Dalam sistem pentadbiran yang masih mengekalkan kedudukan monarki dalam pentadbiran, Thailand merupakan antara negara paling kuat taat setianya kepada Raja mereka.

Dilindungi oleh undang-undang yang tidak membenarkan sesiapa pun melakukan sebarang bentuk penghinaan ke atas Raja Thailand, status Raja Thailand tampak sangat terpelihara. Persoalannya - apa yang akan berlaku kepada mereka yang menghina Raja Thailand?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Seorang wanita berusia 65 tahun baru saja merasai akibat mengeluarkan kenyataan tidak elok terhadap Raja Thailand dan dijatuhkan hukuman penjara paling panjang pernah disabitkan setakat ini.

Perkongsian yang membawa padah

anchan preelert penjara hukuman hina raja

Wanita yang dikenali dengan nama Anchan Preelert merupakan seorang bekas penjawat awam di Thailand.

Pada tahun 2015, Anchan berkongsi satu rakaman audio yang mengkritik keluarga monarki Thailand dalam Youtube dan Facebook. Hasil siasatan yang dijalankan hasil laporan yang diterima telah mengakibatkan Anchan didakwa di mahkamah.

Dia didapati bersalah dalam 29 pertuduhan dalam keputusan perbicaraannya, yang diumumkan pada 20 Januari 2021. Anchan dihukum 87 tahun penjara atas kesemua dakwaan.

Namun hukumannya dipendekkan kepada 43 tahun selepas dia mengaku salah, membolehkan hukumannya diringankan.

Anchan mengaku dia pada awalnya tidak menyangka kandungan audio yang beliau kongsikan merupakan sesuatu perkara yang sensitif, kerana dia mendapati ramai lagi pihak lain berkongsikannya.

Hukuman penjara yang diterima Anchan merupakan hukuman paling lama pernah dijatuhkan, mengatasi satu hukuman penjara 35 tahun dijatuhkan pada tahun 2017 atas kesalahan serupa.

Lebih malang bagi Anchan, atas sabitan kesalahannya dia akan kehilangan pencen perkhidmatan awam yang sepatutnya akan diterima pada tahun 2016. Semasa kejadian, tempoh perkhidmatannya hanya berbaki 1 tahun sebelum dia bersara.

Sistem lese-majeste yang melindungi maruah monarki

kumpulan penyokong monarki thailand

Pendakwaan yang dilakukan ke atas Anchan merupakan salah satu undang-undang sedia ada kerajaan Thailand, dalam artikel 112 kanun jenayah mereka.

Undang-undang ini membolehkan sesiapa saja yang menghina Raja, Permaisuri, Putera serta kaum kerabat keluarga di-Raja Thailand dikenakan tindakan undang-undang, dengan hukuman penjara minima 3 tahun dan maksima 15 tahun untuk setiap satu dakwaan.

Sebelum tahun 2017, penggunaan artikel ini bagi menghukum kesalahan telah pun digantung penggunaannya atas permintaan Raja Vajiralongkorn yang kini memerintah Thailand, namun terpaksa diaktifkan semula ekoran gerakan pemberontakan bersifat anti kerajaan dan anti monarki besar-besaran menuntut reformasi pemerintahan Thailand dilakukan.

pertempuran dengan petunjuk perasaan thailad

Dikenali dengan nama 'undang-undang perlindungan monarki' atau lese-majeste, undang-undang di Thailand dipercayai merupakan peraturan paling ketat melindungi monarki di antara semua kerajaan dalam dunia.

Gesaan orang ramai agar perlembagaan negara Thailand dipinda bagi mengekang corak hidup keluarga di-Raja Thailand, yang didakwa terlalu mewah berbanding realiti sebenar kehidupan orang ramai memulakan beberapa insiden tunjuk perasaan.

Anchan pada awalnya didakwa merupakan salah seorang individu yang terlibat dalam kumpulan gerakan penyebaran propaganda anti monarki, aktif melalui sebaran media sosial berkongsikan klip audio hasil siaran radio bawah tanah yang popular.

Pencipta klip audio itu turut sama telah didakwa dan dihukum, atas kesalahan yang telah dilakukan.

Kerajaan Thailand mula giat menggunakan Artikel 112

rusuhan anti monarki thailand

Kebimbangan kerajaan Thailand terhadap gerakan pemberontakan yang didalangi kumpulan pelajar telah pun menyebabkan banyak tangkapan atas kesalahan menghina Raja berlaku.

Sehingga bulan Disember 2020, seramai 37 orang sudah ditahan dan didakwa, atas pelbagai kesalahan seperti penghinaan secara percakapan, penyebaran rakaman risalah, video dan audio atau melakukan ucapan di khalayak terbuka menghasut sentimen anti monarki.

Ada juga kes tangkapan dilakukan atas dakwaan sengaja berpakaian seperti Raja atas alasan untuk melakukan adegan parodi.

anchan preelert penjara 87 tahun

Hukuman paling berat yang dijatuhkan ke atas Anchan dipercayai sengaja dilakukan oleh mahkamah Thailand, bagi menghantar mesej kepada gerakan pemberontak bawah tidak ada jalan mudah untuk mereka terus berjuang.

Keputusan mahkamah itu dikritik banyak pihak kerana didakwa sengaja menjadikan Anchan mangsa keadaan. Anchan pada ketika ini sedang berusaha melakukan rayuan bagi meringankan hukuman yang dihadapi.

Namun dia tidak berharap sangat rayuannya akan diterima kerana dia tahu dalam situasi sekarang, kerajaan Thailand sudah pastilah tidak akan berlembut hati lagi.

Rujukan

Woman Is Sentenced to 43 Years for Criticizing Thai Monarchy




Hakcipta iluminasi.com (2017)