Rancangan TV merupakan salah satu cara meluangkan masa untuk berehat yang baik. Penulis sendiri cukup gemar menonton TV kerana memang banyak program berfaedah disajikan.
Bagaimanapun, ada juga masanya penulis gemar menonton rancangan televisyen yang sedikit berbeza penampilannya, tetapi bukan seburuk mana pun kandungannya. Cuma rancangan yang penulis gemarkan ini diwujudkan khas untuk mengganggu orang lain, sambil mendidik masyarakat dengan cara yang menghiburkan.
BESARKAN TEKS A- A+
Berbeza dengan program seperti Punk'd atau Wakenabeb yang kurang ilmiah, wujud satu lagi jenis program TV yang berisi tetapi tetap mengambil kesempatan atas 'keburukan' yang menimpa orang. Berikut adalah lima siri televisyen yang penulis rasa seronok, berilmiah dan dalam masa yang sama - suka 'troll' orang lain tanpa belas kasihan.
1. 'Nathan for You'
Rancangan yang berlangsung selama 4 musim sebelum penciptanya Nathan Fielder memutuskan untuk tidak menyambungnya, berjaya mencipta fenomena besar di Amerika Syarikat. Dalam setiap episod, Fielder akan memilih mana-mana perniagaan kecil di sekitar negara tersebut, untuk dibantu melalui 'idea-idea perniagaan' yang unik dan agak luar biasa.
Antara individu yang telah dibantu beliau adalah seorang pengusaha syarikat teksi kecil-kecilan, pemilik stesen minyak kecil dan juga ejen hartanah yang mendapati sangat sukar untuk mendapatkan pelanggan.
Dalam episod paling popular siri ini yang bertajuk 'Dumb Starbucks', Fielder memilih untuk membantu sebuah kedai kopi yang tidak menerima kunjungan yang diharapkan. Dengan menggunakan kelompongan pada undang-undang hak cipta, Fielder akhirnya mengambil saja konsep francais kopi Starbucks dan menukarkannya sebagai satu bentuk parodi bernama 'Dumb Starbucks.' Pembukaan 'Dumb Starbucks' mencetuskan fenomena di Amerika Syarikat dan dipuji kerana idea mudah tetapi sangat berkesan di belakangnya.
2. 'Joe Lycett Got Your Back'
Sebuah rancangan baru yang ditayangkan di Britain, 'Joe Lycett Got Your Back' memaparkan Joe Lycett pelawak di Britain yang gemar menjadikan isu-isu kepenggunaan sebagai bahan lawaknya.
Ekoran daripada itu, Joe Lycett diberikan ruang untuk menerbitkan rancangan komedi kepenggunaan di mana dia dibenarkan membantu orang ramai 'membalas dendam' terhadap mana-mana syarikat atau individu yang telah pun melakukan penipuan dalam perniagaan mereka.
Salah satu episod paling popular setakat ditayangkan, memaparkan Lycett mendedahkan kelemahan yang ada dalam sistem penghantaran makanan UberEats (seperti GrabFood) yang tidak mempedulikan tahap kebersihan restoran yang terpilih.
Lycett membuka sebuah restoran yang beroperasi dari dalam sebuah tong sampah, seterusnya mendaftar dengan UberEats. Permohonannya diterima dan restoran beliau mula beroperasi menghantar makanan tanpa syarikat Uber memeriksa kualiti perkhidmatannya.
3. An Idiot Abroad
Sebuah rancangan komedi yang menggabungkan dokumentari pelancongan serta sketsa-sketsa komedi yang ditidak berskrip, 'An Idiot Abroad' memaparkan hos Karl Pilkington yang dikatakan sebenarnya langsung tidak berminat melawat negara orang lain, tetapi dipaksa melancong sebagai tugasan.
Beliau diberikan tugas melancong ke semua negara yang terkenal dengan 'tujuh benda ajaib di dunia' dan selepas tiba di negara tersebut, PIlkington perlu belajar mengenai budaya serta masyarakat negara tersebut - semuanya atas arahan penerbit tanpa sebarang bentuk skrip diberikan.
Ini bermakna Pilkington sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya jadi dia sendiri perlu mempersiapkan diri dia untuk memenuhi tugasan yang diberikan, dengan setiap negara akan memberikan dia tugasan yang berbeza.
4. Jon Benjamin Has A Van
Sebuah rancangan yang sangat popular semasa tayangannya, 'Jon Benjamin Has Van' memaparkan hos rancangan itu Jon Benjamin dalam pelbagai situasi harian berdepan dengan orang ramai - tetapi dengan sengaja dipaparkan dalam bentuk komedi.
Dipaparkan dalam bentuk gabungan adegan berskrip dan adegan yang berlaku secara spontan, rancangan ini menjadi antara rancangan yang gemar membawa tajuk yang jarang sekali kita ingin ambil tahu tetapi didailkan karutnya ke tahap maksima.
Salah satu sketsa yang paling diingati adalah apabila Benjamin mencipta pertandingan kuiz trivia berjudul 'Cash Stall' di mana dia akan duduk di dalam sebuah tandas sambil memberikan peluang kepada mana-mana individu yang sedang menggunakan tandas di sebelahnya, menang USD100 kalau berjaya menjawab soalan dengan betul.
Tak ramai yang mahu menyertai pertandingan kuiz tersebut.
5. Da Ali G Show
Rancangan yang memulakan karier pelawak terkenal Sacha Baron Cohen sehingga memperkenalkan kita kepada watak-watak ikonik seperti Borat Sagdiyev (filem 'Borat') dan Bruno Gehard (filem 'Bruno') merupakan antara perintis terawal rancangan berbentuk satira parodi.
Da Ali G Show gemar menggunakan situasi sebenar dalam membincangkan sesuatu isu, melibatkan orang ramai tak kiralah apa saja jawatan atau profesion mereka dan Baron Cohen akan sentiasa kekal berada dalam watak. Soalan-soalan yang ditanya juga mengarut bagi menduga kesabaran individu yang ditemuramah.
Watak-watak yang dipaparkan juga seringkali menimbulkan kontroversi, ekoran taktik provokasi yang disengaja dicetuskan, di mana Baron Cohen kebiasaannya tidak takut untuk menjentik sensitiviti mereka yang terlibat atau sensitiviti penonton sendiri. Sekiranya anda minat dengan komedi berbentuk 'troll', siri ini patut menjadi tapak permulaan tontonan anda kerana komedi yang dipaparkan, mampu membuatkan anda tak henti ketawa.