Oleh pada 06 Nov 2017 kategori

Pemimpin-pemimpin yang hebat pasti pernah menjalani kehidupan sebagai pelajar sekolah dan sekolah juga merupakan institusi yang berjaya membentuk pelajar-pelajar ini sehingga mereka berjaya menjadi pemimpin. Kejayaan sekolah selalunya diukur dengan pencapaian akademik tetapi pencapaian akademik bukanlah segalanya.

Setiap sekolah mempunyai corak dan gaya pendidikan mereka tersendiri jadi hari ini ingin berkongsi senarai sekolah-sekolah yang berjaya melahirkan pemimpin Malaysia pada hari ini. Sekolah ini juga terkenal kerana berjaya membentuk ramai ahli politik dan ketua eksekutif syarikat-syarikat terkemuka di Malaysia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

5. Saint John Institution

Saint John's Institution merupakan sekolah rendah dan menengah semua lelaki dan antara sekolah tertua di Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, aliran tingkatan enam di sekolah ini terbuka kepada kedua-dua lelaki dan perempuan. Saint John Instution juga merupakan antara 30 sekolah yang terpilih sebagai sekolah Cluster pada tahun 2007 oleh Menteri Pendidikan Malaysia.

Sekolah ini terletak di Jalan Bukit Nanas di tengah pusat bandar Kuala Lumpur. Sekolah ini mempunyai sejarahnya tersendiri kerana ia sudah ditubuhkan sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan sendiri. Pada tahun 1942 hingga 1945 sekolah ini ditutup kerana peperangan yang sedang berlaku pada waktu itu dan sekolah ini juga menjadi tempat pelarian mencari tempat perlindungan.

Dari segi kokurikulum, ia juga bergiat aktif dalam sukan-sukan dan pertandingan-pertandingan yang dipertandingkan di negara kita. Kokurikulum merupakan salah satu faktor pemimpin dapat dilahirkan kerana kokurikulum memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk meningkatkan kemahiran insan untuk membentuk mereka menjadi seorang pemimpin.

pancaragam st john

Saint John Institution juga terkenal kerana salah sebuah sekolah hebat yang bertanding dalam pasukan pancaragam yang dipertandingkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Selain itu, bermacam-macam jenis sukan ditawarkan di sekolah ini seperti ragbi, memanah, bola sepak, hoki, gimnastik dan sebagainya.

Antara alumni terkenal bagi sekolah ini ialah Perdana Menteri kita pada hari ini iaitu Dato Seri Mohammad Najib bin Tun Abdul Razak yang mendapat pendidikan bagi kedua-dua sekolah rendah dan menengah. Selain itu, Menteri Pertahanan Negara, Hishammudin Hussein dan Governor Bank Negara Malaysia, Zeti Aziz juga merupakan alumni sekolah ini.

Sekolah ini juga merupakan sekolah bagi Sultan Selangor dan Perak selain melahirkan seniman seperti Afdlin Shauki, Hans Isaac, Aizat Amdan dan Harith Iskandar

4. Kolej Tunku Kurshiah

kolej tunku kurshiah melahirkan ramai pemimpin

Kolej Tunku Kurshiah merupakan sekolah menengah semua perempuan dan ia ditubuhkan pada tahun 1947. Sekolah ini juga tersenarai bagi 10 sekolah terbaik SPM pada beberapa tahun termasuk pada tahun 2017 memegang tempat ke-2 dengan pencapaian Gred Purata Nasional 1.31. 

Sekolah ini terletak di Seremban, Negeri Sembilan dan merupakan sekolah yang sangat dikenali bagi seluruh rakyat Malaysia terutama bagi pelajar perempuan kerana ia merupakan sekolah semua perempuan yang paling berprestij di Malaysia. Selain menawarkan SPM, ia juga menawarkan program International Baccalaureate iaitu program persediaan yang diiktiraf antarabangsa.

Pada tahun 2000, Kolej Tunku Kurshiah atau juga disebut sebagai TKC telah dipilih sebagai salah sebuah sekolah untuk mengambil bahagian dalam Aplikasi Perdana Sekolah Pintar Malaysia anjuran Koridor Raya Multimedia (MSC). TKC juga tersenarai dalam Sekolah Berasrama Penuh (SBP) selain mendapat pengiktirafan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) iaitu pengiktiran terbaik bagi sebuah sekolah di Malaysia.

wind orkestra tkc

Kolej Tunku Kurshiah juga terkenal kerana aktif mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum di peringkat kebangsaan seperti Wind Orchestra dan juga pertandingan yang paling banyak membentuk seorang pemimpin iaitu pertandingan debat. Disebabkan sekolah ini aktif dalam banyak pertandingan seperti pertandingan debat menyebabkan kecenderungan mereka untuk melahirkan pemimpin sangatlah tinggi.

