Duduk di asrama masih dilihat sebagai lokasi terbaik pelajar dapat memfokuskan keupayaan mereka kepada pendidikan, walaupun terpaksa berjauhan daripada ibu bapa dan masyarakat.
Kerenggangan ini walaupun inilai ahli masyarakat sebagai sesuatu yang perlu mereka dan keluarga mereka hadapi, sebenarnya turut memberikan kesan kepada mentaliti pelajar yang sedang membesar dan mencari hala tuju hidup.
BESARKAN TEKS A- A+
Ada sifat 'berbeza' yang dapat kita saksikan jika kita bandingkan alumni sekolah asrama khususnya sekolah berasrama penuh berprestasi tinggi, dengan pelajar sekolah harian biasa.
Berikut adalah lima jenis kategori pelajar sekolah asrama mengikut perangai mereka selepas dewasa, membuktikan berjauhan dengan keluarga memberi kesan kepada pemikiran mereka.
1. Dia masih kekal dengan 'circle' sama
Di kalangan alumni pelajar sekolah asrama, wujud sebahagian di antara mereka yang masih tak mampu tinggal geng lama walaupun dah meniti alam dewasa dan pekerjaan.
Uniknya hubungan akrab ini sudah boleh dapat kita lihat daripada tamat sekolah menengah lagi, di mana waktu masuk institusi pendidikan tertiari pun mereka ni masih bersama. Dah dapat kerja pun sama. Dah kahwin pun, tiap-tiap malam masih nak berjumpa.
Kalau buat reunion pun, geng inilah yang paling ramai hadir walaupun sebenarnya hari-hari berjumpa.
2. Dia masih bangga dia budak sekolah asrama
Budak sekolah asrama khasnya sekolah SBP ada kesetiaan yang tinggi pada sekolah mereka. Ye lah, dah duduk di sana 5 tahun dan mewarisi legasi sekolah di bahu masing-masing, mesti ada nilai yang akan mereka pikul.
Tetapi dengan legasi itu jugalah, ada kelompok pelajar SBP ni yang merasakan mereka lebih elit berbanding kumpulan pelajar lain. Sehinggakan dia seakan-akan mahu orang tahu dia pernah belajar di mana.
Tali leher sekolah masih dipakai ke tempat kerja. Lencana sekolah pun kadang-kadang disemat di dada dalam pejabat. Di tingkap kereta, tak sah kalau tak ada pelekat yang memaparkan logo persatuan alumni sekolah dia.
Anak nak masuk sekolah? Mestilah sekolah dia pilihan pertama. Sekolah dia, hidup dia.
3. Dia jenis cari kabel sekolah sama
Penulis masih boleh hadam isu orang yang masih bangga dengan identiti sekolah walaupun dah masuk alam pekerjaan dewasa.
Tapi ada satu jenis ni, penulis sukar nak buat kawan - iaitu alumni sekolah asrama yang mahu menggunakan hubungan sekolah yang dia ada untuk kepentingan diri atau perniagaan dia.
Bila dia dapat tahu ada senior sekolah dapat jawatan tinggi dalam organisasi besar, dia mulalah merancang bagaimana nak memancing untuk menggunakan kedudukan serta pengaruh senior dia untuk kepentingan sendiri.
Kalau dia tahu ada alumni sekolah dia dapat pegang jawatan menteri, wakil rakyat atau sebagainya yang berkait politik, dia pun samalah mula nak rapat dengan tujuan khusus; kerana bagi dia - takkanlah geng alumni sekolah tak tolong alumni lain.
Sama sekolah mestilah sama-sama bantu membantu.
4. Dia malu pencapaian sendiri tak setinggi mana
Apabila anda bergelar alumni sekolah SBP/SBT, secara automatik anda meletakkan jangkaan anda terhadap diri sendiri di satu tahap yang tinggi.
Ini berpunca daripada sistem sekolah sendiri yang mendoktrinkan secara tidak rasmi kepada pelajar, bahawa hanya kejayaan besar dilihat sebagai kejayaan sebenar.
Tak percaya? Tanya mana budak-budak SBP mereka ada tak rasa sebegini rupa. Malangnya bukan semua alumni mampu mencapai kejayaan besar, jadi orang berpengaruh dan ternama...paling tidak kerja oil and gas.
Ramai juga yang tak mampu mencapai paras yang telah ditetapkan selepas dewasa.
Mereka akan malu dengan diri sendiri sepanjang hidup mereka, kerap membandingkan diri dengan kawan-kawan lain yang mungkin dah hidup mewah serta ada bini sampai tiga.
Nak sebut dia kerja apa pun malu saja bila berjumpa kawan-kawan lama.
5. Dia hilangkan diri kerana asrama seram pada dia
Satu kelompok yang tidak besar tetapi pasti berlaku di kalangan pelajar asrama, adalah mereka yang memilih untuk menghilangkan diri daripada kawan-kawan.
Sehinggakan langsung tak dapat dihubungi walaupun kini dah ada media sosial yang memudahkan komunikasi.
Ada banyak sebab kenapa perbuatan sebegini boleh berlaku, tetapi sebabnya dapat disimpulkan dengan satu solusi mudah: walaupun berjaya bergelar alumni, pengalaman hidup di asrama bukanlah sesuatu yang dia suka.
Ada pengalaman buruk yang menghantui dia dan hanya dia saja tahu apa kisahnya.
Jadi apabila dah masuk ke alam dewasa, individu sebegini akan berusaha untuk mengelak daripada bertemu dengan rakan-rakan lama kerana pertemuan sebegitu hanya mengingatkan dia tentang hidup di asrama, yang dia cuba lupa.
Orang lain pun boleh terkejut bila tahu dia sebenarnya alumni sebuah sekolah terkenal. Ye lah, budak sekolah asrama biasanya kan nak orang ramai tahu dia dulu sekolah mana tapi jenis ni pula malu nak mengaku dia pernah sekolah mana.