Oleh pada 02 Aug 2022 kategori

Lif atau elevator mungkin sudah menjadi suatu perkara biasa bagi semua orang. Perkhidmatan yang dianggap lebih memudahkan berbanding tangga dan eskalator ini boleh didapati di hospital, kompleks beli-belah, bangunan pejabat bahkan sesetengah sekolah juga kini menyediakan kemudahan lif bagi guru serta pelajar.

Walaupun lif adalah sesuatu yang sudah sebati dengan kehidupan harian manusia, namun sebenarnya masih terlalu ramai yang tidak mengetahui etika dan etiket sebenar dalam penggunaannya. Berikut perkongsian 10 adab menaiki lif untuk kita sama-sama amalkan bagi memudahkan lagi perjalanan sehari-hari.

1. Tunggu orang keluar dahulu sebelum menaiki lif

Ini mungkin adalah peraturan yang paling penting dan paling mudah, namun ia juga adalah peraturan yang paling kerap dientengkan oleh masyarakat.

Anda boleh perhatikan sendiri di mana-mana sahaja, pasti terdapat segelintir individu yang akan terus menerpa masuk sejurus pintu lif dibuka tanpa mengendahkan orang di belakang yang sedang bergelut untuk keluar.

Sebelum menaiki lif, kita seharusnya menunggu seketika untuk memberi laluan kepada orang yang ingin beredar dari dalam lif. Sekiranya anda patuh pada peraturan ini, pergerakan keluar-masuk pengguna akan menjadi lebih lancar dan menjimatkan masa semua pihak.

ibu terpaksa memikul kerusi tolak bayi kerana lif penuh

Jangan : Gelabah masuk ke dalam lif walaupun orang dalam lif yang mahu keluar belum berjaya keluar.

2. Sentiasa beralah dengan golongan yang memerlukan

Situasi ini sering dilihat di pusat beli-belah di mana ibu bapa dengan anak kecil terpaksa membahayakan diri dengan membawa kereta sorong bayi menggunakan eskalator. Hal ini demikian kerana mereka tidak dapat menaiki lif setelah menunggu begitu lama akibat lif yang sentiasa penuh.

Bayangkan pula nasib seorang OKU berkerusi roda. Sudah tentu golongan ini tidak mempunyai pilihan lain selain menaiki lif.

Jadi, sebagai manusia dengan fizikal sempurna, anda haruslah sentiasa berbudi bahasa dan memberi laluan terlebih dahulu kepada ibu bapa dengan kereta sorong, warga emas, OKU dan juga pelanggan yang menggunakan troli.

Jangan : Mengutamakan diri sendiri dahulu supaya jadi pemenang dalam perebutan ruang lif dengan orang OKU.

3. Gunakan tangga sekiranya jarak dekat

Jika anda dalam perjalanan menuju dua tingkat di atas atau tiga tingkat ke bawah, anda bolehlah menggunakan lif. Namun, sekiranya destinasi anda berbeza hanya setingkat, anda lebih digalakkan untuk menggunakan tangga sekiranya ketiadaan eskalator.

Walaupun alternatif ini mungkin keputusan yang kurang disenangi oleh anda, namun anda sedang melakukan perbuatan ihsan yang terpuji kerana anda sebenarnya sedang membantu orang lain dalam diam.

Selain itu, anda juga beroleh kebaikan dari aspek kesihatan kerana dapat membakar kalori semasa menaiki atau menuruni tangga tersebut.

Jangan : Gunakan lif walaupun hanya mahu naik atau turun setingkat sahaja. Contohnya dari tingkat 2 ke tingkat 1.

4. Keluar dari lif sebentar jika anda menghalang pintu

Jika lif yang dinaiki padat dan anda berada di bahagian paling depan, elakkan menghimpit individu di kiri atau kanan anda setiap kali pintu lif dibuka sehingga menyebabkan ketidakselesaan.

