Oleh pada 19 Feb 2020 kategori

Anak perempuan kepada seorang pegawai rasmi Vatican City kali terakhir dilihat selepas menghadiri kelas muzik di Rom. Emanuela Orlandi yang pada ketika itu berusia 15 tahun, hilang dan tidak lagi ditemui sejak 22 Jun 1983.

Teori-teori yang menyelubungi kehilangan Orlandi telah melihatkan orang ramai menuding jadi mencari pesalah, daripada Gereja Katolik kepada Mafia hinggalah kepada kumpulan fasis di Turki.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dan walaupun misteri ini tidak pernah diselesaikan dan mayat Emanuela masih belum dijumpai, kes itu telah mendapat perhatian semula baru-baru ini akibat oleh penemuan bukti yang baru.

Penemuan tulang-tulang yang ditemui di Vatican City pada tahun 2019 dipercayai milik Emanuela seolah-oleh hampir menyelesaikan kes ini buat kali pertama dalam tempoh lebih daripada 35 tahun.

Akan tetapi, harapan pihak penyiasat sekali lagi musnah. Tulang-belulang itu terbukti bukan milik Emanuela. Kehilangannya masih kekal sebagai misteri sehingga ke hari ini.

Kehilangan Emanuela Orlandi

emanuela orlandi hilang selepas menghadiri kelas muzik

(Emanuela Orlandi hilang selepas menghadiri kelas muzik di Vatican City)

"Kami sangkakan kami berada di tempat yang paling selamat di dunia," ujar abang Emanuela Orlandi iaitu Pietro, memberi pandangan tentang kehidupan mereka ketika membesar di Vatican City.

Dan walaupun mereka tinggal di sebuah komuniti yang kecil di mana bapa mereka merupakan seorang pegawai berkuasa besar, kawasan kejiranan mereka terbukti tidak selamat pada 22 Jun 1983.

Emanuela menjalani sesi latihan seruling sebanyak 3 kali seminggu di sebuah sekolah muzik tempatan dan itulah apa yang dia lakukan pada hari kejadian.

Pada hari kejadian, dia ke kelas seruling dan menelefon kakaknya selepas itu. Namun, Emanuela tidak pulang ke rumah. Panggilan telefon yang diterima kakaknya itu adalah perbualan kali terakhir dengan Emanuela.

Emanuela diisytiharkan secara rasmi sebagai orang yang hilang pada hari berikutnya dan siasatan dijalankan dengan segera sebaik sahaja mendapat beberapa petunjuk.

Dua klu khas, satu pada 25 Jun dan satu lagi pada 28 Jun, seolah-olah dapat membawa penyiasat ke arah yang betul.

Pemanggil pertama yang merujuk dirinya sebagai "Pierluigi", berkata bahawa dia ternampak Emanuela di Rom pada hari berkenaan. Pierluigi juga memberikan maklumat tentang seruling dan pakaian Emanuela, membuatkan para penyiasat percaya bahawa dia bercakap benar.

gambar emanuela orlandi kira kira sedekad sebelum kehilangannya pada tahun 1983

(Gambar Emanuela Orlandi kira-kira sedekad sebelum kehilangannya pada tahun 1983)

Pierluigi menambah bahawa gadis itu menggelarkan dirinya sebagai "Barbarella" dan melarikan diri dari rumah untuk menjual produk Avon, yang mana sesuatu yang diberitahu oleh Emanuela kepada kakaknya sebelum hilang.

Pemanggil kedua iaitu pada 28 Jun, memberitahu pihak berkuasa bahawa dia juga telah bertemu dengan seorang gadis yang sama bernama "Barbara" yang lari dari rumah.

Lelaki ini mendakwa ternampak gadis tersebut di sebuah bar berdekatan dengan sekolah muzik berkenaan, membuatkan mereka percaya dengan ceritanya.

Namun kemudian, lelaki kedua ini mula bercakap tentang satu konspirasi melibatkan kumpulan pengganas Turki yang dikenali sebagai Grey Wolves dan rancangan mereka untuk menculik Emanuela sebagai tebusan kepada ahli mereka yang telah dipenjarakan kerana menembak pope dua tahun yang lalu.

Ini membuatkan pihak berkuasa beranggapan bahawa kes ini bukan sekadar seorang gadis yang cuba untuk melarikan diri dari rumah.

Teori-teori berkenaan kehilangan Emanuela Orlandi

vatican city tempat emanuela orlandi hilang

Selain daripada teori melibatkan kumpulan pengganas Turki, muncul banyak teori yang menarik yang menyelubungi kehilangan Emanuela Orlandi, malah dia juga dianggap telah mati.

