Sumber foto: Blogspot / Free Malaysia Today
Sejumlah 5 nelayan rakyat tempatan menghadapi detik cemas apabila disyaki diserang kumpulan penculik Filipina semasa menunda pukat di perairan Segama, Kinabatangan, Khamis lepas.
Juragan bersama empat kru bot tunda itu dikatakan diserang sekumpulan 5 lelaki bersenjata dan berpakaian hitam di perairan berkenaan.
Menerusi insiden jam 4.30 petang itu, mangsa didekati suspek yang secara tiba-tiba melepaskan beberapa das tembakan ke arah bot pukat tunda yang dinaiki mereka di perairan yang terletak di timur Sabah itu.
New Straits Times mendedahkan 5 nelayan berumur 19 hingga 48 tahun itu bagaimanapun tidak cedera menerusi serangan berkenaan.
Menurut sumber dipetik akhbar itu, kumpulan nelayan itu sedang menangkap ikan semasa mereka didekati sebuah kapal tidak dikenali.
Sumber foto: Kosmo Online
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Razarudin Husain @ Abd. Rasid memberitahu, semua mangsa didedahkan selamat setelah melakukan langkah segera memotong pukat tunda terbabit sebelum menyelamatkan diri.
"Mereka dilaporkan selamat namun, terdapat beberapa kesan tembakan di bot tunda mereka," ujarnya semalam.
Menurut Razarudin, pihak polis tidak menolak kebarangkalian kumpulan disyaki berasal dari Filipina itu cuba merompak dan menculik rakyat tempatan sebagai tebusan.
Namun, menurut siasatan awal, pihak polis menolak kumpulan itu terlibat dengan pergerakan militan di selatan Filipina.
Sumber berita: Kosmo Online & Free Malaysia Today