Sekolah ini juga telah melahirkan beberapa pemimpin-pemimpin hebat contohnya seperti isteri kepada Perdana Menteri semasa iaitu Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Pembangkang Malaysia iaitu Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Antara tokoh-tokoh daripada alumni ini ialah Datuk Dr Mazlan Othman, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Lepas Malaysia. Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Jalil dan Datin Paduka Marina Mahathir juga merupakan alumni institusi ini.

3. English College Johor

english college johor melahirkan ramai pemimpin

English College atau juga dikenali sebagai Maktab Sultan Abu Bakar merupakan antara sekolah bersejarah di Malaysia dan sekolah ini telah berjaya melahirkan ramai pemimpin-pemimpin hebat. Sekolah semua lelaki ini terletak di bandar Johor Bahru dan merupakan salah sebuah Sekolah Kecermelangan Kluster. Ia juga merupakan 10 sekolah inggeris tertua di Malaysia dan sekolah tertua di Johor. Alumni sekolah ini dikenali sebagai ECOBA.

Sekolah ini pada awalnya hanya mempunyai 21 pelajar pada tahun 1914 sebelum kita berjaya mencapai kemerdekaan. Pada tahun 1941 hingga 1945 di mana Tanah Melayu telah ditawan oleh askar jepun, sekolah ini telah digunakan sebagai markas tentera, kilang, hospital tentera selain juga merupakan sebuah kem penjara oleh tentera jepun. 

english college rugby 16

Sekolah ini dibuka semula pada tahun 1946 dan pada tahun 1960 namanya ditukarkan kepada Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) setelah kita berjaya meraih kemerdekaan daripada pihak British. Sekolah ini juga bergiat aktif dalam kokurikulum dan pasukan ragbi sekolah ini amat digeruni oleh sekolah-sekolah di Johor dan Malaysia satu ketika dahulu. Pasukan ragbi sekolah ini dieberi nama "Stingboks" diambil daripada pasukan ragbi kebangsaan Afrika Selatan.

Selain itu, sekolah ini juga terkenal kerana pasukan pancaragam ini banyak mengambil bahagian dalam pertandingan-pertandingan peringkat kebangsaan dan sekolah ini juga sesuai bagi ibu bapa yang mengharapkan anak mereka untuk menjadi seorang pemimpin. Banyak pemimpin telah dilahirkan daripada sekolah ini.

Pemimpin paling terkenal yang dilahirkan daripada sekolah ini ialah Perdana Menteri Malaysia yang ketiga iaitu Tun Hussein Onn. Setelah 103 ditubuhkan, sekolah ini telah melahirkan 2 Sultan Johor termasuk DYMM Sultan Ibrahim, 2 Timbalan Perdana Menteri, 3 Menteri Besar Johor dan seorang ketua hakim negara.

2. Kolej Melayu Kuala Kangsar

kolej melayu kuala kangsar mckk melahirkan ramai pemimpin

Kolej Melayu Kuala Kangsar atau lebih dikenali sebagai MCKK merupakan salah sebuah tertua di Malaysia. Ia ditubuhkan pada 1905 di Kuala Kangsar, Perak dan merupakan sekolah paling berprestij di Malaysia dalam melahirkan pemimpin. Ramai juga memanggil sekolah ini sebagai "sekolah pemimpin" kerana banyak melahirkan pemimpin.

Sekolah ini telah diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi pada tahun 2010 dan menawarkan program International Baccalaureate. Alumninya yang sangat kukuh iaitu MCOBA banyak menyumbang semula kepada pembangunan sekolah ini dalam melahirkan pelajar-pelajar berkaliber. Sekolah ini juga merupakan salah sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) semua lelaki.