Apa yang anda boleh lakukan adalah jejakkan sahaja kaki ke luar dan tunggu sebentar di luar pintu lif. Ini akan membuka ruang bagi penumpang di bahagian belakang supaya dapat keluar dengan mudah. Setelah mereka selesai keluar, anda boleh masuk kembali dengan tertib.

tahan pintu lif

Jangan : Buat tegak je dan mengganggu jalan sehingga menyusahkan orang lain nak keluar masuk.

5. Elakkan menahan pintu lif terlalu lama

Sekiranya lif sudahpun penuh dan anda berada paling depan di depan pintu, elakkan menahan pintu lif untuk orang di luar walaupun kapasiti lif belum melebihi had.

Ya, kami faham mungkin anda fikir perjalanan sebuah lif hanyalah sebentar saja tetapi anda perlu ambil kira keselesaan penumpang lif lain yang sedang berhimpit atau berlaga-laga di bahagian dalam. Oleh itu, jangan cuba-cuba jadikan lif macam tin sardin.

Jangan : Tekan punat "pintu buka" sambil menunggu orang masuk memenuhi lif.

6. Tolong tekan butang lif (sekiranya perlu)

Sekiranya anda seorang yang tidak gemar menekan butang lif, elakkan berdiri paling hampir dengan panel butang. Apabila anda berdiri di kawasan ini, anda sebenarnya dalam diam telah 'dilantik' sebagai tukang tekan butang bagi penumpang yang tidak dapat menghulurkan tangan atau berdiri agak jauh dari panel.

Sepanjang memegang jawatan ini, setiap kali ada penumpang yang baru masuk, anda perlulah menjadi proaktif dengan bertanyakan ke tingkat manakah mereka ingin pergi dan tekanlah butang sewajarnya. Jangan lupa sanitasi tangan setelah keluar dari lif ya.

Jangan : Berdiri berhampiran panel butang dan menghalang orang lain untuk menekan butang walhal anda tak mahu membantu orang lain menekan butang.

memakai mekap di dalam lif

7. Perlahankan suara di dalam lif

Sekiranya anda menaiki lif bersama kenalan lain, elakkan berbual atau ketawa dengan terlalu kuat. Apatah lagi jika sedang bergosip atau bercerita tentang isu rahsia dari pejabat. Perbualan dalam lif seharusnya dikekalkan sama perlahan seperti berada di perpustakaan.

Perkara yang sama juga harus dipraktikkan dengan panggilan telefon. Tiada siapa yang suka mendengar suara anda bermonolog sendirian di dalam ruang yang sempit dan sunyi. Oleh itu, hanya buat atau jawab panggilan telefon setelah beredar dari lif.

Sekiranya panggilan tersebut amat penting, pastikan frekuensi suara anda berada dalam julat yang rendah.

Jangan : Bercakap kuat atau bersembang kuat sehingga orang terpaksa dengar perbualan anda yang tidak penting bagi mereka.

8. Pegang beg di bahagian kaki

Bagi memastikan ruang lif dapat dimaksimumkan, sekiranya anda membawa beg sandang atau beg plastik beli-belah, jinjing beg lebih rendah iaitu di sekitar kawasan kaki.

Beg sandang yang bersaiz besar mampu melanggar muka penumpang lain tanpa anda sedari dan sudah tentulah kedudukannya yang terletak di belakang tubuh akan memakan ruang. Untuk keselesaan semua, tanggalkan beg dari bahu dan pegang sahaja atau anda boleh sandarkan seketika di kaki jika beg tersebut agak berat.

Jangan : Sempitkan ruang lif sehingga orang lain tidak boleh masuk kerana beg atau barangan anda.

berebut menaiki lif

iklan

Alah bisa tegal biasa

Begitulah sedikit sebanyak panduan dan adab yang boleh diamalkan oleh semua pihak tidak kira di negara mana sekali pun. Selama ini mungkin ramai yang tidak begitu mengambil peduli kerana sudah terbiasa dengan kehidupan sebegitu.

Semoga dengan perkongsian ini dapatlah kita sama-sama segera membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul. Bukankah budi bahasa budaya kita?



Hakcipta iluminasi.com (2017)