Ahli politik - satu profesion yang sering mendapat perhatian ramai, berikutan kedudukan mereka yang sebenarnya agak dekat dengan orang ramai khasnya melibatkan pembuat-pembuat dasar.

Disebabkan itulah ahli politik sering disanjung ataupun lebih malang dicerca dan dihina, setiap kali berlakunya sesuatu perkara atau isu tertentu berkaitan dengan politik negara.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ramai individu bukan ahli politik merasakan mereka mampu buat lebih baik, berbanding ahli politik sendiri. Persoalannya benarkah anda berkemampuan sedangkan ada banyak tanda menunjukkan sebaliknya?

1. Anda ikhlas nak membantu

politik adalah visi peribadi

Satu kesilapan yang seringkali disalah anggap oleh masyarakat umum terhadap ahli politik, adalah bagaimana ahli politik sepatutnya meletakkan kepentingan rakyat nombor 1 dalam kerjaya mereka.

Bagi kita, mereka berkhidmat untuk rakyat.

Kurang tepat tu. Ada sebabnya mereka berkempen habis-habisan sebelum dipilih, kerana hanya semasa kempenlah mereka boleh 'menceritakan' kepada anda apa matlamat peribadi mereka sebagai individu dan juga ahli parti yang hendak dilaksanakan - untuk membolehkan mereka diangkat sebagai wakil rakyat.

Hanya dengan ganjaran menjadi wakil rakyat, barulah mereka akan, layak atau mahu membantu anda. Faham tak bagaimana hirarki keutamaan seorang ahli politik sebenar?

Bagi kita yang naif, seorang ahli politik perlu ikhlas untuk berkhidmat. Realitinya, mereka mahukan kuasa terlebih dahulu sebelum berkhidmat. No power no talk.

Jika ada sekalipun ahli politik yang nak berkhidmat tanpa kuasa, dia melakukannya dengan harapan pada pilihanraya seterusnya dia akan diberikan mandat kuasa.

Itu adalah sesuatu yang perlu kita terima sebagai normal kerana bagi ahli politik - kuasa adalah simbol kejayaan.

Adalah segelintir yang ikhlas, tetapi selalunya mereka ini jarang nak ambil port pasal politik.

2. Anda tak sanggup ambil kesempatan ke atas orang

manipulasi orang lain

Pernahkah anda melihat ada peluang untuk anda mendapatkan keuntungan atau faedah kepada anda, sekiranya anda mampu memanfaatkan hubungan antara anda atau orang lain?

Politik mengamalkan budaya di mana kita perlu memanfaatkan hubungan itu, demi kepentingan sendiri sebagau sesuatu perkara biasa.

Sekiranya hubungan itu mampu melonjakkan kedudukan anda dalam cabang hirarki organisasi politik, kenapa tak digunakan saja kelebihan itu?

Orang biasa akan melihat situasi itu sebagai satu perbuatan tidak beretika dan tidak sepatutnya diambil peluang, namun naik dengan menggunakan atau lebih kejam 'memijak' orang lain haruslah dilihat sebagai asam garam biasa dalam politik.

Cuba anda jawab satu soalan mudah - anda rasa lebih baik anda menang atau anda lebih gembira tengok orang lain menang?

Jika anda rasa malu-malu kucing untuk jadi pemenang kerana takut tengok orang lain menderita anda, janganlah sertai politik.

3. Anda mahu amalkan jujur dan telus

politik peribadi atau rakyat

Ahli politik yang bercakap jujur dan telus tanpa menyembunyikan tujuan atau matlamat beliau yang sebenar, tidak akan bertahan lama dalam politik.

Ini kerana dalam politik kita perlu bersiap sedia untuk menghadap apa saja taktik baik bersih atau kotor yang akan digunakan untuk menjatuhkan anda.

Daripada sekecil-kecil jawatan AJK parti cawangan sekalipun, 24 jam sehari 7 kali seminggu setiap masa ahli politik perlu ingat - ada orang lain mengidam jawatan dia di bawah sana.

Bermain politik dengan sikap terlalu terbuka akan memudahkan orang lain memahami gerakan anda.

Apatah lagi apabila anda ni jenis suka bercakap atau gemar memuat naik status media sosial mencatatkan apa saja aktiviti dan buah fikiran anda.

Musuh politik anda akan menggunakan apa saja peluang dan bukti yang ada, untuk menjatuhkan anda tanpa ada rasa bersalah pun - kerana bagi ahli politik, sebarang bentuk kelemahan yang terpapar haruslah dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Cuma bila nak dimanfaatkan itu, bergantung pula kepada strategi anda dan mereka.

4. Anda tak cukup tegas dan degil

mulut ahli politik adalah peluru

Bagi mereka yang pernah bergelar pengurus, pasti anda sudah tahu bagaimana rasanya memegang tanggungjawab menyelia orang lain. Enak kan pengalaman itu?

Menyelia perangai dan masalah orang lain adalah tugas yang cukup menyulitkan kerana kita bukan saja perlu menyelesaikan masalah pekerja bawahan.

Bahkan dalam masa yang sama turut perlu menyelesaikan konflik yang wujud mungkin di kalangan pekerja dengan pekerja atau pekerja dengan anda.

