Oleh pada 19 Jan 2020 kategori

Di sebuah kampung bernama Milton di Dumbarton, Scotland, terdapat sebuah jambatan misteri yang dikenali penduduk tempatan sebagai "Jambatan Anjing Bunuh Diri". Sering berlaku keadaan di mana anjing akan melompat dari jambatan ke bawah seakan-akan "membunuh diri".

overtoun bridge

Malah, kejadian anjing membunuh diri di jambatan itu telah dilaporkan sejak dari tahun 1950-an lagi. Jambatan yang diberi nama sebagai Jambatan Overtoun mengundang pelbagai persoalan dari seluruh dunia.

Bukan sahaja saksi mendakwa mereka melihat anjing memanjat jambatan itu dan terjun. Ada juga yang mendakwa bahawa mereka melihat anjing yang terselamat akan memanjat semula untuk melakukan percubaan membunuh diri kali kedua.

Apabila Pertubuhan Pencegahan Kekejaman Haiwan Scotland menghantar wakil untuk menyiasat, mereka tidak dapat merungkai misteri yang menyelubungi kejadian di Jambatan Overtoun. 

Apa yang mereka dapati, anjing-anjing ini sebenarnya bukanlah pergi ke jambatan itu dengan niat untuk membunuh diri (seperti cara manusia) tetapi seakan-akan ada sesuatu benda yang mengumpan anjing-anjing ini untuk terjun.

misteri jambatan overtoun

Seorang wanita bernama Lottie Mackinnon adalah antara pemilik anjing yang pernah melompat dari jambatan berusia lebih daripada 100 tahun itu.

Ketika itu Mackinnon membawa anjingnya, Bonnie, keluar berjalan-jalan. Sebaik sahaja mereka menghampiri jambatan itu, Bonnie menjadi kaku seketika dan kemudian menjadi sangat aktif sebelum terjun dari jambatan itu. 

Mackinnon dengan segera turun dari jambatan itu untuk mencari Bonnie. Dia kemudiannya menemui Bonnie di celahan semak. Anjingnya selamat walaupun mengalami kecederaan. Beratus-ratus ekor anjing yang lain tidak begitu bernasib baik setelah melompat dari jambatan itu.

Scotland merupakan tempat yang penuh dengan kepercayaan tahyul dan mitos, ini menjadikan Jambatan Overtoun sebagai pusat tarikan misteri tempatan. Persoalan yang sering menjadi pertanyaan ialah, mengapa begitu banyak anjing melompat dari jambatan itu?

jambatan overtoun 417

Penyelidik tempatan menganggarkan lebih daripada 300 ekor anjing telah melompat dari Jambatan Overtoun manakala akhbar pula mengatakan jumlahnya menghampiri 600 ekor.

Ada sebahagian orang yang mengaitkan kejadian itu dengan kejadian paranormal. Lokasi jambatan itu yang berada di kawasan tenang, subur dan cantik permandangannya bersesuaian dengan apa yang dikatakan oleh orang-orang pagan Celtic tentang "tempat halus" di mana syurga dan bumi bertindih.

Menurut seorang pemandu teksi tempatan, Alastair Dutton, orang-orang di Dumbarton sangat percayakan perkara tahyul. Kejadian pelik ini juga telah dikisahkan dalam buku dan rancangan TV Amerika iaitu The Unexplained Files.

Seorang guru agama dan falsafah yang membesar di bandar berhampiran Jambatan Overtoun, Paul Owens, telah menerbitkan sebuah buku tentang kejadian misteri di situ.

rumah agam berhampiran jambatan overtoun 395

Rumah agam bersebelahan Jambatan Overtoun

Selepas 11 tahun melakukan penyelidikan, Owens yakin bahawa kejadian itu berpunca daripada gangguan makhluk halus. Teori Owens itu juga popular di kalangan penduduk tempatan yang membesar mendengar kisah seram mengenai satu lembaga yang dinamakan sebagai "Lady White Overtoun".

Lembaga yang digelar Lady White itu dipercayai adalah roh kepada isteri John White iaitu anak hartawan tempatan, James White. James White telah membina sebuah rumah agam tidak jauh dari Jambatan Overtoun.

Wanita itu tinggal bersendirian di rumah agam itu lebih daripada 30 tahun selepas kematian suaminya pada tahun 1908. Penduduk tempatan mendakwa lembaga wanita itu sering dilihat berlegar-legar di sekitar rumah agamnya.

Walaupun teori paranormal itu menarik perhatian ramai, terdapat juga teori yang kedengaran lebih logik. Terdapat teori bahawa haiwan seperti mengkira (seperti musang) dan mink (seperti memerang) sering menandakan kawasan itu dengan bau yang sangat kuat dan menarik perhatian anjing.

mink

Mink

Tambahan pula, kebanyakan kes anjing "membunuh diri" ini berlaku pada hari cerah dan kering di mana bau mengkira atau mink itu berada pada tahap paling kuat mengukuhkan lagi teori ini.

Seorang pengkaji tingkah laku haiwan, David Sands, telah menyiasat fenomena ini dan menolak kemungkinan anjing-anjing itu sengaja membunuh diri.

David mendapati bahawa anjing-anjing tersebut terutamanya dari baka hidung panjang menjadi tertarik kepada bau haiwan mamalia di bawah. David juga menegaskan bahawa anjing-anjing yang tertarik itu tidak sedar mengenai kedalaman jurang yang ada di bawah jambatan itu sebelum melompat ke bawah.

Walau bagaimanapun, David tetap mengakui bahawa Jambatan Overtoun itu mempunyai aura yang pelik.

jambatan overtoun 2

Walaupun mempunyai reputasi yang mengerikan, kawasan-kawasan yang berhampiran dengan Jambatan Overtoun itu merupakan kawasan popular untuk membawa anjing berjalan-jalan dan kebanyakannya tidak diikat dengan tali.

Ramai juga yang kurang percaya tentang kisah misteri jambatan itu sehinggalah ia terjadi kepada mereka atau mereka melihatnya dengan mata sendiri.

Rujukan:

1. Mengapa anjing kerap melompat dari jambatan ini

2. Misteri Jambatan Overtoun di Scotland

3. Kejadian misteri anjing bunuh diri di Scotland



Hakcipta iluminasi.com (2017)