Oleh pada 07 Nov 2022 kategori

Amalan demokrasi yang ditinggalkan oleh British kepada masyarakat kita, membawa kepada amalan kaedah pilihanraya dalam menentukan siapa yang naik memimpin masyarakat.

Walaupun jelas sisi positif pilihanraya membolehkan setiap orang mempunyai suara melalui peti undi, dalam masa yang sama demokrasi juga membenarkan calon-calon yang aneh, pelik dan ganjil diletak atau mengemukakan diri sebagai calon.

Ramai calon terpilih benar-benar layak berdasarkan rekod khidmat mereka. Ada yang diletakkan sebagai taktik meluaskan kuasa. Ada juga lima jenis calon yang sebenarnya sedikit meragukan kita.

1. Calon bidan terjun tempat orang

calon politik bidang terjun

Setiap kali pilihanraya, akan wujudlah calon yang dinamakan tercalon di sesebuah negeri yang langsung tiada kaitan dengan dia. 

Sudahlah tinggal jauh dari negeri yang ditandingi, sekali pun sebelum itu calon tersebut tak pernah nampak muka dia di sana, melainkan atas tujuan melancong.

Alih-alih tiba musim pilihanraya, dialah yang menyuarakan hasrat, visi, kebimbangan dan hala tuju kawasan yang ditandinginya tanpa ada hubungkait. Dalam situasi yang lebih melucukan, itulah juga kali pertama dia bertanding pilihanraya. 

Parti-parti yang masih mengamalkan kaedah penamaan calon sebegini memang beranggapan orang ramai ni bodoh agaknya? Kami dah masak dah perangai YB-YB yang duduk jauh dan hanya sekali-sekala hadir menjenguk pengundi yang memilih mereka. Nasihat penulis, tolak saja calon sebegini.

2. Calon bebas yang bergantung dengan gimik

calon wakil rakyat gimik

Dalam setiap pilihanraya, akan muncul ramai calon bebas menamakan diri untuk bertanding. 

Bagaimanapun dalam sesetengah calon bebas, jelas kriteria serta kualiti sebagai seorang pemimpin yang diperlukan kurang ada - sehinggakan mereka pun mengakui mereka bertanding hanya untuk suka-suka. 

Tidak dinafikan di luar negara sudah banyak kali pilihanraya menyaksikan calon-calon suka-suka sebegini bertanding. Yang bukan manusia menang pun ada!

Namun sekiranyalah calon yang bertanding secara seronok dan gimik ini benar-benar menang kerusi yang ditandinginya disebabkan gimik kempen yang berjaya, siapa agaknya yang bakal jadi mangsa situasi? YB baru itu atau mereka yang mengundi dia?

3. Calon parti besar yang diletak untuk kalah

pusat penamaan calon

Setiap gabungan dan parti yang meletakkan calon bertanding dalam pilihanraya, di depan kita memang menyuarakan pandangan mahu mengharapkan calon itu menang. 

Tetapi jika anda kupas sikit demi sedikit helah politik masyarakat kita, ramai sebenarnya calon yang dipilih diletakkan dalam sesuatu kerusi hanya untuk kalah -khususnya apabila melibatkan kawasan yang penyandang kerusi itu kukuh kedudukannya atau nama besar politik negara.

Jika parti atau gabungan itu tak bertanding di kawasan tersebut, tindakan sedemikian hanya akan mengakibatkan orang ramai melihat parti atau gabungan tak serius mahu membentuk kerajaan.

Hendak tak hendak parti perlu mengenalpasti kerusi mana yang peluang kemenangannya diramalkan sangat rendah dan mengenal pasti pula calon yang 'sesuai' untuk dipertandingkan, demi menjaga air muka.

Kadangkala dalam situasi sebegini, calon yang terpilih tak sedar mereka sebenarnya hanyalah seorang korban keputusan tertinggi parti.

4. Calon yang dicalon hanya kerana hubungan persaudaraan

calon ahli keluarga politik

Satu perkara paling aneh yang masih berlaku dalam menamakan calon pilihanraya kita, adalah bagaimana setianya kita kepada darah daging ahli politik yang masih ada atau telah meninggalkan kita.

Jika ayahnya tak dapat bertanding, besar kemungkinan anaknya akan menggantikan dia - walaupun kelulusan, kemahiran dan reputasinya tak ada.

Begitulah juga yang sangat kerap berlaku. Pemilihan calon hanya dibuat hanya kerana ada pertalian darah, pertalian kekeluargaan atau sekadar hubungan bau-bau bacang.

Sekiranya ada pertikaian di kalangan ahli parti membantah penamaan calon disebabkan faktor kekeluargaan sebegini, mereka yang tidak menghormati keputusan pucuk pimpinan parti itu pula akan dicemuh kerana tidak setia dengan proses pemilihan yang telah dijalankan.

5. Calon yang bertanding kerana dendam

tukar parti kerana ikut ketua

Proses penamaan calon yang bakal bertanding pilihanraya memang bukan satu proses mudah. Daripada ratusan atau ribuan ahli parti yang ada di setiap cawangan, hanya seorang sahaja akan terpilih.

Pasti akan timbul pergeseran dan rasa tak puas hati. Bila dah rasa marah - bagi yang memiliki sokongan besar, mereka akan mulalah mempersoalkan kenapa mereka tak terpilih?

Sampailah ke satu tahap individu itu akan mengumumkan dia keluar parti, untuk menyertai parti lain atau bertanding secara bebas.

Kita yang hanya melihat dari luar tahulah keputusan sebegitu dibuat dengan rasa amarah, emosi dan nafsu, bertujuan untuk membalas dendam keinginan peribadi tidak dipenuhi.

Hilang sudah ayat-ayat seperti 'siapa saja yang dipilih adalah calon yang terbaik', 'yang tak terpilih akan membantu dia menang' atau 'semuanya demi kesejahteraan rakyat' yang sering diucap sebelum itu.

Semua kerenah-kerenah ahli politik ini berlaku disebabkan oleh penerimaan kita terhadap sistem demokrasi. Baik buruk cantik hodoh pilihanraya, kita layan sajalah kerana inilah cara yang dipersetujui majoriti kita.

Kan?




Hakcipta iluminasi.com (2017)