Semua perusahan dan perniagaan mendapat keuntungan apabila barangan atau perkhidmatan mereka dibeli oleh pengguna.

Jadi, adalah tidak mengejutkan untuk mengetahui bahawa mereka berusaha keras untuk berfikir dan memastikan anda membeli apa yang mereka jual.

Di samping itu, banyak syarikat mempunyai cara tersendiri untuk mencapai sasaran ini yang mana melibatkan psikologi dan sains. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Cara dan trik ini biasanya tidak disedari oleh kebanyakan pengguna walaupun ia dilakukan secara jelas. iluminasi.com kongsikan 5 cara dan trik yang direka bentuk untuk membuatkan anda berbelanja lebih.

5. Media sosial

rekabentuk aplikasi media sosial buatkan anda ketagihan

Laman media sosial, terutama Facebook dan Instagram, telah menerima beberapa banyak komen negatif sejak kebelakangan ini. Laman-laman ini menyebabkan ketagihan dan telah dipersalahkan untuk pelbagai masalah kesihatan yang dahsyat.

Bagaimana ini boleh berlaku? Facebook dan Instagram menyebabkan ketagihan kerana ia sengaja direka sedemikian.

Malah, Facebook mempunyai beribu-ribu saintis dan jurutera komputer untuk membangunkan cara baru untuk menjadikan produk mereka menjadi ketagihan.

Satu adalah penciptaan butang "like" dan skrol tanpa batasan. Skrol tanpa batasan ini bermaksud anda tidak perlu klik butang "seterusnya" atau "next" untuk ke halaman seterusnya seperti mana yang ada di laman sesawang lain.

Sebaliknya, kandungan lebih banyak akan dimuatkan secara automatik apabila anda semakin ke bawah halaman dan ia berterusan tanpa henti.

Hal ini secara tak langsung membuatkan pengguna menjadi ketagihan.

Dalam hal ini, Facebook tidak memperoleh sebarang keuntungan kerana anda menggunakannya secara percuma, tetapi mereka mendapat wang daripada pada pengiklan yang memaparkan iklan di laman mereka.

4. Pasar raya

rekabentuk pasar raya buatkan anda berbelanja lebih

Pasar raya mempunyai banyak cara untuk membuatkan anda menghabiskan lebih banyak wang daripada yang anda sangka.

Segalanya bermula dari pintu masuk, yang sering diisi dengan bunga berwarna-warni dan hasil ladang yang segar.

Pandangan yang menenangkan melegakan mood anda, yang menjadikan anda lebih bersedia untuk berbelanja. Hidung anda tidak terlepas daripada godaan ini di mana ia seringkali dihidangkan dengan bau-bau ayam panggang atau roti yang sedang dibakar.

Telinga anda juga dihidangkan dengan muzik yang membuatkan anda tenang. Orang yang tenang akan berjalan lebih perlahan dan menghabiskan masa melihat produk-produk.

Semakin lama anda melihat produk, semakin tinggi kecenderungan untuk anda membeli walaupun ia tidak termasuk dalam bajet anda. 

Pasar raya juga mengatur barang-barang mereka di rak menggunakan apa yang disebut "planogram". Ini pada dasarnya merupakan kaedah mengatur barang-barang di rak untuk memaksimumkan jualan.

Barang-barang yang disimpan pada paras mata atau betul-betul di bawahnya biasanya yang paling mahal. Dan barangan ini juga adalah yang pertama yang anda lihat.

Barangan yang lebih murah dan lebih berguna biasanya diletakkan di bahagian atas atau bawah rak. Barangan yang diletakkan di awal lorong juga sering lebih murah daripada yang di tengah-tengah. 

3. Apple Store

rekabentuk apple store buatkan anda berbelanja lebih

Apple mereka bentuk kedainya supaya anda boleh mula menguji produknya sebaik sahaja anda melangkah masuk ke dalam kedai.

Produk-produknya diatur dengan kemas dan dalam kedudukan sedia untuk dicuba. Malah, kedudukan Macbook diangkat sedikit supaya anda dapat melihat papan kekunci dan skrin pada masa yang sama.

Setiap item disambungkan ke Internet, yang mana boleh digunakan secara percuma. Anda juga boleh menggunakan gajet seberapa lama yang anda mahu tanpa diganggu oleh pekerja kedai.

Apple melakukan perkara ini kerana mereka percaya bahawa orang lebih cenderung untuk membeli sesuatu gajet jika mereka berinteraksi lebih lama dengannya.

Apple juga memastikan bahawa anda mempunyai pengalaman membeli-belah yang lancar dengan menyediakan banyak ruang kosong, tanpa spanduk atau iklan yang mengganggu. Mereka juga menyembunyikan pendawaian dan kabel dari pandangan. 

2. Starbucks

rekabentuk starbucks buatkan anda berbelanja lebih

Lokasi Starbucks mempunyai banyak helah yang membuatkan anda membeli lebih banyak daripada yang anda mahukan.

Segala-galanya bermula dari saat anda berjalan masuk melalui pintu, yang mana memaparkan pelekat dan poster menonjol yang mengandungi beberapa item pada menu mereka.

Poster berada di paras mata anda, jadi anda akan melihatnya dengan jelas. Jika anda berjaya untuk tidak melihat poster ini, mereka mempunyai lebih banyak lagi di bahagian lain yang mana akan tetap dilihat pelanggan.

Lokasi basbucks direka supaya anda berjalan melewati kawasan tempat duduk untuk sampai ke kaunter pesanan di bahagian belakang atau jika anda bernasib baik, ia terletak di tengah kedai.

Ini dilakukan untuk memastikan anda melihat tempat duduk walaupun anda tidak pernah merancang untuk duduk. Anda lebih cenderung untuk membelanjakan lebih banyak wang apabila anda berada di dalam kedai.

Kaunter tempahan juga direka dengan lampu terang dan ruang yang kecil antara juruwang dan pelanggan, supaya anda berasa lebih dekat dengan mereka.

Ruang antara kaunter pesanan dan kaunter mengambil minuman juga dipenuhi dengan banyak iklan untuk membuatkan anda berbelanja lebih banyak wang.

1. McDonald’s 

rekabentuk restoran mcdonald s buatkan anda berbelanja lebih

McDonald menggunakan beberapa trik untuk cuba membuatkan anda berbelanja lebih. Seperti Starbucks, pintunya dipenuhi dengan gambar produk jualan paling laris tetapi tanpa paparan harga.

Poster lain di dalam kedai juga tiada harga kerana McDonald mahu anda berfikir tentang makanan dan bukannya wang. Menu digital di kaunter juga diprogramkan untuk membuat anda berbelanja lebih.

McDonald's sering menambah animasi yang mengarahkan perhatian anda kepada item yang baru dan lebih mahal yang mereka mahu anda beli.

Pelanggan yang memilih makanan yang sihat juga tidak terlepas dari trik rantaian makanan segera ini. Orang yang memesan sesuatu yang mereka rasa sihat biasanya kurang berhati-hati dengan menambah beberapa hidangan sampingan kurang sihat.

Mereka akhirnya memamakan sejumlah kalori yang mana mereka cuba untuk elakkan pada asalnya. 

Rujukan:

1. BBC

2. The Conversation

3. Fit Small Business

4. Business Insider




Hakcipta iluminasi.com (2017)