Pada peringkat awal jangkitan Covid-19, fokus kepada golongan kanak-kanak tidak diberikan penekanan ketara; banyak pihak menamakan warga tua sebagai kumpulan paling berisiko tinggi serta memerlukan penjagaan rapi.

itu tidak bermakna kanak-kanak tidak boleh dijangkiti. Di negara kita 317 orang kanak-kanak menjadi sebahagian daripada keseluruhan jumlah kes termasuklah beberapa kes melibatkan bayi berusia bawah 1 tahun. Belum ada laporan melibatkan kumpulan ini dilaporkan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimanapun, apa yang membimbangkan sekitar awal bulan Mei tahun 2020 wujud beberapa penemuan baru yang dipercayai akibat jangkitan Covid-19, menampakkan simptom yang hanya berlaku di kalangan kanak-kanak yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Angka kes serupa juga dilapor semakin bertambah.

Simptom baru mirip penyakit lama

penyakit kawasaki covif 19

Anda pernah dengar tentang penyakit Kawasaki yang hanya menyerang kanak-kanak? SIndrom penyakit Kawasaki merupakan sejenis jangkitan yang hanya berlaku melibatkan kanak-kanak di bawah usia 5 tahun.

Dinamakan sempena nama penyelidik yang menemui jangkitan itu pada tahun 1967 bernama Tomisaku Kawasaki di Jepun, jangkitan berikutnya di luar Jepun ditemui di Hawaii. Sehingga kini Jepun merekodkan kes tertinggi jangkitan tersebut berbanding negara-negara lain di dunia.

Kanak-kanak yang mengidap penyakit Kawasaki akan mula mengalami demam panas, ruam, bengkak kelenjar di leher, sebelum warna mata, lidah dan jari bertukar kemerah-merahan disebabkan oleh radang yang dihadapi saluran darah di seluruh tubuh.

Penyakit Kawasaki sekiranya dirawat segera mempunyai peluang tinggi untuk pulih, namun seandainya rawatan gagal diberikan - organ utama jantung boleh gagal berfungsi.

Sesuatu yang belum terjawab tentang penyakit ini adalah punca utamanya yang masih belum dikenalpasti - majoriti penyelidik percaya penyakit Kawasaki terjadi disebabkan oleh kesan tindak balas sistem imunisasi semulajadi tubuh terhadap jangkitan penyakit lain, mengakibatkan berlakunya serangan radang pada organ.

Dalam kes-kes Covid-19 yang ditemui pada kanak-kanak, beberapa orang kanak-kanak dilaporkan mempunyai sistem serupa dengan penyakit Kawasaki sebelum kajian lebih lanjut mendapati jangkitan pada mereka, sebenarnya merupakan satu jenis jangkitan baru.

Kes misteri yang menyerang negara barat

pesakit misteri kanak kanak covid 19

Beberapa laporan berkaitan pesakit kanak-kanak di Eropah dan Amerika Syarikat yang perlu dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi mula kedengaran, akibat simptom yang pada awalnya dinamakan sebagai 'paediatric inflammatory multisystem syndrome.'

Pada peringkat awal, ramai penyelidik menyangkakan kanak-kanak yang dijangkiti mengalami penyakit Kawasaki setelah diperiksa. Setiap kanak-kanak menampakkan tanda-tanda radang pada organ, sindrom kejutan toksik serta beberapa petanda lain yang kebiasaannya hanya ditemui pada pesakit Kawasaki.

Kajian lebih lanjut mendapati pola serupa berlaku di beberapa buah negeri di Amerika Syarikat seperti Los Angeles dan New York serta United Kingdom menemui sindrom serupa.

Hasil daripada siasatan dan kompilasi informasi ke atas semua penyakit yang sama, pihak WHO menamakan jangkitan ini secara rasmi sebagai 'Multisystem inflammatory syndrome in children' atau 'MIS-C' pada 15 Mei 2020.

MIS-C penyebab kegagalan organ kanak-kanak

penyakit kawasaki mis c covid 19 2

Laporan terawal berkenaan sindrom baru ini dikeluarkan dalam jurnal penerbitan The Lancet pada 7 Mei 2020, melibatkan 8 orang kanak-kanak yang mempunyai sindrom serupa menjadi asas kepada semua kes MIS-C kemudiannya.

Kesemua pesakit menampakkan simptom serupa; demam panas di antara 38–40°C, ruam di bahagian tubuh, mata merah, bengkak kelenjar serta rasa sakit teruk pada bahagian organ yang membentuk saluran gastrointestinal tubuh. Kesemua pesakit didapati negatif jangkitan Covid-19.

Selepas menjalani rawatan selama 4 ke 6 hari, sesuatu yang memeranjatkan penyelidik berlaku. 2 daripada 8 kanak-kanak yang berjaya dirawat, dijangkiti Covid-19. Salah seorang daripada mereka meninggal dunia.

Dalam laporan tersebut, penyelidik daripada South Thames Retrieval Service memberi amaran bahawa ada kemungkinan wujud fenomena baru melibatkan kanak-kanak bersifat tiada penampakan sindrom Covid-19 (asymptomatic) yang akan mengalami radang teruk pada beberapa bahagian organ.

Selepas seminggu laporan itu dikeluarkan, sebuah lagi hospital di London menemui kes serupa melibatkan 20 orang pesakit. Dua pesakit di hopsital ini didapati positif antibodi Covid-19, menandakan mereka pernah dijangkiti tetapi tidak menampakkan simptom jangkitan.

Penyakit aneh disebabkan pembentukan imunisasi badan

covid 19 antibodies may tame kawasaki like condition in kids

Setakat ini belum ada kesahihan tentang punca sebenar MIS-C berlaku. Beberapa penyelidik memberikan hipotesis mirip jangkitan Kawasaki, di mana antibodi yang terhasil secara semula jadi akibat jangkitan Covid-19 pada kanak-kanak; telah pun menyebabkan tindak balas istem imunisasi tubuh mereka terhadap kehadiran antibodi tersebut.

Pelik kan?

Dalam erti kata lain - kes ganjil ini hanya berlaku kepada kumpulan kecil kanak-kanak, di mana mereka telahpun dijangkiti Covid-19 dan tidak menampakkan sebarang bentuk jangkitan walaupun batuk, kerana sistem pertahanan badan semulajadi mereka berupaya melawan penyakit itu.

Namun disebabkan oleh antibodi yang terhasil daripada tindak balas tubuh mereka terhadap jangkitan Covid-19, beberapa organ badan mereka akan mula mengalami masalah radang yang akan menampakkan simptom jangkitan teruk, kini kita kenali sebagai MIS-C.

Berbeza dengan Covid-19, pesakit MIS-C tidak boleh menjangkitkan individu lain jadi kaedah rawatan terhadap mereka memerlukan prosedur yang berbeza. Jangkitan MIS-C, sama dengan penyakit Kawasaki mempunyai kemungkinan tinggi untuk sembuh sekiranya rawatan awal berjaya diberikan.

Setakat ini, belum ada kedengaran kes-kes serupa melibatkan kanak-kanak di benua Asia kedengaran.

Rujukan

Multisystem inflammatory syndrome in children and adolescents temporally related to COVID-19

Kids with suspected Covid-related syndrome need immediate attention, doctors say

Multisystem Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C): What Parents Should Know




Hakcipta iluminasi.com (2017)