Negara kita malangnya sehingga tahun 2020 memegang rekod negara paling ramai warga yang berstatus lebih berat badan, jika dibandingkan dengan negara Asia Tenggara lain.

Kita duduk di tempat pertama dengan 15.6 daripada keseluruhan populasi kita mempunyai masalah obesiti, sementara Brunei di tempat kedua dengan 14.1 peratus. Walaupun demikian, jika dibandingkan dengan negara nombor 1 paling gemuk di dunia iaitu American Samoa yang mencatat peratusan 74.60% - kita masih 'jauh ketinggalan.'

BESARKAN TEKS     A-  A+

Uniknya, individu dalam sejarah dunia perubatan paling berat pernah direkodkan tidaklah berasal dari Malaysia, Brunei atau American Samoa. Berikut adalah lima individu paling berat pernah direkodkan.

5. Carol Yeger (539 kg)

carol yager manusia paling berat direkodkan

Berdepan masalah pemakanan sejak kecil akibat masalah penderaan seksual, Carol Ann Yeger mula mengalami pertambahan berat badan mendadak yang akhirnya menyebabkan dia gagal untuk melakukan perbuatan asas seperti berdiri dan berjalan, disebabkan kegagalan kaki menampung berat badannya.

Bagaimanapun tidak ramai yang tahu tentang situasi beliau ketika itu, yang hidup dengan bantuan jururawat serta anaknya yang ketika itu baru memasuki usia remaja. Sehinggalah pada bulan Januari tahun 1993 Carol perlu dikejarkan ke hospital akibat demam panas berpanjangan....yang memerlukan bantuan pihak bomba.

Pihak bomba terpaksa menghamparkan alas, menggulingkan wanita itu dari biliknya yang berada di tingkat atas ke bawah, berusaha meloloskan tubuhnya melalui bukaan pintu sebelum kembali digulingkan menuruni bukit untuk masuk ke ambulans.

Tiba di hospital, beratnya direkodkan adalah 539kg - menjadikan Carol wanita paling berat di dunia pernah ditemui setakat itu. Dia perlu berulang alik ke hospital beberapa kali dalam tempoh 2 tahun, memerlukan bantuan dua pasukan bomba setiap kali untuk mengeluarkan dan mengembalikannya ke rumah.

Carol berjaya diletakkan dalam diet yang mengurangkan beratnya kepada sekitar 315 kg, kembali mampu berdiri dan mengambil langkah perlahan namun meninggal dunia pada bulan Julai tahun 1994 pada keberatan 544kg.

4. Juan Pedro Franco (595 kg)

juan pedro franco

Tidak lama dahulu, Juan Franco merupakan individu paling berat yang masih hidup di dunia sebelum pembedahan bagi membuang tisu-tisu lemak berjaya mengurangkan berat badannya kepada 304 kg.

Pada zaman kemuncak beratnya, Juan pernah mencapai berat sehingga 595 kg serta bergelar manusia paling berat yang masih hidup ketika ini.

Bermula dari tahun 2018, Juan telah menjalani 3 kali pembedahan yang mengurangkan beban badannya, membolehkan dia kembali mampu untuk bangun, berdiri, mandi sendiri seterusnya berkeupayaan mengenakan baju secara sendirian.

Juan ketika ini masih lagi menjalani program pemulihan bagi mengembalikan tahap kesihatannya, mempunyai berat sekitar 208 kg serta menjalani sesi terapi dan diet yang sangat ketat mengakibatkan dia hilang takhta sebagai lelaki paling berat di dunia.

3. Manuel Uribe Garza (597 kg)

manusia paling berat pernah direkodkan dunia

Manuel Uribe tidaklah mengalami masalah berat badan luar biasa sejak muda. Seorang warga Mexico, dia mempunyai berat sekitar 115kg pada zaman muda namun selepas perkahwinannya dan penghijrahannya ke Texas, Amerika Syarikat pada tahun 1987 - situasi tubuhnya mula berubah.

