Dalam peperangan, setiap pasukan tentera akan menggunakan teknik peperangan yang tertentu dan disusun rapi bagi mengalahkan pihak lawan. Sebagai contoh, sebelum ini kami di iluminasi.com pernah berkongsi teknik licik penyamaran kapal tentera Belanda untuk melarikan diri daripada kepungan tentera Jepun.

Kali ini, kami ingin berkongsi pula beberapa senjata pelik yang pernah digunakan oleh beberapa pasukan tentera semasa Perang Dunia ke 2. Senjata-senjata ini walau bagaimanapun tidak lagi digunakan pada masa kini.

1. Bom Kelawar

bom kelawar

Bom kelawar adalah antara senjata pelik yang digunakan pihak tentera Amerika Syarikat dalam Perang Dunia ke 2. Bom ini bentuknya seperti bom biasa tetapi di dalamnya diletakkan beratus ekor kelawar. Setiap ekor kelawar ini dipasang bom yang ditetapkan sela masa tertentu yang akan meletup apabila tiba waktunya.

Apabila bom kelawar ini dilepaskan daripada pesawat pejuang, bekas bom tersebut akan terbuka dan melepaskan beratus-ratus ekor kelawar yang terdapat didalamnya. Seperti biasa, kelawar-kelawar yang dilepaskan itu akan terbang bebas dan hinggap di sekitar kawasan sasaran dan meletup apabila tiba masanya. Senjata ini digunakan pihak Amerika Syarikat untuk menyerang Jepun kerana binaan bangunan di Jepun  yang kebanyakannya dibina daripada bahan mudah terbakar seperti kertas dan buluh.

2. Anjing sebagai pengebom berani mati

anjing pengebom berani mati

Antara strategi pihak Soviet dan Rusia bagi memusnahkan kereta kebal musuh adalah dengan menggunakan anjing yang dipasang bom padanya. Strategi ini digunakan antara tahun 1930 hingga 1996 untuk memusnahkan kereta kebal tentera Jerman.

Pada mulanya, anjing-anjing dilatih hanya untuk membawa bom ke kawasan sasaran dan meninggalkan bom tersebut disitu. Bom itu kemudiannya akan diaktifkan secara automatik mengikut sela masa yang ditetapkan. Malangnya, teknik ini gagal menyebabkan Rusia mengubah teknik mereka untuk meletupkan anjing apabila terdapat gegaran atau sentuhan padanya. Teknik pengeboman ini tidak lagi digunakan sekarang dan sekiranya masih digunakan, ianya pasti mendapat kecaman daripada kumpulan pencinta binatang.

3. Kapal selam dengan fungsi pelancar pesawat pejuang

kapal selam jepun

Kita biasa melihat kapal perang Amerika Syarikat dan China yang dilengkapi dengan landasan bagi pesawat pejuang. Ketika Perang Dunia ke 2, pihak tentera laut Jepun mempunyai beberapa kapal selam yang diberi nama Sen Toku I-400 sementara tentera Perancis juga mempunyai beberapa buah jenis kapal selam jenis Surcouf yang mempunyai landasan untuk melancarkan pesawat pejuang.

Ketika zaman perang, kebanyakan kapal selam berperanan untuk kegiatan pemantauan dan perisikan. Menariknya, selagi pemantauan dan perisikan, kapal selam ini juga mampu melakukan serangan pada pihak musuh. Sebuah kapal selam milik tentera Jepun ini mampu memuatkan 3 buah pesawat dan juga dilengkapi dengan peluru torpedo.

4. Meriam nuklear

meriam pelancar bom nuklear

Penggunaan bom nuklear pada zaman kini biasanya digunakan untuk disasarkan pada sasaran yang jauh. Walau bagaimanapun, ketika Perang Dunia ke 2, meriam juga pernah digunakan sebagai pelancar bom nuklear bagi menyerang musuh dalam jarak dan radius yang dekat.

Antara pasukan tentera yang menggunakan senjata ini adalah pihak Amerika Syarikat, Soviet dan juga Perancis. Walau bagaimanapun, kini tiada lagi penggunaan meriam untuk melancarkan bom nuklear sebaliknya bom nuklear kini dilancarkan menggunakan pelancar peluru balistik.

5. Peluru berpandu Kaiten

peluru berpandu kaiten

Jepun sememangnya terkenal dengan teknik kamikaze iaitu dalam bahasa mudahnya teknik mengorbankan diri sendiri untuk menyerang musuh. Peluru berpandu Kaiten ini juga menggunakan konsep yang sama. Setiap peluru berpandu ini tidak dikawal dengan alat kawalan jauh untuk menembak pihak musuh tetapi dikawal sendiri oleh seorang pemandu.

Akibat perang yang berlanjutan terlalu lama dan tiada tanda-tanda ianya akan tamat, maka pihak pemerintah Jepun mencadangkan penggunaan pelbagai serangan Kamikaze bagi menyerang musuh dan ini termasuklah penggunaan peluru berpandu Kaiten. Peluru berpandu jenis ini banyak digunakan pada penghujung Perang Dunia ke 2.

Kredit:

  1. Business Insider
  2. WikiPedia - Bat Bomb
  3. WikiPedia - Submarine Aircraft Carrier
  4. WikiPedia - Kaiten

tags : , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)