Drone kini menjadi kegilaan ramai golongan muda terutamanya yang gemar mengambil gambar dan video. Amat mudah untuk membeli sebuah drone, terlalu banyak jenis dan pilihan yang boleh anda beli. Malah, harganya juga ada yang murah serendah RM100. Di pasaran kini terlalu banyak pilihan, daripada jenama yang bagus seperti DJI sehinggalah drone murah yang boleh dibeli di pasar malam. 

Walau bagaimanapun, anda haruslah bijak mempertimbangkan beberapa perkara sebelum membeli agar tiada pembaziran yang berlaku. Tidak kiralah anda mahu membeli drone pertama atau menaik taraf done anda, mari ketahui beberapa perkara asas yang perlu dipertimbangkan apabila membeli drone.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Tujuan

Setiap orang pastinya mempunyai tujuan tertentu untuk membeli drone. Adakah anda mahu mengambil video atau gambar? Atau sekadar suka-suka? Adakah drone tersebut akan digunakan di luar (outdoor) atau dalam bangunan (indoor) sahaja? Bagi kegunaan dalam bangunan, drone bersaiz kecil sudah memadai manakala bagi kegunaan luar, drone bersaiz besar lebih digalakkan kerana perlu mengambil kira faktor lain seperti kelajuan angin dan ketahanannya.

Selain itu, ketahui tahap skil anda. Bagi drone asas, biasanya ia lebih mudah dikawal dan sesetengahnya  membolehkan anda mengawal menggunakan telefon bimbit. Drone untuk pengguna baru biasanya lebih mudah dikawal dan tidak terlalu teknikal. Bagi drone yang lebih canggih, biasanya ia akan menggunakan alat kawalan jauh dan lebih sukar dikawal pada awalnya.

2. Kamera

fungsi kamera pada drone

Antara fungsi utama yang biasanya perlu dipertimbangkan anda kualiti kamera. Adakah anda memerlukan kamera atau tidak? Sekiranya tidak memerlukan kamera, lebih baik beli sahaja drone yang tidak didatangkan sekali dengan kamera kerana harganya jauh lebih murah berbanding yang mempunyai kamera. Selan itu, ada juga drone yang tidak mempunyai fungsi kamera terbina (built-in) tetapi mempunyai ruang khas untuk anda meletakkan kamera aksi (action camera) padanya.

Kualiti gambar kamera drone juga perlu diberi perhatian. Kamera dengan kualiti gambar dan video HD, harganya tentulah lebih mahal. Drone yang lebih mahal juga biasanya dilengkapi gimbal yang membolehkan anda mengambil gambar dan merakam video dalam keadaan stabil.

3. Ketahanan Bateri

drone kalis air

Selain kamera, ketahanan bateri adalah satu lagi perkara yang mesti diambil kira. “Flight time” adalah istilah yang biasanya digunakan untuk membandingkan ketahanan bateri sesuatu drone. Drone yang lebih murah biasanya boleh terbang selama 7 minit atau kurang dengan sekali caj bateri. Drone yang lebih mahal dan bagus pula boleh terbang lebih lama, sekitar 20 minit atau lebih.

Bagi yang berkemampuan, anda juga boleh membeli bateri tambahan yang dijual secara berasingan. Walau bagaimanapun, anda perlu mengambil kira kos tambahan pembelian bateri tambahan tersebut. Belilah mengikut kegunaan anda.

4. GPS

fungsi gps pada drone

Bagi pengguna biasa, fungsi GPS mungkin tidak diperlukan. Bagi pengguna lebih professional, fungsi ini membolehkan anda mengetahui lokasi (coordinate) setiap gambar yang dirakam. Biasanya drone dengan GPS ini mempunyai beberapa mod yang lebih canggih, antaranya mod Return-to-home (RTH) dan mod Follow-Me.

Mod RTH adalah mod navigasi yang membantu anda kembali ke tempat asal sekiranya anda tersesat. Sementara itu, mod Follow-Me pula membolehkan drone anda mengikuti dan merakam video anda secara automatik tanpa kawalan anda ketika anda sedang melakukan aktiviti lasak seperti bersukan dan hiking.

5. Bajet

Kalau ikutkan nafsu, segalanya kita mahukan yang terbaik, daripada kualiti kamera, GPS sehinggalah kepada ketahanan bateri. Oleh itu, ketahui bajet anda. Berapakah anda sanggup melabur untuk sebuah drone? Berbaloikan membeli drone yang mahal sekiranya hanya membeli sekadar suka-suka dan bukan kerana minat?

Kredit:

  1. PopSci
  2. Drone & Quadcopter
  3. Beginner Flyer



Hakcipta iluminasi.com (2017)