Dengan Vatican City dan kawasan sekitar dikuasai oleh kuasa agama dan Mafia, sudah tentulah mafia ini lebih kerap diragui oleh penduduk setempat.

Kumpulan Mafia ini sebahagian besarnya terlibat dengan sindiket jenayah antarabangsa berpangkalan di Rom dan dikenali sebagai Banda della Magliana. Kumpulan ini dipimpin oleh Enrico De Pedis.

Ada teori lain menyatakan bahawa kumpulan mafia ini telah meminjamkan sejumlah besar wang kepada Bank Vatican tetapi hutang tersebut tidak dibayar balik, jadi mereka memutuskan untuk menculik anak pegawai rasmi Vatican City sebagai tebusan, bagi mendapatkan kembali wang mereka.

Klu yang diberikan kepada pihak berkuasa oleh individu yang tidak mendedahkan identitinya menyokong teori ini dan bekas teman wanita Enrico kemudiannya mendakwa bahawa teman lelakinya itu memberitahu bahawa dia telah menculik Emanuela.

satu poster meningkatkan kesedaran tentang kehilangan emanuela orlandi

(Poster untuk meningkatkan kesedaran tentang kehilangan Emanuela Orlandi)

Walau bagaimanapun, penggeledahan oleh pihak polis di tempat Enrico selepas seorang pemberi maklumat mendakwa terdapat bukti DNA di rumahnya tidak menemui sebarang bukti. 

Teori lain yang menyatakan penglibatan kumpulan pengganas Turki Grey Wolves kelihatan seperti lebih meyakinkan.

Ahli Grey Wolves iaitu Mehmet Ali Ağca telah cuba membunuh Pope John Paul II di Vatican City pada 13 Mei 1981, menembaknya sebanyak 4 kali namun tidak berjaya membunuh Pope dan diberkas serta merta.

Beberapa pemanggil tanpa nama yang menghubungi pihak berkuasa dalam beberapa minggu selepas kehilangan Emanuela mencadangkan bahawa gadis tersebut ada bersama Grey Wolves untuk ditukarkan dan ditebus dengan Mehmet Ali.

pope john paul ii bertemu dengan mehmet ali agca di penjara pada disember 1983

(Pope John Paul II bertemu dengan Mehmet Ali Agca di penjara pada Disember 1983)

Beberapa panggilan daripada pemanggil yang dikenal pasti oleh pihak berkuasa sebagai "The American", juga mengesahkan bahawa individu yang memberikan maklumat pada 25 dan 28 Jun adalah sebahagian daripada kumpulan mereka, serta bercakap mengenai pelan sebenar bagi menukarkan Emanuela dengan Mehmet Ali dalam masa 20 hari.

Walau bagaimanapun, pihak berkuasa Vatican City tidak mengambil serius dengan panggilan itu dan tidak mengambil apa-apa tindakan.

Tetapi, teori yang mungkin dilihatkan sebagai paling tidak menyenangkan tentang kes kehilangan Emanuela Orlandi adalah bahawa Vatican City, polis tempatan dan penggubal undang-undang serantau berkomplot menculik gadis-gadis seperti Emanuela dan menjadikan mereka sebagai hamba seksual dalam pesta seks.

Teori pesta seks ini didakwa melibatkan diplomat-diplomat asing dan individu-individu terkemuka.

emanuela orlandi misteri kematian kanak kanak di bandar vatican

Individu yang mencadangkan teori ini adalah Father Gabriele Amorth, ketua exorcist Vatican City yang dilantik sendiri oleh Pope John Paul II.

Gabriele berkata bahawa Emanuela menjadi hamba seksual dan akhirnya dibunuh lalu mayatnya dihapuskan.

"Ini adalah jenayah bermotifkan seksual. Pesta-pesta dianjurkan, dengan pegawai polis paramiliter bertindak sebagai "perekrut" gadis-gadis ini. Rangkaian ini melibatkan kakitangan diplomatik dari kedutaan asing ke Vatican City. Saya percaya Emanuela berakhir sebagai mangsa dalam rangkaian ini," kata Father Gabriele Amorth.

Dan tak kisahlah apa sekalipun motif jenayah ini, apa yang difokuskan oleh keluarga Emanuela adalah untuk mencari dan mendapatkan mayatnya.

Sejak itu, banyak maklumat-maklumat yang diterima mengenai teori ini sejak tahun 1983.

Tulang-tulang di Vatican City dan Misteri "Angel’s Crypt"

angel s crypt di vatican city

Sepanjang hampir empat dekad sejak Emanuela Orlandi hilang, pihak berkuasa telah mengikuti petunjuk yang tidak terhitung banyaknya dan menganalisis maklumat yang diterima dengan harapan dapat menyelesaikan misteri ini.

