Apa yang ada pada media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan lain-lain? Bagi sesetengah orang, ianya mungkin sekadar akaun peribadi di internet untuk berkongsi gambar, video atau apa sahaja kepada rakan-rakan dan ahli keluarga.

Bagi menjaga reputasi syarikat atau organisasi, ada sesetengah syarikat atau organisasi yang memperkenalkan peraturan tertentu kepada pekerja atau ahli mereka agar tidak berkongsi sesuatu di akaun media sosial peribadi yang boleh memberi kesan buruk kepada syarikat atau organisasi itu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mungkin sesetengah orang berpendapat bahawa akaun peribadi di media sosial adalah hak peribadi dan tidak memberi kesan kepada hidup mereka di dunia sebenar. Realitinya, kesilapan berkongsi sesuatu yang tidak sepatutnya di media sosial sebenarnya boleh menghancurkan hidup seseorang.

Berikut adalah beberapa contoh bagaimana penggunaan media sosial yang tidak bijak telah menghancurkan hidup seseorang individu. Diharapkan kisah-kisah ini menjadi tauladan kepada kita semua agar lebih bijak dan cermat dalam menggunakan media sosial.

1. Cabaran #PissOlympics

pissolympic challenge

Setiap tahun, internet dihujani dengan cabaran-cabaran yang pelik dan bodoh seperti Ice Bucket Challenge dan Pass Out Challenge. Pada tahun 2012 seorang pemuda berumur 19 tahun bernama Cameron Jankowski telah merakamkan akvitinya kencing pada makanan di tempat kerjanya di Taco Bell.

Video tersebut adalah bagi menyahut cabaran bodoh di internet yang dikenali sebagai #PissOlympics dimana seseorang individu dicabar untuk kencing pada sesuatu barangan di tempat kerja mereka. Cameron Jankowski menyatakan bahawa beliau kemudiannya membuang makanan tersebut dan sama sekali tidak menghidangkan makanan yang sudah dikencingnya itu kepada para pelanggannya.

Pihak kumpulan penggodam yang dikenali sebagai Anonymous kemudiannya telah menjejaki lelaki ini dan mendedahkan pelbagai informasi peribadinya. Bukan sahaja beliau dibuang kerja daripada Taco Bell, pemuda ini turut ditangkap dan dipenjarakan.

Walaupun berjaya membuktikan bahawa demonstrasi yang dirakam itu adalah menggunakan air Mountain Dew dan bukan air kencing sebenar, beliau menghadapi kesukaran untuk mencari pekerjaan selepas itu dan amat menyesali tindakan bodohnya itu.

2. Membuat reviu restoran yang berunsurkan fitnah

holly jones

Internet merupakan satu medium yang bagus untuk menaikkan atau menjatuhkan perniagaan seseorang dengan membuat reviu di internet dan sosial media. Seorang wanita bernama Holly Jones dan rakan-rakannya telah diminta menjelaskan bil berjumlah $700 untuk satu malam di restoran Kilroy’s Bar ‘N’ Grill.

Beliau dan rakannya tidak berpuas hati kerana mendakwa ianya terlalu mahal. Kebetulan pada ketika itu salah seorang pelanggan di restoran tersebut telah diserang penyakit jantung. Ambulans tiba tidak lama kemudian untuk menyelamatkannya. Bagi membalas dendam terhadap restoran tersebut, Holly Jones telah meninggalkan satu reviu berunsur fitnah di halaman Facebook restoran tersebut.

Beliau mendakwa bahawa beliau menikmati perasaan yang menakutkan di restoran tersebut kerana melihat mayat seorang wanita diusung keluar daripada restoran tersebut. Beliau juga mengatakan wanita yang mati itu adalah seorang penagih dadah dan menuduh pihak restoran bersalah membenarkan seorang penagih dadah masuk ke restoran tersebut. Pengurus restoran tersebut kemudiannya membalas reviu tersebut mengatakan bahawa wanita itu tidak mati dan bukannya seorang penagih dadah.

kesan sosial media

Pengguna Facebook rata-rata marah dengan fitnah yang dilemparkan oleh Holly Jones dan kisah ini mendapat liputan meluas akhbar. Beliau telah menutup akaun Facebooknya setelah menerima ancaman bunuh. Malangnya, terdapat seorang lagi wanita yang turut mempunyai nama sama iaitu Holly Jones. Akibatnya individu tersebut yang tidak bersalah dan tiada kaitan ini turut mendapat pelbagai ancaman bunuh.

