Oleh pada 07 Jul 2019 kategori

Beberapa tahun kebelakangan ini, wujud minat memuncak kepada filem-filem bertemakan muzikal dengan penerbitan filem seperti 'A Star Is Born', 'The Greatest Showman' dan 'Bohemian Rhapsody' yang mendapat sambutan baik peminat filem seluruh dunia.

Bagaimanapun tema yang dibawa oleh filem-filem muzikal era sekarang dapat dikatakan lebih berat berbanding filem-filem muzikal satu masa dulu, yang kerap menjadikan parodi sebagai model pembentukan filem mereka. Ini menyebabkan berlakunya kemunculan kugiran-kugiran muzik bersifat fiksyen yang dibentuk, sebagai tulang belakang filem tersebut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Terdapat banyak paparan kumpulan muzik fiksyen yang sehingga kini menjadi buah mulut orang ramai dan ini lima kumpulan yang kami rasakan sangat seronok untuk ditonton jatuh bangun mereka.

1. The Wonders (That Thing You Do)

the wonders that thing you do

Filem 'That Thing You Do' benar-benar mencetuskan fenomena pada peminat filem di Malaysia ketika ditayangkan di pawagam sekitar tahun 1996. Semua itu dibantu oleh runut bunyi filem berkenaan yang memaparkan lagu terkenal 'That Thing You Do' nyanyian kugiran fiksyen The Wonders.

Kisah jatuh bangun kugiran tersebut yang naik secara mendadak sebelum jatuh akibat masalah dalaman, adalah kisah yang sudah banyak kali difilemkan tetapi 'That Thing You Do' berjaya membawakan kisah itu dengan tona yang agak ceria, dibantu dengan lakonan pelakon-pelakon yang bersahaja serta kemunculan Tom Hanks yang diingati.

Adegan persembahan paling diingati dalam filem ini sudah tentulah adegan di mana mereka mengadakan persembahan lagu popular kali pertama, yang secara sengaja dipercepatkan - mengubah sebuah lagu balada menjadi lagu pop seterusnya menyebabkan mereka mula disanjung dan dipuja.

2. School of Rock

school of rock

Sekiranya anda nak tonton sebuah filem bertemakan muzik yang sesuai untuk semua golongan serta selamat untuk kanak-kanak, tontonlah 'School of Rock.' Filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki yang menyamar menjadi guru sekolah untuk mendapatkan duit, sebelum menemui sekumpulan kanak-kanak berbakat yang boleh membantu merealisasikan impian dia mahu menubuhkan kugiran rock.

'School of Rock' sebagai sebuah kugiran dilihat sangat berjaya, kerana setiap ahli kumpulan itu yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar-pelajar muzik yang sangat berbakat serta berkebolehan dalam permainan muzik bersifat klasikal. Tunjang filem ini sudah pastilah lebih tertumpu kepada aktor Jack Black, yang turut sama berbakat besar dalam bidang muzik - dibuktikan melalui kugiran dua orang beliau Tenacious D yang gemar membawakan lagu-lagu yang agak unik.

3. Steel Dragon (Rock Star)

steel dragon rock star

Salah sebuah filem yang terbang di bawah radar, filem 'Rock Star' yang membariskan dua pelakon terkenal iaitu Mark Wahlberg dan Jennifer Aniston memaparkan tentang seorang peminat ryang terlalu taksub dengan sebuah kumpulan bernama Steel Dragon, sehinggakan ketaksuban itu menghantui hidupnya sendiri.

Apa yang berlaku selepas itu mengubah nasib hidup beliau apabila dia dipanggil untuk menjalani uji bakat bagi menggantikan penyanyi Steel Dragon. Sesi uji bakat itu berjaya dan seterusnya mengubah hidupnya, memenuhi semua yang dia impikan sebelum itu. Walaupun Mark Wahlberg tidak menyanyikan sendiri semua lagu dalam filem ini, lakonannya sebagai seorang rock star terkejut benar-benar hidup, sentiasa kelihatan naif seolah bermimpi semua yang dikejar sudah jadi realiti.

4. Stillwater (Almost Famous)

stillwater almost famous

Filem 'Amost Famous' berjaya membawakan salah sebuah kugiran yang akan dikenang sampai bila-bila iaitu Stillwater. Lakonan penuh karisma aktor Billy Crudup sebagai gitaris kugiran Stillwater yang sentiasa bersengketa dengan vokalis kumpulan tersebut lakonan Jason Lee, benar-benar menampakkan situasi sebenar sukarnya mengekalkan keharmonian dalam sebuah kumpulan muzik.

Apa yang benar-benar menghidupkan filem ini adalah krisis yang sentiasa wujud hasil pergeseran dua orang pemuzik yang saling berebut untuk menjadi fokus utama kumpulan Stillwater - dan kedua-duanya pula saling tidak mahu beralah sehingga mengakibatkan ego mengatasi segala-galanya, mengorbankan sinergi yang mereka ada.

5. Spinal Tap (This Is Spinal Tap)

spinal tap 9nj96

Sebuah kugiran parodi yang cuba memparodikan kesemua band bergenre 'heavy metal' yang cukup popular satu masa dulu, sehingga kini masih ramai yang tertipu dengan status sebenar kugiran ini - menyangkakan mereka benar-benar sebuah band sebenar. Itulah antara bukti yang menunjukkan pengaruh filem komedi ini kepada peminat muzik dan filem.

Apa yang menarik untuk dibincangkan mengenai kugiran fiksyen ini adalah kesungguhan mereka meneruskan parodi bertahun-tahun lamanya, menerusi banyak penampilan konsert serta temuramah dengan setiap pelakon terus kekal memainkan watak yang diberikan kepada mereka. Sehingga kini banyak adegan yang memaparkan kumpulan Spinal Tap terus hidup, dalam budaya kugiran-kugiran muzik moden yang menjadikan dialog serta perangai mereka dalam filem sebagai ikutan.

6. Rimba Bara/ Malaikat Maut (trilogi Rock)

malaikat maut rock

Salah sebuah trilogi filem muzikal tempatan yang sangat berjaya membuatkan peminat-peminat muzik metal yang kini dah bergelar bapak atau atuk orang, mengimbau semula kenangan semasa muda serta masih berangan nak jadi pemuzik terkenal.

Trilogi filem ini yang mendapat sambutan hangat sudah pastilah berkisar kepada perseteruan di antara dua kumpulan iaitu kumpulan Rimba Bara serta Malaikat Maut yang dipaparkan dalam bentuk serius, kelakar serta ada kalanya mampu menyebabkan linangan air mata mamat heavy metal mengalir.

Jika anda tanya pada kami di antara dua kugiran ini, yang mana lebih baik - kami harus menyebut kumpulan Malaikat Maut. Mereka berani menyembur api atau gigit itk serati di atas pentas.




Hakcipta iluminasi.com (2017)