Sifu hartanah gemar menyebut kediaman sebagai potensi pelaburan yang menguntungkan. Sama ada anda setuju atau tidak dengan pandangan sedemikian, terpulanglah kepada anda.

Pendapat sebegini sedikit-sebanyak memberi tekanan kepada orang ramai untuk jadi pemilik hartanah, tidak cukup sekadar seorang penyewa.

Dakyah yang disebar cukup berkesan, sehinggakan ramai di antara kita ada tanggapan negatif terhadap golongan penyewa yang mungkin tidak mahu atau mampu memiliki kediaman sendiri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Realitinya, ada banyak faedah untuk seseorang terus menyewa. Berikut lima kelebihan utama yang boleh meyakinkan anda keberkesanannya.

1. Penyewa tak tanggung kos baiki

masalah bocor rumah

Perjanjian di antara tuan rumah dengan penyewa biasanya meletakkan beban untuk menanggung kos pembaikian dan penyelenggaraan premis yang besar, kepada tuan rumah. 

Ye lah, kalau ada bocor paip, bumbung bocor dan sebagainya - takkanlah penyewa pula yang kena tanggung kos-kos itu?

Tuan rumah perlu faham adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk menyediakan premis yang baik sementara penyewa pula perlu tahu dia wajib menjaga kemudahan yang disediakan. 

Mana-mana perkakasan yang akan terkesan akibat penggunaan jangka hayat seperti lampu, suis, kipas dan sebagainya pula, pandai-pandailah berbincang di antara penyewa dan tuan rumah bagi menyelesaikan masalah yang ada.

Bila ada kerosakan besar - kesemua belanja perlu keluar dari poket tuan rumah. Ini kita tak boleh lari.

2. Penyewa tak perlu tanggung cukai

rumah sita tak bayar cukai taksiran

2 kali dalam setahun, tuan rumah pening memikirkan tentang bayaran cukai taksiran, cukai tanah dan cukai tambahan lain bergantung kepada daerah dan ketetapan akta.

Jenis cukai kerajaan tempatan ini bergantung kepada lokasi premis, biasanya dikategorikan mengikut tahap pembangunan bandar/luar bandar yang telah diwartakan.

Berapa yang perlu dibayar pula bergantung kepada keluasan kediaman, tanah dan petak. Setiap daerah atau wilayah mempunyai formula berbeza-beza dalam menentukan amaun yang akan dikenakan.

Lagi membangun lokasi sesuatu premis, biasanya lagi tinggi cukai yang akan dikenakan.....kepada tuan rumah anda.

3. Penyewa tak perlu bayar yuran 'maintenance'

yuran penyelenggaraan kondo strata

Zaman sekarang ini semua perkara memerlukan kos yang tinggi.

Jika dulu bayaran penyelenggaraan atau maintenance fees sinonim dengan kediaman bertingkat, kini dengan populariti perumahan jenis berpagar dan berkawal; pemilik rumah teres pun dah membayar yuran bulanan.

Sekiranya anda duduk di kawasan yang menggunakan status strata, bayarannya memang diwajibkan kepada semua penduduk, tuan rumah akan menanggungnya. 

Bagi kawasan bukan strata pula, anda sebagai penyewa tidak perlu terbeban dengan pandangan serong jiran-jiran sekiranya tuan rumah anda jenis tak nak bayar yuran bulanan. Pastikan kejiranan anda tahu anda adalah penyewa seandainya tuan rumah anda jenis degil ni.

Tapi nasib memang malanglah kalau dapat tuan rumah macam ni. Kita yang menyewa pula rasa malu dengan jiran tetangga.

4. Penyewa bebas berpindah 

pindah rumah penyewa muda

Satu kelebihan terbesar menyewa kediaman berbanding memiliki sendiri - adalah kebebasan kepada anda untuk berpindah. 

Anda tidak terjerat kepada satu-satu kawasan saja sehinggakan terpaksa perlu menempuh perjalanan jauh setiap hari berulang-alik. Sebaliknya anda boleh memilih berpindah ke lokasi lebih dekat bagi meminimakan masa perjalanan, seterusnya memperbaiki kualiti hidup anda.

Kalau kena tukar kerja atau tukar tempat kerja pun, tak ada lah rasa berat sangat nak berangkat pergi tinggalkan rumah - kerana rumah itu kita tahu bukan milik kita.

5. Anda tidak jadi peminjam bank

rumah lelong gagal bayar hutang

Kami sudah menyebut tentang cukai-cukai yang perlu dibayar. Perlu kami tambah, penyewa juga tidak perlu menanggung kos insurans atau takaful kediaman.

Insurans kediaman biasanya ada dua jenis - perlindungan untuk kebakaran dan perlindungan untuk baki jumlah pinjaman.

Biasanya, bank akan menetapkan syarat kepada tuan rumah untuk mewajibkan pemilik mempunyai perlindungan ke atas baki jumlah pinjaman dimasuk sekali ke dalam jumlah keseluruhan pinjaman. Ada juga yang memilih untuk membayar secara bulanan. 

Menjadi penyewa, anda tak perlu fikir semua isu ini. Yang penting, anda sediakan duit sewa setiap bulan untuk diserah kepada tuan rumah. Seorang tuan rumah perlu fikir tentang insurans, cukai dan yuran penyelenggaraan.


Jika tuan rumah dapat kadar sewa yang mampu menyelesaikan kesemua amaun ini, bersyukurlah dia. Tetapi kami yakin majoriti kadar sewaan tak cukup untuk cover apa yang perlu.

Sekiranya anda seorang penyewa, janganlah rasa rendah diri. Banyak benda anda tak payah pening kepala fikir seperti tuan rumah anda. Memang nampak tuan rumah untung kerana anda beri sewa kepada dia, tapi 'kelebihan' itu tak menceritakan gambaran sepenuhnya.

Seandainya anda dapat tuan rumah yang OK, jagalah kediaman dia elok-elok. Jangan tambah pening kepala dia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)