Kehidupan zaman kini kian menjadi-jadi di mana menjadi jutawan dan kelihatan hidup mewah menjadi impian kebanyakan orang. Ini sekaligus membuatkan manusia menjadi hamba wang ringgit. Malah, ramai juga yang ingin kelihatan kaya walaupun miskin dan tahu ia akan merosakkan.
Namun, jika dilihatkan kepada mereka yang benar-benar kaya, sebenarnya mereka ini tidak pun terlalu mencuba untuk kelihatan kaya, dan itu sebenarnya membuatkan mereka kaya. Sikap individu kaya sangat bertentangan dengan mereka yang kelihatan kaya dari segi penampilan, namun realitinya miskin.
BESARKAN TEKS A- A+
iluminasi.com ingin berkongi 6 perkara yang dilakukan oleh orang kaya yang tidak dilakukan oleh orang kebanyakan.
1. Tidak kelihatan kaya
Aspek yang paling penting dalam kehidupan mereka yang benar-benar kaya, adalah dimana orang sekeliling tak dapat mengetahui bahawa mereka adalah orang kaya. Mereka kelihatan seperti orang biasa, berpakaian dan memandu kereta biasa, dan juga bekerja seperti mana anda bekerja.
Dan mereka yang kelihatan hidup mewah dan seperti hendak meniru kekayaan orang lain, mungkin sebenarnya miskin. Di saat anda cuba memperlihatkan kehidupan mewah, mereka yang kaya pula sedang hidup seperti orang biasa. Ini kerana orang kaya hanya fokus kepada apa yang penting sahaja, membuatkan mereka boleh menjadi kaya.
Contoh yang paling popular adalah Mark Zuckerberg dan Simon Cowell. Walaupun tersangat kaya, mereka hanya mengenakan pakaian biasa seperti orang biasa.
2. Melabur
Dan apabila seseorang itu menjadi kaya, mereka akan melakukan perkara yang tidak dilakukan oleh orang biasa, iaitu melabur wang membeli barangan yang memperkayakan kehidupan mereka, bukan hanya sekadar pelaburan wang ringgit. Mereka akan membeli karya seni, melabur membeli jongkong emas dan barangan antik.
Barangan seperti ini akan semakin bernilai saban hari dan merupakan satu pelaburan yang sangat berbaloi. Dan apa yang lebih menarik, barangan ini mempunyai ciri yang sangat penting, iaitu sukar untuk dijual.
Sebagai contoh, wang tunai RM1,000 sangat mudah dihabiskan, namun lukisan bernilai RM1,000 tak mampu dijual dengan kadar segera, membuatkan pemiliknya mampu membuat keputusan sebelum menjualnya.
3. Membuat peruntukan
Ini yang paling penting, bajet. Orang kaya mempunyai bajet sendiri, dan mereka sentiasa mengikut bajet yang ditetapkan. Bajet adalah sesuatu yang sangat penting, tak kiralah sama ada anda miskin atau kaya. Dengan mempunyai peruntukan setiap bulan, anda boleh mengetahui jumlah wang yang masuk dan keluar, serta hanya membelanjakan wang kepada perkara yang perlu.
Secara tak langsung, anda lebih berdisiplin, dan mampu menyimpan wang secara berterusan. Ini yang membuatkan orang yang kaya itu kekal kaya. Namun apa yang dilakukan oleh kebanyakan orang adalah berbelanja tanpa had, dan langsung tak mempunyai bajet. Hasilnya, tiada simpanan dan mula mengeluh mengenai taraf kehidupan yang semakin menekan.
4. Berjimat cermat
Sama seperti bajet, berjimat merupakan sesuatu yang dilakukan oleh orang kaya yang tidak dilakukan orang biasa. Jika seseorang itu berjimat cermat, secara tak langsung mereka akan kurang membazir. Perlu diketahui bahawa berjimat dan kedekut adalah dua perkara berbeza.
Berjimat adalah membelanjakan apa yang diperlukan, manakala kedekut adalah menahan daripada berbelanja perkara yang diperlukan. Manfaat berjimat adalah sangat besar dimana anda akan mampu menyimpan wang walaupun sedikit demi sedikit. Seperti kata pepatah, "Setiap satu sen yang disimpan, adalah satu sen yang diperoleh".
Gaji yang anda peroleh setiap bulan tidak membuatkan anda kaya, tetapi simpanan anda lah yang menentukan betapa kayanya anda. Jika gaji anda RM5,000 dan hanya menyimpan RM100 sebulan, berbanding individu bergaji RM2,500 dan mampu menyimpan RM1,000 sebulan, maka, anda lebih miskin daripada individu tersebut.
5. Tak bersara
Sememangnya tak ada yang mampu menjadi kaya raya dengan masa yang singkat, melainkan anda melakukan scam menipu orang lain, atau menjadi pengasas dan menjual produk kosmetik atau teh kurus yang langsung tak berkesan, hanya untuk menjadi kaya raya. Orang kaya biasanya menghabiskan masa hidupnya dengan membina kekayaan dengan bersungguh-sungguh disulami dengan menyimpan.
Namun, terdapat banyak manfaat dengan tidak bersara, yang mana kebanyakannya daripada orang kaya memiliki perniagaan sendiri. Apabila anda bekerja sendiri, anda lebih semangat untuk terus bekerja ia merupakan bisnes anda. Dan jika mereka seperti ini bersara, ia pastinya membuatkan mereka berasa bosan dan tak senang duduk.
6. Beli barangan berkualiti
Bukan kerana mahu berlagak dan menunjuk-nunjuk, namun orang kaya membeli barangan yang mahal dan berjenama, adalah disebabkan kualiti. Manakala orang yang tidak, biasanya akan berbelanja kepada barang yang murah, yang mana kualitinya sangat teruk.
Sebagai contoh, adalah lebih baik membeli kasut berharga RM100 dan mampu bertahan selama 3 tahun, daripada membeli kasut berharga RM20 yang hanya mampu bertahan 2 bulan. Berbelanja sedikit tidak semestinya terbaik. Ini adalah sebab mengapa orang kaya menghabiskan wang membeli barangan mahal, namun hanya barang yang diperlukan sahaja, iaitu keperluan, bukannya kehendak.