Keinginan nak menunjuk-nunjuk tu memang ada pada diri setiap manusia zaman moden. Apa yang membezakan kita, adalah mampukah kita mengawal keinginan itu.
Hidup dalam era yang materialistik serta berteraskan kebendaan, mengakibatkan ramai di antara kita yang tidak tahan akhirnya menunjuk-nunjuk kemampuan diri yang dirasakan tinggi. Sama ada secara kita sedar atau tidak itu berlaku, hanya tuan punya badan saja tahu.
BESARKAN TEKS A- A+
Ada beberapa barangan yang dijadikan simbol status seseorang, seringkali diangkat sebagai bukti 'aku berjaya'. Tak ada masalah nak beli tetapi masalahnya, kenapa lepas beli nak tayang merata? Berikut adalah lima benda yang sering ditayang mereka yang kaki tayang harta benda.
1. Kad kredit
Bila beratur membayar barangan di mana-mana, cuba anda amati ada ramai individu yang sengaja memilih untuk meletakkan kad kredit platinum milik mereka di kedudukan paling depan dompet.
Sehingga ke hari ini kami tidak faham kenapa pemegang kad kredit bangga memiliki kad kredit dan melihatnya sebagai satu bentuk simbol status? Adakah ini kerana dengan memegang kad kredit, itu bukti pihak bank yakin dengan kemampuan kewangan anda?
Adakah dengan memiliki kad kredit tahap platinum dengan had belanja maksima RM20,000 dapat menunjukkan kepada dunia gaji anda besar?
Tidak. Kad kredit perlu dilihat sebagai satu produk perbankan yang tidak lagi relevan sebagai simbol status kerana menggalakkan orang ramai berhutang, berbelanja melebihi keperluan. Dengan kadar faedah, caj perkhidmatan dan denda yang tinggi, sudah tiba masanya kita membuang mentaliti kad kredit dianggap sebagai simbol status seseorang.
2. Produk Apple
Masih ramai di antara kita bangga memiliki produk keluaran syarikat Apple. Sudah-sudahlah tu kan?
Sukar untuk percaya selepas kematian mendiang Steve Jobs yang harus kita akui cukup hebat menjual produk, perasaan syok di kalangan pemilik produk Apple belum terpadam walaupun jelas kelebihan inovasi yang sebelum ini didahului Apple kini sudah semakin berkurangan.
Apatah lagi Apple sendiri sudah kalah kes-kes saman yang dibuat pengguna Apple sendiri, apabila syarikat dengan sengaja mengubah kelajuan peranti pengguna melalui pengemaskinian perisian lebih baru.
Dakwaan bahawa Apple sengaja memperlahankan peranti keluaran mereka demi memastikan pengguna bertukar ke peranti lebih baru, menjadi kes yang sedang hangat dibicarakan di mahkamah Eropah.
Zaman telah berubah. Kini pengguna sudah mempunyai terlalu banyak pilihan untuk mendapatkan teknologi yang setanding dengan apa yang dikeluarkan Apple dalam harga jauh lebih rendah.
Tidak ada apa lagi yang boleh dibanggakan bergelar pengguna Apple ni. Jenama lain pun ada yang dah jauh lebih mahal harganya berbanding produk keluaran Apple, kalau harga dijadikan ukuran.
3. Minum kopi
Cubalah anda ke mana-mana, anda pasti menemui banyak kedai kopi tumbuh macam cendawan,cuba menyaingi populariti francais kedai kopi antarabangsa yang telah beroperasi sekian lama.
Pembukaan kedai-kedai kopi ini sedikit sebanyak dibantu oleh kemudahan pengimportan masuk biji-biji kopi berkualiti tinggi ke pasaran kita, sekaligus membolehkan banyak pengusaha bersaing menawarkan produk sama baik dengan jenama terkenal sedia ada.
Perubahan ini juga menyebabkan usaha tayang-menayang 'saya sedang minum kopi mahal' yang sering dibuat sesetengah individu, semakin hilang impaknya. Ini kerana semua orang sudah mampu minum kopi sama.
Tak dapat dinafikan francais antarabangsa masih mempunyai prestij yang berbeza, khususnya dari segi kualiti penyediaan minuman dan juga penjenamaan.
Namun dalam zaman sekarang, bila ceruk-ceruk kampung pun dah ada bistro kopi yang mampu menawarkan frappucino karamel dalam menu, kita tak perlu menunggu lama untuk melihat 'kopi-kopi mahal' diturun taraf ibarat teh o'ais ikat tepi biasa.
4. Bercuti ke luar negara
Sebagai seorang yang belum pernah keluar dari Semenanjung Malaysia, memang ada timbul rasa teringin penulis hendak melancong ke luar - tak kiralah sekadar ke Sabah dan Sarawak atau jiran dekat kita seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.
Apatah lagi apabila melihat kenalan-kenalan rapat kita giat memuatnaik status dan foto berkenaan percutian ke luar negara dengan agak kerap. Apa yang aneh...bila dia melancong dalam negeri, tak kelihatan pula usaha sama dilakukan.Kami tidak tahulah apa niat anda memuatnaik visual percutian anda ke luar negara. Mungkin anda ingin berkongsikan pengalaman anda.
Tetapi...jika anda fikirkan dengan minda yang terbuka...zaman sekarang ni 'semua orang dah mampu terbang.' Era di mana 'melancong ke luar negara adalah peluang sekali seumur hidup' sudah tidak relevan.
Jika kita lihat pasaran produk kita juga mencerminkan perubahan ini. Kedai-kedai menjual peralatan melancong tumbuh macam cendawan.
Lebih aneh untuk kita di Malaysia, banyak kedai menjual produk musim sejuk seperti pakaian dan aksesori juga sudah menjadi satu pemandangan biasa menampakkan ada permintaan tinggi di kalangan ahli masyarakat kita.
Yang mampu, mereka akan memilih destinasi pelancongan ke Eropah. Yang tak mampu, masih mampu melancong sekitar benua Asia atau Asia Tenggara.
5. Kereta
Di kalangan netizen yang meminati kereta, sindiran berkenaan peminat jenama H dan T seringkali kedengaran - kerana dua jenama dianggap sebagai satu status simbol yang 'lebih tinggi darjatnya' berbanding kereta jenama tempatan.
Sehinggakan ramai pemilik kereta tempatan sendiri ada yang rendah diri dan dikecam kerana tak berusaha lebih kuat memperbaiki kemampuan sendiri agar dapat kereta lebih baik.
Realitinya, jurang perbezaan harga di antara kereta tempatan dan kereta bukan jenama tempatan semakin hari semakin mengecil. Pasaran kereta bawah RM45,000 masih ditampung jenama tempatan tetapi apabila kita membicarakan soal kereta di atas paras tersebut - persaingan harga sebenarnya layak dikatakan seimbang. Apa yang aneh, ada di kalangan ahli masyarakat kita masih melihat kereta jenama luar berharga RM75,000 adalah 'lebih baik' berbanding kereta jenama tempatan pada harga sama...walaupun spesifikasi dan saiz kereta jenama tempatan jauh lebih baik.
Bertekak tentang status dan darjat kereta ni memang riuh-rendahlah perbincangannya, tetapi akhirannya yang merasa bangga atau rendah diri ni, kedua-duanya tetap buat pinjaman dengan bank kan nak beli kereta? Hentikanlah perangai pandang rendah dan rasa rendah diri hanya disebabkan kereta, kerana kita semua adalah penghutang saja sebenarnya.