Dia mula kurang bergerak, lebih banyak menumpukan kerjanya sebagai juruteknik barangan elektronik. Tugasannya yang memerlukan dia hanya duduk di satu tempat, mengakibatkan badannya mula berubah. Sepanjang tempoh hampir dua dekad, berat badannya meningkat terlalu pesat sehinggakan mengorbankan perkahwinannya.

Tidak tahan dengan seksaaan dan berat yang pada ketika itu mencecah 597 kg, Manuel kembali ke Mexico pada tahun 2006 bertemu pihak media memohon pertolongan. Rayuan itu disambut beberapa orang pakar perubatan yang mula menjalankan diet khas untuk beliau.

Dia berjaya mengurangkan berat badannya sebanyak 230 kg serta menemui cinta keduanya. Mengharapkan dapat berjalan sendiri semasa majlis perkahwinannya, malangnya kondisi Manuel ketika itu belum cukup ampuh. Dia terpaksa didudukkan di atas sebuah katil sepanjang majlis berlangsung, tidak dapat menari tarian pertama mereka berdua.

Perkahwinan keduanya kekal selama 3 tahun sebelum perceraian. Pada bulan Mei tahun 2014, Manuel meninggal dunia akibat kegagalan hati.

2. Khalid bin Mohsen Shaari (610 kg)

khalid bin mohsen shaari

Individu kedua yang masih hidup dalam senarai ini, Khalid ketika ini sudah berusia 30 tahun. Nama beliau mula disebut-sebut selepas penemuannya dilaporkan oleh media sebagai lelaki paling berat di dunia dalam tahun 2013, sehingga mengakibatkan Raja Arab Saudi, Raja Abdullah mengarahkan agar bantuan dihulurkan kepadanya.

Ketika ditemui, Khalid yang mempunyai berat 610 kg tidak mampu bergerak. Dia diangkat menggunakan jentera pengangkut untuk dibawa ke pusat perubatan. Dinding kediamannya terpaksa diruntuhkan bagi membolehkan ruangan dibuka untuk mengeluarkannya.

Bagi menguruskan pesakit seberat ini, Pusat Perubatan King Fahd terpaksa menyediakan sejenis tilam khas yang mampu menampung tubuhnya serta sebuah troli yang membolehkan Khalid ditolak ke sana ke mari oleh petugas.

Hasil pembedahan dan diet, Khalid akhirnya mampu berjalan sendiri pada tahun 2016 sebelum menjalani pembedahan terakhir pada tahun 2018. Beratnya kali terakhir dilaporkan berada pada tahap 68 kg.

1. Jon Brower Minnoch (635 kg)

jon brower minnoch

Jon Brower Minnoch, seorang warga Amerika Syarikat berdepan masalah berat badan sejak kecil lagi. Pada usia 12 tahun, Jon sudah mencapai berat 133 kg dan 10 tahun kemudian, beratnya bertambah kepada 230 kg. Angka itu terus meningkat tanpa henti.

Berbeza dengan individu yang mempunyai tabiat makan melampau atau kurang bersenam, Jon mempunyai masalah edema di mana tubuhnya menyimpan lebihan cecair dalam badan.

Selepas mengalami sakit jantung pada tahun 1978, Jon hanya berjaya dibawa ke hospital dengan bantuan pihak bomba. Tiba di hospital, beratnya diukur anggaran 635 kg yang jelas sekali memerlukan campur tangan segera pihak perubatan.

Jon diletakkan dalam program diet khas yang berjaya menurunkan berat badannya kepada 215 kg, namun selepas dibenarkan keluar hospital Jon gagal untuk mengekalkan dietnya. Berat badannya meningkat kepada 361 kg.

Dia berkahwin, dikurniakan dua orang anak sebelum tahap kesihatannya mula merosot ekoran edema yang kembali mengganas dan gagal ditangani hospital. Dia meninggal dunia pada 10 September 1983, ketika baru berusia 41 tahun.




Hakcipta iluminasi.com (2017)