di Bukit Pinang, Kedah.

Dua lagi individu yang ditahan adalah warga Filipina dan India.

Daripada beberapa tangkapan yang telah berjaya dilakukan di negara kita, pihak berkuasa menemui bukti bagi menunjukkan wujudnya hubungan di antara ARSA dan kumpulan pelarian seterusnya menafikan kenyataan ARSA yang telah dibuat.

Sistem Hawala - peras ugut atau sumbangan?

rohingya hawala sistem malaysia

Tidak lama selepas tangkapan kedua itu berjaya dilakukan, pada 23 Julai 2019 - PDRM melaporkan bahawa siasatan mereka menemui bukti bahawa kumpulan pelarian Rohingya di Malaysia juga sebenarnya menjadi penyumbang dana kepada gerakan ARSA.

Dalam tahun 2019 setakat bulan Julai, dianggarkan lebih RM80,000 sudah pun disalurkan kepada gerakan ARSA melalui jalinan pertukaran wang yang kompleks, digelarkan sebagai 'sistem hawala' yang mempunyai sejarah panjang di tanah Arab dan Asia Selatan.

Sistem hawala memerlukan eorang ejen bertindak mengumpulkan wang sebelum disalurkan kepada ejen-ejen lain bagi membolehkannya dihantar kepada ARSA Perkara ini didedahkan oleh salah seorang warga Rohingya yang ditahan.

Sistem hawala kelolaan ARSA ini didakwa dimulakan kumpulan pelarian Rohingya yang tinggal berdekatan sempadan Thailand, khasnya negeri Kedah dan Perlis - bagi memudahkan perpindahan rentas negara dilakukan secara manual.

Wang itu akan dipindahkan atas dasar percaya, menggunakan hubungan persahabatan yang terjalin atau kekeluargaan tanpa ada sebarang rekod dicatat, bagi mengelakkannya dikesan.

Hasil tangkapan PDRM turut mendedahkan taktik ejen yang terlibat dalam sistem hawala yang akan bertindak memeras ugut pelarian Rohingya di Malaysia. Pelarian yang menjadi mangsa diugut membayar wang sumbangan bagi mengelakkan  ahli keluarga yang mereka tinggalkan di Bangladesh diapa-apakan.

Setiap ejen ARSA yang dilantik dikatakan mempunyai senarai lengkap ahli keluarga mereka, menyebabkan ramai pelarian Rohingya di sini hendak tak hendak terpaksa menjadi penyumbang kepada perjuangan ARSA.

warga rohingya berebut

Masalah sistem hawala di kalangan pelarian Rohingya bukan sahaja berlaku di negara kita dan Bangladesh.

India turut sama melaporkan penemuan wang hawala di kalangan pelarian Rohingya di sana. Beberapa buah kediaman keluarga pelarian Rohingya yang tinggal secara haram di wilayah Jammu dijadikan pusat simpanan sementara wang hawala hasil siasatan polis pada penghujung tahun 2018.

Wang yang berjumlah RM172 ribu dipercayai diedar dan diuruskan oleh dua orang ejen, ditempatkan dalam beberapa rumah setinggan bagi menyukarkan wang tersebut dikesan.

Sama ada wang yang dikumpulkan di Malaysia, India dan Bangladesh untuk tujuan pemberontakan itu benar-benar sampai kepada pergerakan ARSA atau digunakan oleh ejen-ejen orang Rohingya untuk memperkayakan diri sendiri, sukar untuk kita ketahui kesahihannya.

Rujukan

Rohingya Crisis and Western Myanmar's Evolving Threat Landscape



Hakcipta iluminasi.com (2017)