Bangun pagi dan terpaksa menempuh perjalanan sesak menaiki kenderaan atau kemudahan awam yang memakan masa ke tempat kerja, bukanlah sesuatu yang aneh bagi masyarakat kita - khasnya mereka yang tinggal di kawasan-kawasan bandar. Kadar kesesakan di bandar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang dapat dilihat jauh lebih teruk berbanding negeri-negeri lain.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun begitu, apabila seluruh dunia dibandingkan, banyak lagi negara lain yang mempunyai kadar perjalanan purata lebih teruk jika dibandingkan dengan negara kita. Penduduk di negara-negara ini secara purata menghabiskan tempoh waktu yang lebih panjang untuk ke tempat kerja berbanding negara-negara lain di seluruh dunia.

Tahukah anda negara manakah di dunia yang mempunyai purata masa perjalanan paling panjang dan lama ke tempat kerja, menewaskan kesemua negara lain tidak kira menggunakan kenderaan sendiri mahupun transport awam?

Waktu perjalanan paling panjang

trafik sesak teruk di simpang empat

Kenya mencatatkan masa perjalanan kelima paling panjang di dunia dengan purata 1 jam 28 minit dihabiskan oleh pemandu. Kadar kesesakan di Kenya berlaku disebabkan kadar infrastruktur jalan raya mereka tidak seimbang dengan kadar pembangunan negara mereka, terutamanya di ibu kota Kenya, Nairobi.

Dengan 1 jam 30 minit, Hong Kong mendapat tempat ke empat tertinggi purata masa perjalanan harian penduduk dunia. Hong Kong mempunyai lonjakan pemilikan kereta yang agak tinggi sehingga 30%, menyebabkan kepadatan jalan berlaku di luar kawalan. Bagaimanapun, beberapa langkah menyeimbangkan semula situasi itu telah dijalankan dengan budaya berbasikal semakin mendapat tempat di sana.

Tempat ketiga tidak lain dan tidak bukan dipegang oleh negara India yang memang terkenal sebagai sebuah negara padat dengan kereta dan kesesakan. Purata masa perjalanan di India adalah 1 jam 31 minit dengan dua bandar besar iaitu Bangalore dan New Delhi menjadi penyumbang utama kepada statistik tersebut.

Mempunyai statistik pemilikan 1 kereta untuk setiap 2 penduduk, purata masa perjalanan di Emiriyah Arab Bersatu menduduki tempat kedua, dengan purata 1 jam 36 minit sehari, hanya kurang 1 minit berbanding sahaja berbanding negara yang memegang tempat pertama iaitu Israel. Israel adalah negara yang penduduknya menghabiskan masa paling lama, berada dalam kesesakan jalan raya setiap hari - ketika untuk ke tempat kerja.

Israel mempunyai purata 1 jam 37 minit dihabiskan dalam sehari oleh penduduk mereka di atas jalan raya dengan 73% penduduk Israel sanggup menerima pendapatan lebih rendah asalkan masa perjalanan harian mereka dapat dikurangkan.

Negara mana mempunyai waktu perjalanan paling singkat?

jepun amalkan budaya ekstrim

Menurut kajian yang dijalankan ini, 5 negara yang mempunyai waktu perjalanan harian paling singkat adalah Itali di tempat kelima dengan 55 minit purata perjalanan. Sepanyol berada di tangga ke empat dengan 51 minit purata perjalanan.

China dan Taiwan berkongsi kedudukan sama dengan kedua-dua negara mempunyai purata waktu perjalanan harian selama 50 minit bagi semua penduduk. Vietnam berjaya membina sistem perjalanan yang agak efisien dengan setiap penduduk menghabiskan 44 minit sehari untuk perjalanan yang melayakkan negara tersebut berada di tempat kedua.

Tempat pertama pula dipegang oleh negara Jepun dengan purata perjalanan harian penduduk mereka adalah 39 minit, hampir satu per tiga waktu perjalanan yang diluangkan di Israel. Budaya masyarakat Jepun dalam menangani waktu perjalanan memang sangat unik, dengan penggunaan basikal secara meluas dan kewujudan petugas yang akan menolak penumpang agar dapat masuk ke dalam tren di lihat sebagai perkara biasa.

Jadi tidak hairanlah Jepun mempunyai waktu perjalanan paling efisien di antara semua negara dalam mengharungi liku hidup cabaran ke tempat kerja.

Di mana Malaysia?

kesesakan teruk negara paling lama berada atas jalan raya

Dalam kajian yang dijalankan oleh Dalia Research ini, mereka mendapati Malaysia berada pada kedudukan ke 11 paling lama tempoh perjalanan daripada 52 buah negara.

Beberapa buah negara lain yang dicatatkan mempunyai purata masa perjalanan lebih panjang berbanding Malaysia adalah Singapura, Pakistan, Filipina, Mesir dan Afrika Selatan. Kajian mendapati penduduk Malaysia terpaksa menggunakan hampir 1 jam 21 minit sehari untuk ke tempat kerja, dengan penduduk di bandar meluangkan lebih banyak masa berbanding penduduk desa.

jalan sesak ke tempat kerja

Banyak kajian sudah dijalankan berkenaan penggunaan masa penduduk di Kuala Lumpur khasnya, untuk ke tempat kerja. Secara purata - masa yang digunakan oleh penduduk Malaysia setiap tahun untuk ke tempat kerja semakin meningkat, dengan 1 daripada 5 orang penduduk bersetuju kesesakan jalan adalah perkara paling buruk yang berlaku dalam kehidupan seharian kita.

Sebagai alternatif, pelbagai usaha sedang dilakukan melalui penambahan sistem pengangkutan awam dan juga galakan penggunaan basikal. Dengan sasaran 40% penggunaan pengangkutan awam berbanding 25% ketika ini, tidak mustahil kita dapat menurunkan tempoh perjalanan ke tempat kerja setiap hari - persoalannya, mahukah kita menerima perubahan itu?

Adakah rakyat Malaysia sanggup mengorbankan penggunaan kereta yang kita amalkan, untuk mula menggunakan pengangkutan awam bukan lagi sebagai alternatif, tetapi sebagai satu tabiat biasa orang Malaysia?

Rujukan

Dalia Research




Hakcipta iluminasi.com (2017)