Green Bank, sebuah kawasan penempatan yang terletak di West Virginia, United States mungkin boleh dikatakan penempatan paling senyap dan bosan di atas muka bumi. Di kawasan ini, tiada menara pemancar telefon, tiada internet bahkan radio dan televisyen.

Walau bagaimanapun, itu tidak bermakna Green Bank merupakan sebuah kawasan terpencil dan sangat ketinggalan daripada segi teknologi. Hal ini kerana di kawasan penempatan ini terdapat teleskop radio yang boleh dikendalikan yang terbesar di dunia. Ia dikenali sebagai Robert C. Byrd Green Bank Telescope (GBT).

BESARKAN TEKS     A-  A+

Gangguan operasi teleskop

green bank 642

Teleskop gergasi ini dioperasikan oleh organisasi National Radio Astronomy Observatory. Kewujudan GBT ini merupakan sebab utama yang menyebabkan penggunaan telefon, internet, radio dan televisyen telah diharamkan sama sekali disini. 

Teleskop radio berfungsi dengan mengesan gelombang elektromagnetik yang datang daripada angkasa lepas. Signal gelombang ini adalah tersangat rendah dan sensitif sehinggakan sedikit sahaja gangguan gelombang radio daripada peranti elektronik dikatakan akan mengganggu bacaan teleskop radio ini.

Atas alasan ini, semua telefon bimbit, internet, radio dan segala alat komunikasi diharamkan disini. Malah, menara pemancar telefon juga tidak wujud disini. Menara pemancar radio dan telefon yang terdekat terletak sangat dari kawasan ini.

Bukan sahaja penggunaan telefon, internet, radio dan televisyen di haramkan. Malah, kenderaan yang menggunakan minyak petrol juga tidak boleh digunakan disini. Hal ini disebabkan enjin petrol menggunakan palam pencucuh (spark plugs) akan menghasilkan percikan elektrik yang menghasilkan gelombang elektromagnetik.

Kewujudan kawasan "National Radio Quiet Zone"

national radio quiet zone

Pengharaman penggunaan telefon bimbit, internet dan peranti lain ini bukan sahaja terhad kepada kawasan Green Bank, tetapi meliputi kawasan seluas hampir 34 ribu kilometer persegi. Kawasan ini diisytiharkan sebagai "National Radio Quiet Zone".

Kesemua alat komunikasi dan peranti ini diharamkan bagi memastikan teleskop GBT dapat berfungsi sepenuhnya tanpa sebarang gangguan. Dalam zon khas ini, kawasan penempatan Green Bank adalah satu-satunya kawasan penempatan yang ada dan terletak paling hampir dengan teleskop gergasi ini.

Penduduk rasa lebih bahagia dan tenang

kehidupan di green bank

Bagi kebanyakan daripada kita yang sudah biasa menggunakan telefon bimbit, internet dan televisyen dalam kehidupan seharian, kita pastinya akan merasa sangat bosan jika datang ke sini. Ianya seolah-olah kita berada di dalam ceruk hutan dan tiada perhubungan dengan dunia luar.

Walau bagaimanapun, bagi kira-kira 140 orang penduduk di pekan kecik ini, ianya bukanlah masalah besar bagi mereka malah pengharaman ini dianggap sebagai satu nikmat dan kelebihan.

Disini, kanak-kanaknya tidak dapat menghabiskan masa berjam-jam bermain telefon bimbit. Sebaliknya, mereka dilihat gembira dan bebas berbual dan bermain antara satu-sama lain, sama seperti kanak-kanak biasa sebelum kewujudan zaman telefon mudah alih.

green bank antena gergasi

Penduduk juga lebih rapat dan mengenali antara satu sama lain. Kerana kurangnya kedatangan orang luar ke kawasan ini, penduduk juga biasanya hanya membiarkan pintu hadapan rumah mereka tutup tidak berkunci. Seolah-olah mereka tahu tiada siapapun yang akan datang ke rumah untuk merompak memandangkan hubungan antara penduduk begitu akrab.

Walaupun penggunaan telefon bimbit dan internet diharamkan, ia tidak bermakna penduduk disini terputus hubungan dengan dunia luar. Terdapat khidmat telefon berbayar yang boleh digunakan disini dan ia adalah satu-satunya cara untuk berhubung dengan dunia luar disini.

Kedatangan golongan Electromagnetic Hypersensitivity (EHS)

electromagnetic hypersensitivity

Bagi orang luar, pastinya tiada siapapun yang mengimpikan untuk berhijrah dan membina kehidupan di bandar ini. Walau bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, terdapat segelintir manusia yang mendakwa mempunyai hipersensitiviti terhadap elektromagnetik yang berpindah masuk ke sini.

Hipersensitiviti terhadap gelombang electromagnet atau electromagnetic hypersensitivity (EHS) adalah sejenis penyakit dimana pesakit yang terdedah kepada penggunaan peralatan atau peranti yang mempunyai gelombang elektromagnet akan mengalami pelbagai simptom seperti pening, loya, ruam, degupan jantung laju, lemah tubuh badan dan sakit dada daripada radiasi elektromagnet.

Walau bagaimanapun, penyakit EHS ini masih lagi tidak diiktiraf oleh pakar perubatan. Hal ini disebabkan pakar perubatan masih tidak dapat membuktikan EHS melalui kajian saintifik dan mereka berpendapat golongan EHS ini mungkin mempunyai masalah lain yang mempunyai simptom yang sama.

Kredit:

  1. National Geographic
  2. NBC News
  3. Slate



Hakcipta iluminasi.com (2017)