Dan mungkin tiada maklumat yang lebih menarik berbanding sepucuk surat pada tahun 2019 yang mendakwa dapat mendedahkan di mana mayat Emanuela.

Peguam keluarga Orlandi iaitu Laura Sgro menerima satu nota yang sangat tidak menyenangkan pada tahun 2019 yang mengandungi gambar makam di bawah Vatican  City dan arahan untuk "mencari lokasi yang ditunjukkan", yang merujuk kepada gambar Malaikat Marmar menjaga kubur itu.

Maklumat itu telah menarik perhatian pegawai-pegawai tertinggi Vatican City, dengan jurucakap Alessandro Gisotti turun padang untuk memberitahu situasi terkini secara diplomatik.

orang ramai mengambil bahagian dalam memperingati kehilangan emanuela orlandi

(Orang ramai mengambil bahagian dalam memperingati kehilangan Emanuela Orlandi)

Apa yang membuatkan maklumat ini tersangat menarik adalah ujian saintifik terhadap makam itu berikutan penerimaan surat itu, mencadangkan bahawa makam itu telah dibuka sekurang-kurangnya sekali pada ketika itu, cukup untuk menyimpan mayat Emanuela di dalamnya.

Tambahan pula, dalam surat kepada Vatican City, Sgro mengatakan bahawa dia telah dapat "mengesahkan bahawa sesetengah orang tahu terdapat peluang untuk mayat Emanuela Orlandi disembunyikan di dalamnya [makam]."

Juga terdapat bukti tambahan bahawa pelawat yang tidak dikenali telah melawat makam ini dengan kerap, melihatkan pada bunga-bunga yang ada di tapak tersebut.

Apa yang perlu dilakukan adalah memeriksa makam itu dan melihat sama ada mayat Emanuela Orlandi benar-benar ada di dalamnya.

Penyiasatan ke atas makam Vatican City

pencarian mayat emanuela orlandi dalam makam yang didakwa pemberi maklumat

(Usaha mencari mayat Emanuela Orlandi)

Apabila surat tersebut muncul pada tahun 2019, ia bukanlah kali pertama harapan diberikan kepada keluarga Orlandi. Sebelum ini, keluarga Orlandi dikejutkan apabila pihak berkuasa Vatican City menemui mayat manusia pada Oktober 2018.

Namun, mereka kecewa kerana mayat tersebut rupa-rupanya adalah mangsa yang tidak berkenaan.

Malangnya, perkara yang sama berlaku lagi pada Julai 2019 apabila pemeriksaan ke atas makam itu menunjukkan tiada mayat di dalamnya.

Bagi keluarga Orlandi, yang telah mencari mayat anak mereka dengan dedikasi dan kesabaran hampir 4 dekad, ia merupakan satu berita yang tersangat sedih.

Pietro Orlandi berkata bahawa sebahagian daripada dirinya berasakan lega bahawa Emanuela tidak berada di situ.

usaha mencari mayat emanuela orlandi

Dan walaupun tiada apa yang ditemui, tindakan Vatican City menunjukkan perubahan hati secara tiba-tiba dari segi kerjasama mereka dalam perkara ini, perlu diberikan pujian.

Pietro Orlandi berkata dia telah berkali-kali meminta Vatican City untuk membantu dalam mencari adiknya yang hilang dan "terkejut" apabila mereka akhirnya bersetuju dengan permintaannya.

"Untuk kali pertama dalam 36 tahun, Vatican City melakukan sesuatu yang penting dalam kes ini," kata Pietro.

Pietro juga menjelaskan bahawa apabila dia meminta bantuan daripada Pope Francis pada tahun 2013, dia hanya diberitahu bahawa adiknya itu berada di "syurga", itu sahaja.

Lebih menarik, Pietro membuat spekulasi bahawa keengganan Vatican City untuk membantu dalam kes ini kelihatan seperti satu pengakuan bahawa terdapat kemungkinan pihak dalaman Vatican City terlibat.

Dan walaupun mendapat bantuan VaticanCity, kes kehilangan Emanuela Orlandi sekali lagi gagal dirungkai dan terus menjadi misteri.

keluarga emanuela orlandi bersama pope john paul ii

(Keluarga Emanuela Orlandi bersama Pope John Paul II)

Rujukan:

1. Kehilangan Emanuela Orlandi

2. CNN

3. Kisah Kehilangan Emanuela Orlandi Yang Menakutkan 




Hakcipta iluminasi.com (2017)