Sementara itu, kedai dimana Holly Jones (yang bersalah) bekerja sebagai pendandan rambut ini turut diserang dengan pelbagai reviu buruk di halaman Facebook mereka. Ini memaksa mereka membuat pengumuman bahawa wanita tersebut tidak lagi bekerja untuk mereka. Kisah ini merupakan contoh bagaimana tindakan kita di media sosial bukan sahaja merosakkan kehidupan sendiri, tetapi orang lain.

3. Mangsa puting beliung adalah karma

hurricane harvey 547

Tidak kira apa fahaman politik atau agama anda, apabila terjadinya sesuatu bencana alam, adalah penting untuk kita menunjukkan simpati atau sekiranya tidak, lebih baik berdiam diri sahaja.

Pada tahun 2017, Kenneth L. Storey seorang professor sosiologi di University of Tampa telah menulis satu tweet di akaun Twitternya bahawa Puting Beliung Harvey (Hurricane Harvey) adalah "karma" sebagai balasan penduduk disitu yang mengundi dan menyokong parti Republikan dalam pilihan raya.

Menyedari tindakannya itu mungkin menimbulkan kemarahan, beliau membuang tweet tersebut dan menutup akaun Twitternya itu. Malangnya, ia sudah terlambat kerana ramai pihak yang sudah membaca tulisannya itu. Pihak universiti dikritik hebat kerana tindakannya itu dan akibatnya beliau telah dipecat serta merta.

Keesokan harinya, beliau telah menyatakan permohonan maafnya dan mengatakan beliau tidak bermaksud untuk mengguris perasaan mana-mana pihak. Sementara itu, pihak universiti juga telah mengatakan bahawa mereka turut menunjukkan sokongan soladiriti kepada mangsa kejadian bencana alam ini.

4. Rakaman video kentut viral

Seorang pengawal keselamatan bernama Paul Flart tiba-tiba menjadi viral pada tahun 2018 apabila rakaman videonya kentut tiba-tiba viral. Sebagai serang pengawal keselamatan, beliau hanya menghabiskan masanya duduk di kawasan lobi bangunan yang dikawalnya.

Mungkin kerana kebosanan, beliau telah mendapat idea untuk merakam dan mendokumentasi tindakannya kentut selama 6 bulan. Setiap video yang dirakam telah dimuat naik di akaun Instagram khas yang dibuatnya. Seorang pengguna internet telah bertindak membuat kompilasi video-video Paul Flart daripada akaun Instagramnya dan memuatnaik video kompilasi tersebut ke Youtube.

Video tersebut menjadi viral. Malangnya, pengurus beliau tidak menyukai tindakannya itu dan telah bertindak memecatnya. Paul Flart turut berkongsi video siaran langsung di Instagram saat-saat beliau dipecat itu. Beliau telah dipecat kerana isi kandungan video yang dimuat naik di akaun media sosialnya itu secara jelas menunjukkan pakaian unit beruniform yang dipakainya dan turut memaparkan secara jelas kawasannya bertugas.

Dalam erti kata lain, tindakannya itu telah mencemarkan imej baik syarikat. Walau bagaimanapun beliau optimistik dan percaya gimik yang dilakukannya itu mungkin membolehkan beliau popular dan menjana pendapatan mewah daripada media sosial pada masa hadapan.

5. Tweet yang menyinggung perasaan

claudia oshry

Claudia Oshry, seorang bintang media sosial yang juga dikenali dengan nama Girl With No Job telah ditawarkan rancangan eklusifnya sendiri di kaca televisyen pada bulan April 2017. Rancangan tersebut yang diberi nama The Morning Breath akan memaparkan beliau dan kakaknya sebagai hos rancangan tersebut.

Malangnya, tidak lama kemudian syarikat rakaman telah mengambil keputusan untuk membatalkan program tersebut setelah akhbar Daily Beast mendedahkan tweet ibu mereka yang sangat anti-Muslim. Claudia Oshry dan kakaknya cuba menjauhkan diri daripada ibu mereka dan mendakwa bahawa mereka tidak mempunyai masalah dengan orang Islam.

Walau bagaimanapun, dakwaan tersebut sama sekali tidak benar kerana setelah dikaji banyak tweet daripada akaun kedua mereka mengandungi mesej anti-Islam, penghinaan dan kebencian terhadap orang Islam. Kedua mereka akhirnya memohon maaf akibat tindakan tersebut.

Kredit:




Hakcipta iluminasi.com (2017)