Oleh pada 25 Dec 2019 kategori

Pengakuan bersumpah atau 'statutory declaration' sudah menjadi salah satu alat politik yang cukup ampuh digunakan. Kesannya pula amat dahsyat serta sangat berjaya membentuk persepsi masyarakat - sehingga mampu memberikan kesan besar pada perjalanan pilihanraya negara kita.

Walaupun demikian, kita semua perlu mengetahui bahawa sebuah pengakuan bukanlah bererti kandungannya itu dianggap bukti - sebaliknya sebuah SD hanyalah satu bentuk dakwaan tanpa asas yang masih perlu disiasat dan dibuktikan kebenaran atau kepalsuannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Malangnya, masyarakat kita tampak masih mudah terbuai-buai dengan isi kandungan SD walaupun kita sendiri tidak mengetahui kesahihan sebenarnya - kerana kontroversi yang timbul memberikan kelebihan politik pada mereka yang mendapatkan keuntungan daripadanya. Berikut adalah lima pengakuan bersumpah atau SD yang mewarnai dunia politik dan persepsi masyarakat kita setakat ini.

1. PI Bala akui penglibatan nama-nama besar dalam kes bunuh

pi bala sd pengakuan bersumpah

Bekas pegawai unit khas PDRM, Perumal Balasubramaniam atau lebih dikenali sebagai PI Bala (kini mendiang) menggemparkan negara kita selepas pengakuan bersumpahnya pada bulan Julai tahun 2008 didedahkan isi kandungannya, setahun kemudian pada tahun 2009.

Pengakuan itu menceritakan penglibatan beliau sebagai salah seorang detektif yang dilantik bagi menyiasat dan mengekori warga Mongolia yang bernama Altantuya Shariibu, atas permintaan Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri melalui rakan karib beliau Abdul Razak Baginda, seorang juruanalisis politik terkenal negara.

Dalam pengakuan PI Bala, dia mengakui tahu berkaitan Datuk Seri Najib dan Abdul Razak pernah bersama-sama makan malam di Paris, Perancis dengan mangsa pembunuhan. Yang lebih menarik, PI Bala juga menyebut salah seorang daripada dua individu itu, terlibat dengan hubungan seksual aneh dengan mangsa. Bagaimanapun, sehari selepas pengakuan ini didedahkan - PI Bala sendiri melakukan pengakuan bersumpah kedua; menarik balik kesemua isi kandungan pengakuan pertama. Beliau menafikan kebenaran kandungan pengakuan pertama, atas alasan dibuat dalam keadaan tertekan.

2. Azilah Hadri mengaku bunuh Altantuya atas arahan VIP

azilah hadri sirul azhar umar altantuya

Kes PI Bala seakan bersambung pula dalam tahun 2019, namun kali ini kontroversinya layak dikatakan jauh lebih besar berbanding pendedahan PI Bala. Ini kerana kali ini, individu yang didapati bersalah atas tuduhan membunuh mendiang Altantuya, Azilah Hadri yang sedang dipenjarakan serta berdepan dengan hukuman gantung mandatori - melakukan pengakuan bersumpah.

Pengakuan bersumpah beliau yang didedahkan kepada media sekitar 15 Disember 2019, menjelaskan berkenaan dakwaan wujudnya konspirasi yang melibatkan dirinya, Datuk Seri Najib Razak, Abdul Razak Baginda (yang tidak dinamakan) serta seorang pegawai polis bernama Musa Safri, yang mengarahkan Azilah membunuh dan meletupkan seorang wanita pengintip asing (Altantuya) atas dakwaan menggugat kepentingan negara.

Azilah mengakui dia bersama seorang lagi pegawai bernama Sirul Azhar bertindak membunuh Altantuya seterusnya meletupkan badan mangsa menggunakan letupan. Atas khidmatnya yang cemerlang, Azilah dikatakan menerima bayaran sebanyak RM300. Selepas menyedari dirinya dipergunakan, Azilah yang sudah dijatuhkan hukuman penjara - membuat pengakuan ini sebagai usaha yang terakhir. membersihkan namanya

3. Yusoff Rawther mendakwa dirinya dicabul

yusoff kawther anwar cabul

Pengakuan Azilah di atas pula berlaku tidak lama selepas seorang pemuda bernama Yusoff Rawter bertindak melakukan pengakuan bersumpah mengaitkan bakal Perdana Menteri Malaysia ke 8, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan cubaan mencabul kehormatannya - semasa Yusoff masih berkhidmat sebagai salah seorang pembantu ahli politik itu.

