Semua yang pernah bercinta pasti mempunyai banyak kenangan tersendiri, baik duka mahupun luka. 

Dalam zaman sekarang dengan kewujudan teknologi yang memudahkan komunikasi dan pergerakan fizikal, misteri dalam bercinta semakin lama semakin terurai sehingga semuanya jadi lebih mudah dan terbuka. Jauh berbeza dengan beberapa dekad dulu.

Berikut adalah lima kenangan pasangan yang bercinta zaman dahulu yang tidak lagi mampu diulangi, disebabkan oleh hidup yang semakin mudah - membuatkan bercinta sudah lagi tidak mencabar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Tak sabar nak mendapat balasan surat

surat cinta kekasih

Bila kali terakhir anda menghantar surat kepada seseorang?

Sebelum wujud emel, surat menjadi antara medium komunikasi yang digunakan. Bagi pasangan yang bercinta, menunggu surat yang dinantikan hadir cukup dirasai seksanya.

Satu surat yang dihantar memerlukan masa dua hari sekiranya dipos dalam negeri yang sama, sementara 3 hari atau lebih sekiranya negeri destinasinya berbeza. Sudahlah kita dipermainkan oleh waktu, kadangkala pejabat pos pun mempermainkan kita bila ada kesilapan pemprosesan surat terjadi.

Rasa gementar nak menunggu apakah isi kandungan warkah balasan tu memang sukar nak diceritakan, tapi bila surat sampai gembiranya tak terkata. Buka surat pula siap ada bedak kononnya nak bagi wangi kertasnya. 

Berapa kali baca surat tu pun tak bosan - berbeza dengan emel yang sekali baca, cukuplah.

2. Simpan gambar dalam dompet

simpan foto dalam dompet

Zaman digital, semuanya ada. Gambar kekasih pun si kekasih dah muat naik beratus-ratus gambar di media sosial, tinggal nak tengok saja.

Tetapi bagi couple dulu, dapat sekeping gambar si dia pun dah memadai. Gambar tu lah yang ditatap setiap kali rindu hadir, mampu membuatkan kita tersenyum mengenangkan diri kita berdua.

Takut hilang, gambar yang dihadiahkan itu akan disimpan dalam dompet kerana faktor keselamatan serta untuk lebih mudah untuk dibawa ke mana-mana. Peluang mak ayah nak tertangkap anak simpan gambar orang lain dalam dompet pun tipis.

Ada 'feeling' yang syahdu bila kita tahu si dia sendiri hadiahkan gambar kat kita, kerana kita tahu gambar itu eksklusif untuk kita. 

3. Bil telefon yang membuatkan mak ayah sakit jantung

nokia telefon lama sms

Dulu nak telefon seseorang, seminit panggilan pun dah tinggi bayarannya. Kos lagi tinggi sekiranya panggilan dibuat di antara dua negeri yang berjauhan. Sekiranya seorang tinggal di Malaysia Timur dan seorang lagi di Malaysia Barat, memang masaklah nak bayar bil.

Tak menghairankan bil telefon satu masa dahulu boleh mencecah RM200 ke RM300 sekiranya dalam isi rumah ada individu yang sedang kemaruk bercinta. 

Sikit-sikit nak telefon kononnya bertanya khabar. Nak tanya dah makan ke belum. Saja nak dengar suara sebenarnya. Zaman sekarang, teman tinggalkan mesej suara kat Whatsapp pun ada kalanya biar dulu 'blue tick' dulu lepas sejam dua, barulah kita nak menjawabnya. 

4. Terpaksa tunggu tepi telefon semasa panggilan

telefon lama telekom

Untuk mana-mana pasangan yang mak ayahnya jenis tegas tak ingat, nak berhubung melalui telefon pun perlu dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Mungkin sebab faktor malu ataupun mungkin juga takut ayah kejar dengan parang.

Tetapi, keinginan nak berhubung tu ada jadi ramai juga usaha berjanji buat panggilan pada waktu-waktu tertentu. Ini penting bagi membolehkan si dia yang menanti panggilan dapatlah menunggu tepi telefon supaya dia boleh angkat telefon cepat-cepat sebelum mak, ayah atau lebih teruk adik yang kaki kecoh jawab panggilan tu.

Kita pun tunggulah sambil mundar-mandir tepi telefon tak keruan kerana dah berjanji, sebelum mak marah suruh gi buat kerja-kerja rumah. Baru kita menapak, telefon berdering dan ayah kita pula yang tolong jawabkan.

Yang memanggil pula hati berdebar-debar takut sebab tak tahu rancangan akan berjaya ke tak. Siapa yang akan jawab telefon - si dia ataupun ayah dia yang sudah diketahui tak suka kat kita?

5. Mampu bertemu hanya atas dasar percaya

remaja sekolah minat meminati

Kemudahan teknologi zaman sekarang memudahkan janji temu dilakukan.

Kita boleh janji dengan seseorang untuk bertemu di mana, pada pukul berapa dan dia siap boleh bagi kita anggaran waktu dia akan tiba. Lebih best, si dia siap kongsikan 'live location' dia supaya kita tahu bila dia dah dekat.

Dulu tak ada semua tu. Pasangan yang berjanji nak berjumpa kena rancang semuanya terlebih dahulu. Pukul berapa nak berjumpa, di mana nak berjumpa, hari apa nak berjumpa. Kalau lambat nak buat apa.

Untuk orang yang jenis on time, tak ada masalah tetapi ada kalanya kita tak bernasib baik bercinta dengan orang yang langsung tak boleh menepati masa. Tercongoklah kita depan kedai menantikan dia.

Nak ke tempat lain tak boleh sebab waktu tu telefon bimbit pun belum ada jadi nak tak nak kenalah kekal di situ, takut lepas merayau sekejap si dia muncul pula tengok kita tak ada.

Tetapi semua kegusaran itu akan hilang pada detik pertama kita ternampak si dia dari jauh berjalan ke arah kita. Rasa rindu yang selama ini terbungkam melayang serta merta digantikan dengan rasa nak cepat-cepat menikah pula. 

Malangnya, tak jauh di belakang dia ada ayah dia rupanya.

Patutlah lambat kerana ayah dia ikut sekali. Nak bagi amaran dah tak boleh. Bertemu janjilah kita dengan si dia dan ayah dia bersama-sama, bertiga. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)