Bagi seorang pengurus, keperluan menguruskan konflik sedemikian tidaklah berlaku setiap hari. Bagi seorang ahli politik, itulah kerja mereka seharian khasnya mereka yang berstatus wakil rakyat.

Letakkan diri anda dalam kedudukan seorang ahli politik apabila dua kumpulan penduduk A dan B datang mengadu.

Kumpulan A marah kumpulan B kerana meniaga ditempat tak sepatutnya. Kumpulan B marah kumpulan A kerana kacau mereka berniaga, selepas mereka kehilangan kerja.

Apa keputusan anda sekiranya keputusan yang mampu memuaskan hati kedua-dua pihak gagal dicapai? 

Hendak tak hendak, pasti akan ada pihak tidak berpuas hati dengan keputusan yang anda berikan seterusnya akan cuba mengheret isu itu kepada pihak lebih tinggi.

Adakah anda sebagai ahli politik perlu menangisi isu tersebut di rumah dengan linangan air mata? Tidak.

Anda perlu anggap isu itu selesai. Tutup buku.

Keperluan untuk bersikap tegas kepada orang lain serta diri sendiri inilah yang membezakan mentaliti antara seorang ahli politik berjaya, dengan seorang ahli politik yang tidak akan diberikan peluang mentadbir.

5. Anda takut gunakan kuasa anda

kuasa ahli politik perlu dimanfaatkan

Bagi orang ramai yang duduk di luar lingkungan politik, majoriti kita melihat tindakan seorang ahli politik mengaplikasikan kuasa yang dimilikinya untuk menyelesaikan sesuatu isu sebagai sesuatu yang negatif.

Akan keluarlah bermacam tuduhan seperti 'gila kuasa' atau 'poyo' dan bermacam lagi tuduhan dilemparkan, sedangkan itu adalah hak yang telah diberikan kepada mereka oleh kita semasa pilihanraya.

Anda yang memberikan mereka kuasa, jadi kenapa kita memandang sinis mereka menggunakannya?

Seorang ahli politik pasti akan membawa visi peribadi serta matlamat parti sebagai wadah perjuangan mereka selepas mendapat mandat.

Agak bodohlah seorang ahli politik untuk tidak menggunakan kuasa yang dia ada untuk melaksanakan perubahan, mengikut acuan yang dia rasakan perlu.

Apa matlamat anda terhadap negara kita? Anda mahu lompat parti tidak dibenarkan? Anda mahu elaun wakil rakyat dipotong? Anda mahu kapitalis dilemahkan?

Semua itu boleh berlaku hanya sekiranya anda ada kuasa. Manfaatkan sepenuhnya bila peluang kepada anda datang dan jangan bimbang persepsi orang ramai.

6. Anda hati tisu

hati tisu sesuai jadi ahli politik politician

Menulis di Iluminasi ini pun kadangkala mampu meremukkan hati kami, melihat komen-komen pembaca yang ada kalanya keterlaluan. Sebab itulah kami penulis, bukan ahli politik.

Kami percaya ahli politik yang mampu kekal lama dalam arena politik negara, semuanya sebenarnya berjiwa kental. Jika ada pun yang menampakkan sindrom hati tisu, itu hanyalah lakonan atau strategi untuk mereka mengawal sentimen yang ada.

Seperti seorang bekas Perdana Menteri yang menangis semasa berucap satu ketika dulu.

Sebaik-baik mana pun seorang ahli politik cuba mempositifkan sentimen masyarakat terhadap dirinya, pasti akan ada ketidak puashatian wujud yang cuba memburukkan beliau.

Realitinya, bukan semua orang sanggup membaca kritikan atau cemuhan kepadanya yang bersifat peribadi - apatah lagi cemuhan-cemuhan itu datang setiap hari.

Jadi ahli politik ni, buat keputusan salah, tak buat keputusan pun salah. Sokong benda betul salah. Bangkang benda betul salah. Lawan cakap parti dijulang rakyat, ikut cakap parti dijulang kawan.

Serba salah dibuatnya setiap hari berdepan gelora politik kita. Jika hati anda tak cukup keras dan cukup kental nak hadap semua ni, baru baca artikel ni pun dah rasa terbakar - lebih baik anda jangan jadi ahli politik.


Oleh sebab itulah apabila ramai mencadangkan agar Ebit Liew diangkat sebagai wakil rakyat, penulis tergelak saja.

Berdasarkan senarai di atas, anda rasa berapa lama Ebit Liew akan bertahan dalam politik, hanya berdasarkan kepada sentimen positif anda?

Walaupun senarai di atas meletakkan ahli politik sebagai seorang individu tak berhati perut yang tegas, gila kuasa, gemar manipulasi orang dan tidak endah perasaan orang lain - bagi penulis, sifat-sifat tersebut sebenarnya perlu ada untuk seseorang mampu bertahan dalam politik negara kita.

Asalkan apa yang diperjuangkan beliau seiring dengan perlembagaan negara, tidak melanggar tata susila masyarakat kita dan tidak dilakukan dengan kelakuan jenayah demi membentuk Malaysia yang lebih baik.

Apa salahnya mereka gila kuasa jika tangan kita juga yang mengundi mereka?




Hakcipta iluminasi.com (2017)