ketagihan telefon

Teknologi banyak membantu kita.

Walau demikian, tidak dapat dinafikan teknologi juga banyak memainkan peranan dalam hidup kita sehinggakan hidup kita pula dikawal oleh teknologi, sehinggakan tanpa sedar tabiat atau kelakuan kita dibentuk oleh teknologi yang kita gunakan seharian.

Berikut adalah lima contoh paling jelas bagaimana teknologi mempengaruhi kita, sehingga kita tidak sedar ada ketikanya teknologi itu sendiri melemahkan kita.

1. Ada acara tetapi lebih sibuk bergambar

pergi konsert ambil video

Lambakan video-video konsert serta persembahan yang dirakamkan orang ramai di dalam Youtube, membuktikan terlalu ramai orang yang berusaha menyaksikan persembahan yang diadakan tetapi lebih fokus untuk merakamkan detik tersebut tanpa mengalami sendiri apa yang berlaku di depan matanya. Dalam erti kata lain, ramai orang kini lebih suka menonton sesuatu yang sedang berlaku di depannya, menerusi skrin telefon pintar.

Perkara ini berlaku di mana-mana. Ibu bapa yang menonton persembahan anak-anak mereka juga kini lebih selesa berdiri menghadang pemandangan orang lain, hanya untuk memastikan mereka dapat merakamkan saat itu dalam telefon. Menonton konsert juga berdepan cabaran tangan-tangan yang memegang telefon, sehingga mengganggu pandangan.

Kita menyertai sesuatu acara untuk merasai sendiri pengalaman tersebut agar disimpan dalam memori atau lebih senang menontonnya menerusi skrin yang sedang merakam, supaya kita dapat melihatnya kembali bila-bila masa? Anda putuskanlah sendiri.

2. Kita dah lupa nombor telefon

terlupa nombor telefon ketika kecemasan

Cuba sebutkan nombor telefon yang anda selalu hubungi? Pasti ramai yang menghadapi kesukaran kerana kita dah jarang melihat nombor telefon berikutan teknologi mesej yang percuma disediakan serta akses kepada buku rekod nombor telefon yang sangat moden, di hujung jari kita.

Namun satu masa dulu, keupayaan mengingati nombor telefon merupakan salah satu perkara yang cukup penting bagi setiap individu. Sebut saja nama ibu, ayah, pejabat, kampung, teman, pasangan, suami, isteri - setiap satu nombor boleh kita ulangi kerana semuanya terpahat dalam memori.

Siapa di sini akan menghadapi kesukaran untuk menelefon individu yang dipercayai seandainya kita kehilangan atau menghadapi kerosakan telefon? Bagaimana seandainya kita mengalami kecemasan dan kita tiada akses kepada buku telefon kita? Pada pandangan penulis, pastikan kita berupaya mengingati sekurang-kurangnya 2 atau 3 nombor untuk kemudahan kita bila saat memerlukan.

3. Terlalu bergantung dengan GPS

kemalangan disebabkan gps tabiat buruk teknologi

Kisah kemalangan yang berlaku sama ada disebabkan kesilapan sistem GPS ataupun kecuaian manusia kerana terlalu menurut GPS acapkali kedengaran, mungkin bukan di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Semakin ramai individu yang kehilangan apa yang kita boleh katakan sebagai 'common sense' sehingga menurut sistem GPS secara membabi buta.

Dalam bergantung kepada sistem GPS, kita juga semakin tidak menghiraukan papan tanda atau petunjuk yang berada secara fizikal di depan kita. Masih ingat lagi bagaimana kita menerangkan tentang corak laluan untuk ke suatu destinasi tidak lama dulu?

"Kau pusing kanan, ada pokok besar. Terus sikit lepas pokok tu ada kedai runcit belah kiri, depan sekolah. Lepas saja sekolah ada simpang kanan, masuk simpang tu terus saja sampai nampak pintu gerbang. Rumah pertama sekali belah kiri lepas pintu gerbang tu lah rumah ketua kampung."

Fuuh! Berbeza sekali dengan "bro, send location." Perjalanan kita memang menjadi lebih lancar, tetapi kita akan fokus kepada arahan GPS tanpa mempedulikan petunjuk-petunjuk yang ada dalam membantu kita mengenali dengan lebih baik lokasi yang kita tujui.

4. Kita mudah rasa bosan

main telefon walaupun kemalangan

Anda ada rasa yang setiap masa anda perlu diisi dengan sesuatu? Anda ada rasa yang anda perlu 'catch-up' dengan apa yang berlaku di dunia luar, menerusi informasi yang dikongsikan oleh orang ramai? Pernahkah anda rasa kosong apabila anda tak perlu buat apa-apa dan anda rasakan masa itu perlu diisi dengan sesuatu, tak kiralah dengan menonton di skrin, menyemak media sosial atau hanya sekadar membelek-belek telefon menukar 'wallpaper' telefon anda?

Apa yang anda rasakan itu adalah kesan yang datang daripada kebergantungan kita pada penggunaan telefon pintar yang sentiasa ada menemani kita. Kita ada rasa perlu untuk isi masa kita dengan 'sesuatu' tak kiralah apa.

Oleh yang demikian, kita semakin hilang keupayaan untuk duduk di mana-mana memerhatikan saja apa yang berlaku di depan mata. Ada masanya kita perlu duduk dan membiarkan saja dunia bergerak, dengan kita menyerap apa yang berlaku tanpa perlu mengisinya dengan informasi-informasi yang sebenarnya tidak penting sangat pun, pada kita.

5. Kita dah jarang bercakap

kelemahan teknologi tabiat

Salah satu trend paling membimbangkan penulis yang semakin kerap dilihat, adalah bagaimana sekumpulan individu boleh duduk di kedai makan dan makan bersama, namun kesemuanya leka memandang telefon masing-masing. Sukar untuk penulis fahami kenapa itu berlaku.

Pada waktu perayaan, dapat dilihat dengan jelas jurang di antara perwatakan generasi muda dan tua, di mana generasi muda kelihatan kurang berminat untuk bertanyakan khabar pakcik dan makcik mereka - lebih selesa menatap skrin telefon bermain permainan video terbaru yang sedang hangat.

Kisah suami isteri yang berantakan disebabkan terlalu leka dengan telefon juga semakin kerap kedengaran. Walaupun bunyinya kelihatan remeh serta agak kelakar bila dibaca oleh orang luar, apa yang berlaku adalah benar serta pasti memberikan kesan besar pada keluarga tersebut. Bagaimanalah rasanya membesar dengan mengetahui ibu atau ayah kita bercerai kerana salah seorang daripada mereka terlalu leka menatap skrin telefon?


tags : , , , , , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)