Kita sudah tahu di Singapura tidak dibenarkan memakan gula-gula getah. Adakah itu satu undang-undang yang pelik? Mungkin pelik bagi mereka yang tak berapa mengenali negara Singapura, tetapi untuk kita di Malaysia - perkara itu sebenarnya mampu dilihat sebagai satu undang-undang yang mempunyai kesan positif jangka panjang.

Tahukah anda selain daripada undang-undang gula-gula getah di Singapura, wujud beberapa undang-undang lain di sekitar negara Asia yang diperkenalkan untuk membanteras masalah yang mungkin berlaku di negara tersebut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah 6 undang-undang pelik yang menjadi pegangan negara-negara Asia sekitar kita. Adakah Malaysia ada undang-undang yang boleh dikatakan pelik?

1. Artis yang mengadakan persembahan perlu ada sekurangnya ijazah

penghibur perlu ada ijazah di china

Di China, artis-artis yang mengadakan persembahan perlu mempunyai kelulusan pendidikan sekurang-kurangnya bertaraf ijazah untuk membolehkan mereka diberikan lesen mengadakan persembahan. Semuanya bermula selepas Elton John dalam satu persembahan beliau di Beijing pada tahun 2017, mendedikasikan lagunya kepada Ai Weiwei, seorang artis dan aktivis anti kerajaan China.

Sebelum itu, pada tahun 2008, Bjork, artis wanita terkenal Iceland menjerit dalam persembahannya menyatakan sokongan pada negara Tibet. Bagi menyelesaikan masalah, kerajaan China memperkenalkan undang-undang hanya membenarkan lesen persembahan kepada artis yang mempunyai ijazah. Elton John dan Bjork dilaporkan tidak mempunyai ijazah. (rujukan)

2. Saiz pinggang di Jepun perlu mengikut garis panduan kerajaan

metabo law di jepun

Diperkenalkan pada tahun 2008, undang-undang yang dikenali dengan nama Metabo Law ini memerlukan rakyat Jepun yang berumur 40 hingga 74 tahun supaya mempunyai ukuran lilit pinggang tang tidak melebihi garis panduan ditetapkan. Lelaki mestilah mempunyai ukuran pinggang 33.5 inci atau kurang dan perempuan pula 35.4 inci atau kurang.

Kerajaan Jepun mewajibkan semakan ukuran pinggang setiap tahun yang akan dilakukan oleh majikan-majikan tempat rakyat mereka bekerja dan sekiranya ada individu yang melebihi ukuran optimum, mereka akan diberikan bantuan perubatan bagi membantu menurunkan berat badan mereka. Semua ini dilakukan oleh kerajaan Jepun dalam usaha menurunkan jumlah rakyat mereka yang berada pada tahap obese. Sehingga kini, langkah ini dilihat sebagai satu kempen yang berjaya. (rujukan)

3. Hukuman jenayah sepanjang tiga keturunan

hukuman untuk 3 generasi di korea utara

Tak sah rasanya buat senarai undang-undang pelik di Asia tanpa ada Korea Utara. Walaupun ada banyak undang-undang yang sukar diterima akal wujud di Korea Utara, rasanya ini adalah raja kepada semua undang-undang pelik di sana. Sekiranya seseorang itu didapati bersalah melakukan jenayah, sudah pastilah penjenayah itu akan dihukum.

Bagaimanapun, itu tidak cukup - untuk tiga generasi atau keturunan, kesemua ahli keluarga pesalah atau penjenayah itu akan mengalami nasib sama, dikenakan hukuman yang serupa. Ini bermakna, di dalam penjara Korea Utara, akan ada individu-individu yang dipenjarakan bukan atas kesalahan mereka, tetapi besar kemungkinan kesalahan telah dilakukan oleh generasi Datuk mereka. Undang-undang ini dinamakan Three Generations of Punishment dan kerap digunakan bagi menghukum individu yang didapati cuba memberontak menentang kerajaan Korea Utara. (rujukan)

4. Beri burung merpati makan akan di denda

jangan beri burung makan di singapura

Kita sudah tahu tentang larangan makan gula getah di Singapura, namun ada satu lagi undang-undang pelik yang ada di sana. Sekiranya anda didapati bersalah memberi burung merpati makan, anda boleh didenda SGD500 di bawah Akta Haiwan dan Burung yang dikawal selia oleh Agri-Food and Veterinary Authority of Singapore (AVA). Apa yang lebih menakutkan, sekiranya anda dapat melihat ada orang lain memberi burung merpati makan di Singapura, anda boleh menghubungi AVA dan melakukan aduan berkenaan kejadian itu.

Kerajaan Singapura memperkenalkan langkah itu kerana masalah kekotoran yang disebabkan oleh kawanan burung merpati yang ada, merosakkan bangunan dan kenderaan dengan najis mereka serta kemungkinan burung tersebut membawa wabak merbahaya. Jadi ingat, jangan beri burung makan ketika anda berada di Singapura. (rujukan)

5. Warga Manila masuk ke bandar ikut nombor plet

filipina hadkan kemasukan kenderaan ke manila

Tahukah anda bagaimana kerajaan Filipina mengawal kebanjiran kenderaan yang masuk ke ibu negara mereka setiap hari? Mereka memperkenalkan undang-undang bagi kenderaan di Manila dan setiap kenderaan perlu mengikut syarat khas kebenaran masuk mengikut nombor plet kereta mereka.

Kereta bernombor pendaftaran yang berkahir dengan nombor 1 dan 2 dilarang masuk ke Manila pada hari Isnin, 3 dan 4 pada hari Selasa, 5 dan 6 pada hari Rabu, 7 dan 8 pada hari Khamis serta 9 dan 0 pada hari Jumaat. Kesemua kenderaan yang dilarang memasuki Manila dalam tempoh 7 pagi hingga 10 pagi dan 3 petang hingga 7 petang.

Nasib baiklah larangan ini hanya berkuat kuasa di Manila sahaja dan jelas sekali tujuannya adalah untuk mengawal kesesakan lalu lintas di sana. (rujukan)

6. Remaja tidak dibenarkan bermain permainan video selepas jam 12 tengah malam

cinderella law korea selatan

Ekoran ketagihan permainan video yang kronik di Korea Selatan, pada tahun 2011 kerajaan mereka memperkenalkan undang-undang yang digelarkan Shutdown Law atau lebih popular dengan nama Cinderella Law, dalam memastikan anak muda mereka yang berumur bawah 16 tahun mendapat tidur serta rehat yang secukupnya, bagi mengelak masalah ketagihan. Bagaimanapun, undang-undang ini hanya dikenakan kepada mereka yang menggunakan peranti komputer saja - penggunaan konsol dan telefon pintar tidak menjadi masalah.

Kesemua pemain permainan video dalam talian di Korea Selatan yang menggunakan komputer tidak dibenarkan bermain dari jam 12 tengah malam sehingga jam 6 pagi setiap hari. Syarat ini boleh diperkenalkan kerana semua permainan dalam talian di Korea Selatan memerlukan pengesahan identiti menggunakan nombor kad pengenalan, jadi agak mudah untuk kerajaan Korea Selatan mengenalpasti individu yang melanggar peraturan ini. Sekiranya ibu bapa remaja itu merasakan anak mereka berhak bermain permainan video pada awal pagi, mereka boleh melakukan permohonan mengeluarkan anak mereka daripada sekatan. (rujukan)




Hakcipta iluminasi.com (2017)