Sekiranya ada seorang peminat drone, DJI adalah jenama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. DJI adalah sebuah syarikat yang memonopoli pasaran drone seluruh dunia dan menjadi pilihan penggemar drone di Malaysia. Dengan pelbagai ciri menarik dan teknologi terbaru padanya, drone buatan DJI pastinya akan menjadi pilihan utama.  

DJI atau Da-Jiang Innovation Technology adalah idea seorang pemuda bernama Frank Wang yang berasal dari China. Mari selami kisah kejayaan syarikat ini sehingga menjadi pelopor dalam dunia drone.

Siapakah Frank Wang?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Beliau lahir pada tahun 1980 di Hangzhou, China. Emaknya merupakan seorang cikgu manakala bapanya pula seorang jurutera. Sejak kecil lagi beliau sudah mempunyai minat terhadap objek terbang dan gemar menghabiskan masa membaca buku mengenai teknologi penerbangan. Cita-citanya sejak daripada kecil adalah mencipta sebuah objek terbang yang dilengkapi dengan kamera dan boleh mengikut pergerakannya. Ketika berumur 16 tahun, beliau menerima sebuah mainan helicopter pertamanya yang boleh dikawal dengan alat kawalan jauh.

Beliau kemudiannya meneruskan pengajian di East China Normal University dalam bidang psikologi. Semakin meningkat usianya, beliau semakin obsess dengan teknologi objek terbang dan bercita-cita meneruskan pengajian di universiti terkemuka di Amerika Syarikat. Malangnya, beliau bukanlah seorang yang cemerlang dalam akademik dan keputusan peperiksaannya membantutkan hasratnya itu. Beliau kemudiannya diterima masuk ke Hong Kong University of Science & Technology (UST) pada 2003.

Ketika di tahun akhirnya di universiti, beliau berjaya mencipta helikopter dan alat kawalan jauhnya yang pertama. Pensyarahnya dalam bidang robotik, Li Zexiang telah mengesan bakatnya ini dan telah menjadi mentornya untuk projek akhir tahun pengajiannya disitu. Dibawah pengawasan Prof. Li Zexiang, beliau telah berjaya mencipta sebuah miniatur helikopter yang diiktiraf sebagai yang pertama didunia berjaya terbang ke puncak Gunung Everest.

Kejayaan inilah yang menjadi inspirasi penubuhan syarikat DJI.

Da-Jiang Innovation Technology

dji spark drone murah

DJI merupakan idea Frank Wang. Antara ahli terawalnya adalah Jinying Chen, Zhihui Lu dan Chuqiang Chen. Pada awalnya, syarikat ini hanya beroperasi di sebuah apartment 3 bilik yang didiami mereka. Zhihui Lu, iaitu ahli termuda DJI telah menutup syarikat kecilnya sebelum berpindah ke Shenzen untuk menyertai DJI. Ketika itu duit poketnya hanya tinggal 100 dollar.

Pada peringkat awal, mereka akan merakam video mengenai helikopter ciptaan mereka dan memuatnaik ke internet. Hasil ciptaan mereka ini padanya awalnya hanya mampu dibeli oleh golongan tertentu seperti pihak universiti dan syarikat-syarikat milik kerajaan. Sebuah helicopter biasanya dijual pada harga $6000 manakala kos menghasilkannya pula sekitar $2000.

Pada penghujung tahun 2006, mereka berjaya menjual secara purata 60 buah helicopter setiap bulan serta telah mendapat pelaburan sebanyak $90000 daripada Lu Di, kawan kepada keluarga Frank. 2 tahun kemudian, iaitu pada 2008 drone pertama DJI telah dihasilkan. Pada tahun inilah 3 ahli kumpulan DJI yang terawal iaitu Lu, Chujiang telah Jinying telah meninggalkan DJI, membawa bersama-sama mereka teknologi penciptaan drone.

Perkembangan DJI ke Seluruh Dunia

drone dji phantom Pada 2011, DJI mula bertindak agresif. Mereka telah memperkenalkan alat kawalan yang lebih canggih dengan fungsi auto pilot. Mereka juga berjaya mengurangkan kos pembuatan drone daripada $2000 sebuah kepada hanya $400 sebuah.

Bagi meluaskan pasaran ke seluruh dunia, syarikat DJI North America telah ditubuhkan dengan kerjasama Colin Guinn. Colin menguasai 48% pegangan saham manakala DJI memegang 52% saham. Setahun kemudiannya, mereka berjaya mencipta pakej lengkap untuk sebuah drone, daripada perisian, gimbal, alat kawalan jauh dan sebagainya.

Pada tahun 2013, mereka memperkenalkan Phantom yang terus melonjakkan pendapatan DJI. Pada ketika itu, 30% pendapatan DJI datang daripada Amerika Syarikat, 30% daripada Eropah, 30% daripada Asia manakala selebihnya daripada Amerika Latin dan Afrika. DJI telah membeli kembali kesemua pegangan saham Colin Guinn. Pada tahun tersebut, pendapatan DJI sudah mencecah $130 juta!

Kini, syarikat DJI dianggarkan bernilai $10 bilion dimana Frank memegang 45% pegangan saham dengan nilai kira-kira $4.5 bilion. Kisah kejayaan DJI ini adalah contoh dimana minat yang mendalam terhadap sesuatu perkara ditambah pula rancangan yang strategik berjaya menghasilkan sebuah empayar perniagaan besar dunia.

Kredit:

  1. WikiPedia
  2. Yo! Success



Hakcipta iluminasi.com (2017)