Mengikuti perkembangan isu semasa adalah sesuatu yang sihat, untuk kita lakukan setiap hari.
Bagaimanapun dengan perkembangan penggunaan internet serta media sosial, isu semasa yang diketengahkan kepada fokus kita sudah jadi 1001 cerita disebabkan terlalu banyak sumbernya. Setiap hari kita sebenarnya dibebankan dengan bermacam jenis topik, isu dan kisah yang kelihatan perlu kita 'ambil berat' pada dasarnya...
BESARKAN TEKS A- A+
Realitinya banyak perkara yang kita cakna dan ambil tahu ini sebenarnya hanyalah pembuang masa kita. Berikut adalah 5 perkara buang masa yang kita kerap buat setiap hari, kerana mengikutinya membuatkan kita rasa kita tahu isu semasa.
1. Isu politik
Orang Malaysia dan politik memang tak boleh dipisahkan, walaupun majoriti antara kita sedar sebenarnya borak-borak politik sesama kita...samalah seperti borak-borak pakcik-pakcik di kedai kopi. Bunyinya lantang, tapi tak menghasilkan apa-apa.
Anda mungkin merasakan usaha anda setiap hari mahu 'menyedarkan' rakyat Malaysia agar mengundi parti yang anda undi sebagai satu kerja murni, tetapi hakikatnya politik tidak berlangsung seperti itu.
Kita boleh berkempen bagai nak rak mahu menjulang pihak yang kita nak, lantang bersuara memburukkan pihak yang kita tak suka. Tetapi bila kedua-dua pucuk pimpinan parti mencapai kata sepakat menjalinkan kerjasama, yang malu akhirnya anda juga.
Sedarlah - menjadi fanatik politik ini adalah satu perbuatan sia-sia walaupun anda ada ramai pengikut dan peminat yang gemar mengikuti perspektif politik anda.
2. Gosip selebriti
Selain politik, gosip selebriti juga menjadi antara isu yang kerap dijadikan pengisi perbualan kita.
Ada sesuatu yang sangat aneh berkaitan industri hiburan kita yang penulis nampak. Anda perasan tak, ramai sebenarnya selebriti di Malaysia ni lebih gosip daripada karya? Nak kata dia berlakon, dah tak nampak drama dia. Nak kata dia menyanyi, satu single pun tak ada.
Tetapi namanya tetap popular di media kerana kisah kehidupan dia. Entah apa yang menarik sangat tak tahulah, sehinggakan ramai di antara kita tekun mengikuti apa yang berlaku dalam hidup mereka.
Kadangkala dalam sesetengah situasi ganjil, tiba-tiba ramai pula pasangan selebriti mahu bercerai dan berkonfrontasi tentang hal ehwal dalaman keluarga dalam media sosial. Kita pun ikutlah cerita dia siap letakkan diri kita nak sokong belah siapa.
3. Isu viral
Setiap isu tular melibatkan orang biasa yakni bukan selebriti, biasanya akan hangat hanya sekitar 3 ke 5 hari. Tamat tempoh itu, warga siber akan mula beralih ke isu lain.
Sementara isu itu tengah hangat, berjuta-juta warga siber daripada pelbagai latar belakang masyarakat akan berdebat, menyerang, mengkritik, menghujah, mempertahankan, mewacanakan isu-isu tular ini seolah isu itu tersangat penting sekali darjatnya.
Ada yang sampai tak siap kerja, tak tidur malam, tak basuh pinggan, semata-mata mahu membalas komen atau menyiapkan video balasan bagi membincangkan isu tersebut. Kita mahu orang lain tahu pandangan kita terhadap sesuatu itu.
Walhal selepas 5 hari, orang dah tak peduli pun.
4. Isu pemain dan kelab bola
Komitmen seseorang yang benar-benar mengikuti isu kelab dan pemain bola hampir boleh menyaingi ketaksuban seorang fanatik politik.
Kalau peminat politik percaya dia mampu mengubah hala tuju masyarakat, peminat kelab bola pula percaya kelab bola sepak yang dia minati serta pemain yang dia ikuti...peduli dengan pandangan dia.
Hari-hari dia keluarkan cadangan kepada pengurusan kelab supaya beli pemain mana, buang pemain yang tak tunjuk prestasi baik. Pasal bab gaji pemain pun dia kongsikan pandangan dia.
Walaupun dalam bab gaji sendiri pun dia semput tiap-tiap bulan, dia masih ada rasa yakin nak mendesak kelab bola sepak untuk naikkan gaji pemain yang dia gemari.
5. Layan haters di media sosial
Kalau anda dah lama aktif dalam media sosial, sudah pastilah anda akan mempunyai sekurang-kurangnya seorang atau dua orang haters. Ini pasti akan berlaku, walau macam mana baiknya imej anda sekalipun.
Apa yang biasa akan berlaku..walaupun ada 100 orang sealiran dengan kita, kalau ada 1 orang yang kritik kita; orang yang satu itulah yang akan diberikan perhatian khas oleh kita. Kita sanggup balas hujah dia dan kita sanggup tunggu nak tengok apa balasan dia.
Padahal kita tak kenal pun dia dan yang lebih penting, dia tak kenal pun kita siapa.
Kalaulah masa yang kita gunakan untuk 'menang ke atas haters' itu digunakan untuk tujuan yang lebih berfaedah, banyak benda lain yang boleh dah kita selesaikan.
Anda tahu tak cara paling senang nak menang lawan haters ni? Buat bodoh aje dengan apa dia balas kepada anda. Tak perlu rasa malu pun anda tak layan provokasi yang dia buat, semata-mata nak anda rasa marah dan teruja.