Sekiranya perpustakaan berperanan sebagai pusat penyimpanan buku, jurnal, manuskrip dan pelbagai jenis bacaan lain, muzium pula berfungsi sebagai tempat penyimpanan dan pameran artifak dan barang-barang bersejarah.

Sekiranya anda ingin mempelajari sejarah atau kebudayaan sesuatu kaum, agama atau penduduk tempatan, muzium adalah tempat yang wajib dilawati. Malangnya, tidak ramai yang gemar ke muzium apabila melancong ke sesuatu destinasi. Golongan muda sekarang lebih gemar ke pusat hiburan ataupun tempat tarikan semata-mata untuk bergambar apabila melancong.

Jika sebelum ini kami telah berkongsi senarai 5 perpustakaan terbesar di dunia, kali ini kami di iluminasi.com ingin berkongsi pula senarai 5 muzim terbesar di dunia. Untuk makluman pembaca, kedudukan muzium dalam senarai ini disusun mengikut keluasan lantai muzium ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

5. Muzium Vatican

Muzium Vatican yang terletak di Bandar Vatican, Rome ini dibuka pada tahun 1506. Muzium ini mempunyai keluasan 460 000 kaki persegi. Seperti kebanyakan binaan lain di Bandar Vatican, muzium ini juga mempunyai rekabentuk dalaman yang sangat cantik.

Muzium ini terkenal dengan koleksi lukisan dan kesenian yang banyak ketika zaman kegemilangan empayar Rome antaranya daripada pelukis terkenal Raphael dan Michelangelo yang ditempatkan di 54 buah dewan galeri. Muzium ini menyimpan kira-kira 70000 buah barangan barangan dimana hanya 20000 sahaja daripadanya diletakkan untuk paparan pelancong yang datang.

4. Metropolitan Museum of Art

metropolitan museum of art 81

Metropolitan Museum of Art yang terletak di New York, Amerika Syarikat ini menduduki tangga ke 4 dengan keluasan seluasa 663 100 kaki persegi. Ianya mula dibuka pada 1872 di Fifth Avenue sebelum berpindah ke lokasi sekarang yang mempunyai keluasan 20 kali ganda daripada saiz asalnya ketika dibuka.

Dianggarkan 2 juta barangan berharga disimpan dan dipamerkan disini yang terdiri daripada pelbagai koleksi barangan purba Mesir, barangan kesenian Islam dan koleksi lukisan-lukisan daripada Eropah, Greek dan Roman. Berbanding muzium lain, muzium ini terkenal dengan jumlah koleksi peralatan muzik yang banyak. Pada 2016 sahaja, 6.7 juta pengunjung telah melawat muzium ini.

3. Muzium Negara China

national museum of china

Bukan setakat perpustakaan, China juga mempunyai muzium yang sangat besar. Muzium ini terletak di Tiananmen Square di Beijing dan mempunyai keluasan kira-kira 700000 kaki persegi. Muzium ini dibina hasil gabungan dua buah muzium iaitu Muzium Revolusi China dan Muzium Sejarah China pada 1959.

Tujuan utama pembinaan muzium ini adalah bagi mendidik serta mempromosikan sejarah dan kesenian negara China. Muzium ini dianggarkan menyimpan kira-kira 1.5 juta barangan berharga.

2. State Hermitage Museum, Rusia

state hermitage museum

Berada di tangga kedua dalam senarai ini adalah The State Hermitage Museum yang terletak di St. Pettersburg, Rusia. Muzium ini dibina pada 1754 tetapi secara rasminya dibuka kepada orang awam pada tahun 1852, menjadikannya antara yang tertua di dunia.

Dengan keluasan seluas 719,480 kaki persegi, muzium ini menempatkan kira-kira 3 juta barangan dan dikatakan mempunyai koleksi lukisan terbanyak di dunia. Muzium ini terdiri daripada 6 buah bangunan yang mana hanya 5 daripadanya dibuka kepada orang awam iaitu Winter Palace, Small Hermitage, Old Hermitage, New Hermitage and Hermitage Theatre.

1. Louvre, Paris

muzium terbesar dunia louvre

Louvre merupakan muzium dan monumen terbesar dunia yang terletak di Paris. Bukan sahaja muzium terbesar di dunia, malah Louvre juga boleh dikatakan muzium paling paling popular di dunia. Binaan piramid kaca di hadapan bangunan ini menjadi ikon bagi muzium ini dan merupakan tempat wajib untuk bergambar bagi pelancong yang melancong Paris.

Muzium Louvre dianggarkan menyimpan 380000 barangan prasejarah hinggalah ke abad 21 dan ianya mempunyai keluasan lantai seluas 782 910 kaki persegi. Pada 2016 sahaja, muzium ini telah menerima 7.3 juta orang pelancong dari dalam dan luar negara, membolehkannya diiktiraf sebagai muzium paling banyak dilawati pada tahun 2016.

Sekiranya anda sudah menjadi ibu atau bapa, bawalah anak-anak ada melancong ke muzium berbanding pusat-pusat hiburan. Sebenarnya banyak manfaat dan ilmu yang boleh diperolehi di muzium yang tidak mungkin diperolehi di tempat lain.

Kredit:

  1. World Atlas
  2. National Geographic
  3. WikiPedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)