Kehebatan sekolah ini dibuktikan dalam berbagai-bagai pertandingan peringkat kebangsaan seperti pertandingan Debat Ala Parlimen di mana pelajar-pelajar sekolah telah menjadi johan bagi pertandingan debat ini selain mendapat anugerah pendebat terbaik. Sekolah ini juga terkenal dengan ragbi dan telah lama digeruni oleh sekolah-sekolah lain di seluruh Malaysia.

all blacks mckk

Pasukan ragbi MCKK juga dikenali sebagai "All Blacks Malaysia" dan sudah bertahun-tahun mereka memegang takhta sebagai pasukan ragbi terbaik di Malaysia. Pasukan ragbi MCKK telah mengalahkan pasukan ragbi saingan sengitnya seperti Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), Sekolah Alam Shah (SAS), Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) dan Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR).

Antara alumni terhebat sekolah ini ialah bekas Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein. Bekas Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim juga merupakan alumni sekolah ini. Selain itu, Menteri Pertahanan Negara, Datuk Seri Hishamuddin Hussein juga pernah mendapat pendidikan di sini.

MCKK telah melahirkan 7 Yang di-Pertuan Agong daripada 13 termasuk seorang presiden Mahkamah Tertinggi Malaysia, seorang Sultan Brunei, 4 Yang di-Pertua Negeri, Bekas Presiden UMNO, Dato' Onn Jaafar, Ketua Eksekutif CIMB Bank dan ramai lagi. Tokoh-tokoh terlibat dalam pembangunan ekonomi, pendidikan, perundangan, ketenteraan dan kesenian Malaysia.

1. Kolej Sultan Abdul Hamid

kolej sultan abdul hamid ksah

Kolej Sultan Abdul Hamid merupakan sebuah sekolah berpendidikan inggeris yang telah ditubuhkan pada tahun 1908 dan merupakan antara sekolah tertua di Malaysia selain merupakan sekolah tertua di Kedah. Ia terletak penghujung Jalan Langgar di bandaraya Alor Setar, Kedah dan telah melahirkan ramai pemimpin ternama.

Bagi pelajar-pelajar di Alor Setar, ramai yang memanggil sekolah ini dengan gelaran "kolej" dan alumni mereka juga disebut sebagai "Collegians". Pengetua pertama sekolah ini ialah Mohammad bin Iskandar iaitu merupakan bapa kepada Perdana Menteri Malaysia yang keempat Tun Dr Mahathir. Alumni sekolah dikenali sebagai SAHOCA

Sekolah ini dahulunya merupakan sekolah campur sebelum ditukarkan kepada sekolah semua lelaki. Ia juga merupakan sekolah bersejarah kerana telah melalui zaman peperangan kedua yang dahsyat di mana sekolah ini telah ditutup seketika semasa tentera jepun datang ke Tanah Melayu.

Kolej Sultan Abdul Hamid sangat bergiat aktif dan telah menyebarkan namanya kerana ramai daripada pelajar sekolah ini telah memasuki pertandingan-pertandingan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa dalam membentuk pemimpin seperti Pertandingan Bahas Ala Parlimen dan juga Pertandingan Pidato.

pancaragam ksah 289

Selain itu, pasukan pancaragam sekolah ini merupakan salah satu pasukan pancaragam tertua yang telah ditubuhkan dan ia juga telah memenangi beberapa anugerah di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Disebabkan pelajar-pelajar mempunyai karisma yang tinggi, ini memberi peluang bagi mereka untuk melibatkan diri dalam bidang kepimpinan. Pasukan ragbi KSAH juga digeruni oleh sekolah-sekolah di Kedah.

Tokoh tersohor yang pernah dilahirkan di sekolah ini ialah Perdana Menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman dan juga yang keempat iaitu Tun Dr Mahathir Mohammad. Selain itu, bekas Yang di-Pertuan Agong dan juga Sultan Kedah, Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah juga merupakan alumni sekolah ini.

Kolej Sultan Abdul Hamid telah berjaya melahirkan 2 Sultan Kedah, 2 Tokoh Ketenteraan, 6 Ketua Hakim Negara termasuk ketua hakim negara yang pertama, Yang di-Pertua Negeri Penang juga merupakan bekas presiden Dewan Negara, seorang tokoh diplomat dan juga bekas penyerang bola sepak negara yang pernah bermain di Jerman dan Perancis, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

sumber: 

  1. Wikipedia MCKK
  2. Wikipedia KSAH
  3. Wikipedia EC
  4. Wikipedia TKC
  5. Wikipedia St John



Hakcipta iluminasi.com (2017)