Terdapat banyak filem dan siri TV yang mengisahkan tentang masa hadapan dan cuba meramal apa yang terjadi atau teknologi yang digunakan ketika itu.
Walaupun ada sebahagiannya kelihatan mengarut dan masih belum wujud pada hari ini, sebahagian lagi pula menepati apa yang berlaku sekarang. Berikut adalah ramalan filem dan siri TV tentang masa hadapan yang benar-benar berlaku.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Eternal Sunshine of the Spotless Mind (2004) – Prosedur memadamkan ingatan
Dalam filem sains fiksyen romantik ini, dua orang kekasih iaitu Clementine (Kate Winslet) dan Joel (Jim Carrey) cuba untuk memadam ingatan sedih dan trauma tentang hubungan mereka menggunakan teknologi.
Pada hari ini, beberapa pakar perubatan dan saintis mendakwa memadam ingatan tertentu tidak lagi mustahil. Malah, seorang saintis Holand mendakwa ubat jantung biasa juga boleh digunakan untuk mengurangkan kesan memori trauma atau memadamnya.
Beberapa uji kaji juga telah berjaya dilakukan ke atas tikus. Ingatan takut tikus itu berjaya dipadam setelah ubat yang disuntik ke dalam badan tikus itu menyekat sintesis protein. Pengkaji dari University of Toronto juga mendapati tentera yang menderita PTSD mampu diubati setelah ingatan trauma mereka dipadam.
2. Star Trek (1960) – Telefon pintar, Bluetooth, terraforming dan lain-lain.
Star Trek adalah siri TV Amerika yang mula ditayangkan pada 1960-an dan ia banyak memberi idea mengenai teknologi masa hadapan yang kita gunakan pada hari ini.
Pada tahun 1976, siri Star Trek memperkenalkan telefon bimbit, jam pintar, tablet dan peralatan Bluetooth. Pada tahun 1987 pula, siri The Next Generation memaparkan wataknya menggunakan komputer touchscreen.
Malah, salah satu siri The Wrath of Khan yang diterbitkan pada 1982 memaparkan idea unik mengenai terraforming iaitu proses membangunkan planet lain menjadi seperti Bumi.
Kini, Elon Musk sedang berusaha membangunkan teknologi terraforming dan merancang untuk mencipta penempatan di Marikh pada masa akan datang.
3. Total Recall (1990) – Kereta pandu sendiri
Filem sains fiksyen yang dibintangi oleh Arnold Schwarzenegger ini mengisarkan tentang kehidupan di Marikh pada tahun 2084. Dalam filem ini, banyak teknologi yang dipamerkan dan beberapa di antaranya menjadi kenyataan.
Salah satu teknologi yang menarik perhatian ialah mengenai kereta pandu sendiri. Dalam filem itu, kelihatan satu robot sedang memandunya.
Setelah dua dekad filem ini dihasilkan, banyak syarikat dan pengkaji berusaha untuk menghasilkan kereta pandu sendiri. Beberapa syarikat seperti Tesla dan Google sudahpun menerajui bidang ini. Baru-baru ini, sebuah syarikat AutoX telah melancarkan perkhidmatan teksi Robo di Shanghai, China.
4. WarGames (1983) – Penggodam atas talian
Dalam filem ini, seorang pelajar sekolah cuba menggodam syarikat permainan video kegemarannya tetapi tidak sengaja mendapat akses ke komputer super tentera AS. Komputer super itu diprogramkan untuk meramal kemungkinan perang nuklear berikutnya.
Dia secara tidak sengaja mencetuskan ketegangan antara AS dan USSR ketika itu dan cuba sedaya upaya untuk menghentikan Perang Dunia Ketiga.
Ketika filem itu ditayangkan, penggodam atas talian hanyalah rekaan tetapi ia menjadi kenyataan pada hari ini. Filem itu jelas membayangkan bahawa tiada apa yang selamat di atas talian kerana mampu digodam penggodam.
5. Demon Seed (1977) – Rumah pintar
Filem ini adalah yang pertama memaparkan teknologi rumah pintar atau smart home. Filem ini mengisahkan seorang saintis bernama Dr. Alex Harris yang mencipta AI (artificially intelligent) bernama Proteus IV untuk mengubati leukemia.
Selepas itu, Proteus IV telah jatuh cinta pada isteri Dr. Alex dan mengawal semua peralatan teknologi di rumahnya. AI itu mengawal semua benda seperti pintu, tingkap, kunci, kamera dan banyak lagi menggunakan teknologi.
Pada hari ini, teknologi seperti itu dapat dilihat pada rumah pintar di mana kebanyakan peralatan rumah dikawal oleh sistem pengkomputeran dan hanya berada di hujung jari.
6. The Truman Show (1998) – Rancangan TV Realiti
Filem komedi yang diterbitkan ini dibintangi oleh Jim Carrey. Ia mengisahkan tentang kehidupan Truman Burbank melalui kamera tersembunyi. Truman tidak menyedari bahawa dia hidup di sebuah "studio" yang besar dan dikelilingi pelakon. Setiap hari, kehidupan Truman ditonton oleh dunia luar.
Pada era 90-an, idea rancangan TV realiti ini kedengaran mengarut tetapi ia amat popular pada hari ini. Namun, filem The Truman Show berjaya meramal rancangan TV realiti yang akan popular pada masa hadapan.
Pelbagai rancangan TV realiti seperti Big Brother, Survivor dan Akademi Fantasia yang menjadi popular di kalangan penonton. Penonton suka melihat situasi sebenar kehidupan seseorang itu walaupun pada hakikatnya kebanyakan babak dan kejutan telah dirancang terlebih dahulu.
8. The Terminator (1984) – Drone tentera
Filem arahan James Cameron ini meramalkan mengenai drone tentera. Dalam filem The Terminator, sebuah robot daripada tahun 2029 telah mengembara ke tahun 1984 untuk membunuh seorang wanita supaya anak yang belum dilahirkannya tidak memimpin manusia menentang robot jahat.
Dalam peperangan antara manusia dan mesin itu memaparkan tentang drone tentera di masa hadapan. Drone yang dikawal komputer dan robot menembak ke arah manusia dan menyebabkan banyak kematian.
Hari ini, kebanyakan drone digunakan oleh tentera di seluruh dunia untuk tujuan pemantauan atau menyerang sasaran menggunakan bom yang berpandukan laser. Robot juga digunakan untuk memusnahkan bom, membuat pencarian di bangunan terbakar serta pelbagai lagi fungsi.