Oleh pada 02 May 2018 kategori

Siri MTV Unplugged satu masa dulu adalah antara siri paling diminati ramai peminat muzik pada era 90-an, namun popularitinya menurun. Pada bulan Ogos 2017, MTV mengambil langkah memulakan semula siri Unplugged mereka di Amerika Syarikat menerusi persembahan dan pelancaran album MTV Unplugged penyanyi terkenal Shawn Mendes, sebagai permulaan baru kepada siri legenda ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Siri unplugged ini pula bakal diteruskan di United Kingdom menerusi persembahan dan pelancaran album kugiran nombor satu di UK ketika ini, Biffy Clyro menerusi siri jelajah panjang yang akan bermula pada 25 Mei 2018.

Adakah anda salah seorang yang pernah merasai demam MTV Unplugged semasa kemuncaknya dulu? Berikut adalah 5 persembahan paling ikonik siri MTV Unplugged yang tetap segar sehingga ke hari ini, membuktikan persembahan yang hebat mampu kekal relevan merentasi zaman. Apa pendapat anda? Adakah ada persembahan MTV Unplugged lain yang menyentuh perasaan anda?

5. Pearl Jam (1992)

pearl jam unplugged

Persembahan yang diadakan pada tahun 1992 ini adalah antara persembahan yang mempersembahkan kumpulan sebagai Pearl Jam dalam bentuk berbeza. Walaupun kumpulan ini sendiri mengakui mereka kurang berpuas hati dengan senarai pilihan lagu mereka, bagi peminat Pearl Jam - peluang untuk mendengar lagu-lagu Pearl Jam dalam perspektif yang berbeza sudah cukup untuk membuat rasa teruja tiba.

Konsert ringkas yang hanya berlangsung selama lebih setengah jam, hanya tujuh lagu dapat dimainkan namun suara Eddie Vedder yang unik membuatkan pendengar dan penonton mampu hilang dalam melodi unik ciptaan mereka. Persembahan ini benar-benar membuktikan Eddie Vedder merupakan antara vokalis terbaik genre rock dunia.

4. Alice in Chains (1996)

alice in chains lejen unplugged

Persembahan yang dibuat lebih kurang 2 tahun selepas persembahan ikonik kumpulan Nirvana, persembahan MTV Unplugged kumpulan Alice in Chains tidak dapat mengelak daripada dibincangkan dalam konteks yang sama. Bagaimanapun, selepas berehat panjang ekoran masalah ketagihan dadah Layne Staley, Alice in Chains naik ke pentas untuk beraksi secara akustik dan mempersembahkan persembahan mengagumkan.

Menampilkan 13 buah lagu yang dipetik daripada barisan lagu terbaik mereka, persembahan Alice in Chains pada hari itu dipuji ramai. Untuk seorang vokalis yang sudah 2 tahun lebih berhenti mengadakan persembahan atas masalah dadah, Layne Staley mempersembahkan kemampuan vokal yang dikatakan terbaik sepanjang kariernya dalam persembahan tersebut.

3. Eric Clapton (1992)

eric clapton unplugged tears in heaven

Difilemkan di England serta memenangi banyak anugearah dalam festival Grammy tahun 1993, persembahan Eric Clapton diiringi kugiran pengiringnya malam itu benar-benar memukau jiwa. Menjadi salah satu album paling berjaya sepanjang karier Eric sendiri dan menjadi salah satu persembahan yang mempopularkan siri MTV Unplugged ke seluruh dunia.

Dirakamkan sebulan selepas kematian anaknya yang jatuh daripada tingkat 53 bangunan, Eric Clapton mempersembahkan lagu 'Tears in Heaven' yang didekasikan kepada anaknya buat kali pertama dalam persembahan itu. Pada 2004, gitar yang digunakan beliau dalam persembahan itu dilelong pada harga $800,000.

2. Paul McCartney (1991)

beatles paul mccartney unplugged

Album pertama yang dilancarkan dalam siri MTV Unplugged, persembahan Paul McCartney pada hari itu adalah persembahan yang boleh dikatakan seratus peratus akustik, dengan penggunaan mikrofon dan perakam yang digunakan semuanya menggunakan kaedah tradisional.

Menggabungkan beberapa lagu dalam karier solonya, ditambah dengan beberapa lagu artis lain serta lagu kumpulan popularnya Beatles, persembahan Paul yang dibuat di Wembley, London membuka jalan kepada konsep pengeluaran album album akustik oleh MTV.

1. Nirvana (1994)

nirvana mtv unplugged 1994

Peminat kepada kumpulan Nirvana pada satu masa dulu pasti merasa pelik melihat Nirvana berada di atas pentas dalam keadaan baik tanpa ada sebarang peralatan dipecahkan. Pentas akustik inilah yang membuktikan disebalik semua kemarahan dan kacau bilau masalah hidup, dalam diri Kurt Cobain ada seorang penulis dan pemuzik yang serius.

Peluang ini digunakan sepenuhnya Nirvana untuk mempersembahkan sisi mereka yang jauh berbeza, dibantu ketiadaan banyak lagu-lagu popular mereka digantikan dengan lagu-lagu sendiri yang jarang diperkatakan, lagu yang dikarang oleh idola Kurt Cobain dan tetamu jemputan kumpulan Meat Puppets yang kurang dikenali tetapi memberi pengaruh besar pada karya Nirvana. Persembahan penutupnya merupakan salah satu detik paling penting dalam sejarah industri muzik dunia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)