Otak manusia adalah salah satu organ yang paling kompleks dalam tubuh manusia, serta yang paling kurang difahami. Walaupun banyak kajian yang telah dilakukan mengenai otak manusia, sebenarnya masih banyak lagi perkara yang masih menjadi misteri dan belum dapat dirungkaikan oleh para saintis.

Daripada memori, halusinasi dan beberapa perkara lagi yang boleh terjadi disebabkan oleh atau pada otak, kali ini pihak Iluminasi ingin kongsikan beberapa perkara misteri yang belum dapat dirungkai sains mengenai otak manusia. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Brain Freeze

brain freeze

Pernahkah anda memakan ais krim atau sesuatu yang sangat sejuk dan secara tiba-tiba, otak anda mengalami satu kejutan yang dipanggil "brain freeze". Secara teknikal dikenali sebagai 'sakit kepala rangsangan sejuk' atau cold-stimulus headache,  Brain Freeze adalah sesuatu yang kita semua pernah alami sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Ia biasanya tidak berbahaya dan hanya terjadi dalam tempoh yang singkat, selalunya berlaku serta-merta selepas anda makan sesuatu yang sangat sejuk. Jika kita menyelidiki dari aspek biologi atau evolusinya, ia tidak jelas mengapa ia berlaku sama sekali.

Tiada siapa yang tahu apa yang sebenarnya berlaku di dalam otak semasa dalam keadaan Brain Freezeini, walaupun ia terasa agak menyakitkan untuk seketika. Satu teori mengatakan bahawa ia disebabkan oleh peningkatan mendadak dalam aliran darah ke otak yang disebabkan memakan sesuatu yang sejuk. Oleh kerana aliran darah yang meningkat menghasilkan tekanan, ia ditafsirkan sebagai sejenis kesakitan oleh otak, menyebabkan apa yang kita kenali sebagai brain freeze.

2. Halusinasi visual

halusinasi visual

Sindrom Charles Bonnet - atau CBS - dinamakan sempena doktor Switzerland yang mula-mula mengkajinya pada tahun 1760, dan merupakan salah satu bahagian yang paling menarik dan misteri bagaimana otak kita berfungsi. Secara umumnya dikenali sebagai halusinasi visual, keadaan ini jarang berlaku dan hanya menjejaskan peratusan kecil orang yang kehilangan penglihatan disebabkan oleh keadaan mata tertentu seperti katarak, glaukoma atau diabetes.

Ianya adalah keadaan dimana buta berhalusinasi secara visual selepas kehilangan penglihatan. Ia bukan hanya halusinasi asas. Pesakit CBS telah melaporkan melihat visual yang kompleks dan luar biasa tentang pelbagai jenis perkara, seperti muka yang herot, figura yang tidak jelas memakai pakaian eksotik, berwarna-warni dan pelbagai gambaran pelik lain.

Saintis masih tidak tahu apa yang menyebabkan keadaan ini terjadi. Nampaknya tidak ada faktor persamaan di kalangan mereka yang mengalami keadaan ini, kecuali hakikat bahawa mereka semua kehilangan penglihatan pada satu ketika dalam hidup mereka dan bukannya dilahirkan buta.

3. Mekanisma memori

memori otak

Kini saintis tahu bahawa memori pada otak manusia bukanlah seperti cakera keras seperti yang dibayangkan oleh kebanyakan kita. Ianya lebih seperti koleksi sinaps atau simpang antara pelbagai sel saraf dalam rangkaian saraf otak. Ringkasnya, memori adalah hasil hubungan antara sel-sel saraf dan mempunyai sedikit kaitan dengan sel-sel saraf itu sendiri.

Itulah sebabnya memori akan berkurangan dan kurang tepat mengikut masa, kerana sambungan tersebut semakin lemah dan kurang tepat. Walaupun saintis memahami cara ia berfungsi, mereka masih tidak dapat menjelaskan secara fizikal proses pembentukan memori dan proses mendapatkan semula memori di dalam otak,

Proses pencarian semula  memori yang disimpan dalam otak masih sepenuhnya misteri kepada sains. Kita tidak tahu bagaimana otak menjangkau pelbagai bahagiannya apabila ia perlu mengingati sesuatu perkara atau bahagian mana yang terlibat dalam proses itu.

4. Mimpi

rahsia mimpi

Hampir semua orang tahu apa itu mimpi, walaupun kekerapan dan kandungannya bergantung pada banyak faktor seperti umur, tekanan, masa tidur dan lain-lain. Walau bagaimanapun, apa yang tiada siapa tahu ialah apa yang berlaku di dalam otak apabila kita bermimpi.

Menurut satu kajian, banyak bahagian otak terlibat dalam bermimpi dan bukannya satu, contohnya bahagian yang bertanggungjawab untuk ingatan, emosi dan sebagainya. Walaubagaimanapun, saintis tidak tahu bagaimana bahagian-bahagian otak ini berhubung untuk untuk mencipta mimpi.

Satu perkara lagi, kita kebiasaannya tidak dapat mengingati mimpi secara jelas apabila terjadi dari tidur. Mengapakah perkara ini terjadi? Persoalan ini sememangnya masih menjadi antara misteri otak yang belum dapat dirungka

5. Neurodegenerasi

neurodegenerasi

Neurodegenerasi merujuk kepada jenis kemerosotan khusus sel saraf yang biasanya dilihat dalam penyakit seperti Alzheimer dan Parkinson. Terdapat beratus-ratus penyakit neurodegeneratif yang kita ketahui, walaupun hanya beberapa daripadanya - seperti Alzheimer, Parkinson dan Huntington - pernah dikaji.

Masih terdapat banyak persoalan mengenai apa yang menyebabkan penyakit neurodegeneratif. Satu-satunya kriteria nampaknya adalah usia tua. Selain daripada umur, pesakit gangguan neurodegeneratif nampaknya tidak mempunyai hubungan lain yang boleh dikaitkan  sama sekali.

Itu menjadikannya hampir mustahil untuk meramalkan dan dengan itu merawat dengan berkesan beberapa gangguan mental yang diketahui oleh perubatan. Saintis tidak pasti apa yang berlaku di otak sebaik sahaja penyakit ini menguasai dan berkembang atau bagaimana ia menyerang dan membunuh neuron dari semasa ke semasa.

Kredit:

  1. Live Science
  2. Science Daily
  3. Healthline



Hakcipta iluminasi.com (2017)