Insiden itu yang didakwa berlaku di kediaman Datuk Seri Anwar, diceritakan secara terperinci dalam pengakuan bersumpah yang dibuat - dengan pengakuan bahawa Datuk Seri Anwar didakwa meminta Yusoff melakukan beberapa aksi memalukan serta tidak segan untuk menunjukkan alat sulit kepadanya.

Pengakuan menggemparkan ini mendapat reaksi kuat daripada pemimpin kerajaan khasnya daripada parti PKR, menafikan dakwaan yang berlaku sebagai cubaan untuk memalukan Datuk Seri Anwar serta menghalang usaha beliau untuk naik menjadi Perdana Menteri, seperti mana yang telah dipersetujui sebelum pilihanraya.

4. Misteri Malaysia kehilangan Pulau Batu Puteh

pulau batu puteh pedra bianca

Berbeza dengan kes-kes pembunuhan politik menggunakan pengakuan bersumpah - kes pada tahun 2013 melibatkan pengakuan bersumpah seorang pesara polis Datuk Mat Zain Ibrahim, bekas ketua unit Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur.

Beliau mendakwa dalam pengakuannya bahawa Malaysia kehilangan pulau rebutan, Pulau Batu Puteh atau Pedra Bianca ke tangan Singapura adalah disebabkan kecuaian dan kesilapan Tan Sri Gani Patail - yang pada ketika itu menjawat jawatan Peguam Negara.

Menggesa pihak polis agar membuka siasatan semula ke atas apa yang telah berlaku, Datuk Mat Zain mencadangkan agar sebuah suruhanjaya siasatan di-raja ditubuhkan bagi mengenalpasti punca sebenar kegagalan kerajaan kita dalam tuntutan ke atas pulau tersebut. Kes tuntutan yang bermula pada tahun 1980 di antara negara kita dan Singapura berjaya di bawa ke mahkamah keadilan antarabangsa di The Hague. Akhirnya, mahkamah memutuskan bahawa Singapura lebih berhak ke atas pulau tersebut dalam keputusan tahun 2008.

Dalam pengakuanbeliau, Datuk Mat Zain mendakwa Tun Mahathir Mohamad (ketika itu bekas Perdana Menteri) mengkritik pengurusan tuntutan yang dilakukan oleh Tan Sri Gani Patail kerana bersikap amatur serta kurang cekap dalam mengumpulkan bukti, sehingga mengakibatkan kita tewas dalam perbicaraan.

5. Raja Petra dedahkan Rosmah Mansor tengok pembunuhan

rosmah mansor altantuya sd

Di antara semua pengakuan bersumpah yang ada - pengakuan Raja Petra Raja Kamaruddin, penganalisis politik terkenal merupakan antara pengakuan paling banyak mencorakkan perjalanan politik negara kita.

Kami berpendapat pengakuan ini jugalah yang banyak mencipta persepsi buruk terawal terhadap pasangan Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, kerana ia berlaku sebelum Datuk Seri Najib naik menjadi Perdana Menteri lagi. Raja Petra mendakwa pasangan itu bukan saja terlibat - malahan Datin Seri Rosmah berada di tempat kejadian dan menyaksikan sendiri mendiang Altantuya diletupkan.

Pengakuan ini jugalah yang mempopularkan kisah bahawa Altantuya diletupkan menggunakan bahan peledak C4, sehingga menjadi buah mulut orang ramai yang percaya dengan persepsi tersebut sedangkan mahkamah sudah mengesahkan perkara ini tidak benar. Selain Rosmah, seorang lagi wanita bernama Norhayati yang menjadi pembantu isteri Timbalan Perdana Menteri (ketika itu) turut sama dikatakan berada di tempat kejadian.

Walau bagaimanapun, pada tahun 2011 Raja Petra bertindak menarik balik dakwaannya, menyalahkan pemberi maklumat serta beberapa individu yang dikatakan rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim - mendakwa wujudnya usaha untuk menghalang Datuk Seri Najib daripada menjadi Perdana Menteri, bagi menggantikan Tun Abdullah Badawi.

Dalam kenyataan yang disiarkan melalui media dalam bentuk video secara langsung dari Perth, Australia, Raja Petra mengakui semua tuduhan yang disebut dalam pengakuan bersumpahnya dilakukan berdasarkan kepada maklumat tidak benar, memohon maaf atas kesilapannya khasnya mereka yang didakwa terlibat.




Hakcipta iluminasi.com (2017)