phoenix jones batman dunia nyata

Karya komik fiksyen yang memaparkan watak 'Batman' sering dipuji, disebabkan latar belakang watak utama komik tersebut berbeza berbanding individu adiwira lain.

'Batman' atau nama sebenarnya Bruce Wayne adalah seorang manusia biasa berkemahiran tinggi dalam penyiasatan dan seni pertempuran, dibantu teknologi moden yang dibangunkan menggunakan duit warisan keluarga untuk membanteras jenayah. 

Ekoran sifat-sifat biasa itu, lebih mudah untuk seseorang dalam dunia nyata cuba menterjemahkan sifat keperwiraan yang ditonjolkan Bruce Wayne/Batman, berbanding adiwira lain. Persoalannya, adakah wujudkah individu mirip Batman dalam dunia nyata? 

Memperkenalkan Phoenix Jones dan Rain City Superhero 

rain city superhero movement

Bagi masyarakat Seattle, Amerika Syarikat yang terkenal dengan gerakan muziknya - kawasan itu juga merupakan antara kawasan paling tinggi kadar jenayah di negara itu. Rujuk apa yang telah berlaku di Capitol Hill tak lama dulu.

Untuk membantu menangani masalah jenayah ini, sekumpulan anak muda yang menggelarkan diri mereka Rain City Superhero Movement mula bertindak membanteras jenayah kecil-kecilan yang berlaku di sekeliling mereka. 

Daripada rekod polis, kumpulan ini dibentuk keanggotaan 10 orang individu yang mempunyai alias perwatakan sendiri, lengkap dengan kemahiran masing-masing. 

Diketuai seorang lelaki bernama Benjamin John Francis Fodor yang merupakan atlet MMA profesional, memberanikan diri membanteras jenayah dalam kostum berwarna hitam dan emas dinamakan 'Phoenix Jones.'

Lahir pada tahun 1988, Fodor mula meletakkan undang-undang dalam tangan sendiri, setelah tingkap kereta miliknya dipecahkan mengakibatkan kecederaan pada anaknya yang terpijak kaca.

Bimbang dengan apa yang berlaku, siasatan sendiri Fodor berjaya menemui beberapa orang saksi yang menyaksikan peristiwa itu.  Apa yang mengecewakan Fodor, saksi-saksi yang melihat insiden itu memilih untuk mendiamkan diri enggan campur tangan.

Selepas berlaku kejadian lain di mana rakannya diserang sehingga mengakibatkan kecederaan kekal pada wajah, Fodor menyedari dia tidak boleh mengharapkan pihak polis untuk bertindak setiap masa. 

Dengan berpakaian topeng luncur ski menutupi wajahnya, Fodor bersama 9 lagi individu yang berkongsi hasratnya mula meronda di kawasan sekitar bandar didiami mereka untuk menghalang aktiviti jenayah berlaku.

Keluar duit cipta baju pelindung

comic book men phoenix jones 177116

Membanteras jenayah bukanlah satu tugas senang. 

Walaupun hanya berdepan penjenayah tempatan, Fodor masih perlu berdepan serangan pisau dan pistol yang membahayakan nyawa.

Dia mula memikirkan cara terbaik untuk mempertahankan diri sambil meminimakan risiko.

Menggunakan dana sendiri, Fodor membelanjakan hampir USD10,000 untuk mencipta kostum berwarna hitam emas yang bersifat kalis peluru dan tikaman. Dia juga mencipta sejenis topi keledar yang direka khas untuk menutupi identitinya dengan sempurna sambil melindungi kepalanya. 

Bagi memastikan tiada siapa tahu siapakah dirinya yang sebenar, Fodor mula menamakan dirinya ketika berkostum sebagai 'Phonix Jones'. Kesemua ahli Rain City Superhero juga mempunyai kostum dan alias masing-masing bagi memastikan identiti mereka terjaga. 

Untuk membantu penerimaan masyarakat terhadap apa yang cuba mereka lakukan, Rain City Superhero mula mengadakan kempen sebaran risalah bagi memperjelaskan hasrat sebenar mereka.

Selain itu, sebuah laman web turut dibangunkan bagi memperkayakan lagi informasi yang boleh diakses.

Jadi pembantu polis secara tidak rasmi

phoenix jones batman dunia nyata2

Tindakan nekad Fodor dan rakan-rakannya masuk campur ke dalam situasi jenayah yang sedang berlaku mula membawa risiko besar kepada mereka.

Pada bulan November tahun 2010, tindakan Fodor mematahkan jenayah sehingga hampir ditembak pihak polis, membawa kepada usaha pihak polis untuk menyiasat siapakah pelaku di sebalik topeng itu.

Berpandukan nombor pendaftaran kereta jenis KIA yang dinaiki Fodor yang dipandu seorang wanita, polis Seattle berjaya mengenalpasti siapakah individu di belakang topeng itu.

Selepas dipanggil mengadap bagi membantu siasatan, Fodor mula menerangkan sebab dan punca kenapa kumpulan kecilnya bergerak membanteras jenayah. 

Melalui laman web rasmi Rain City Superhero yang dimuatnaik, polis Seattle mengenalpasti identiti asal kesemua adiwira yang berkhidmat bersama Fodor yang dikenalpasti sebagai Thorn, Buster Doe, Green Reaper, Gemini, No Name, Catastrophe, Thunder 88, Penelope dan Phoenix Jones pula menggunakan gelaran 'Phoenix Jones the Guardian of Seattle.'

Menurut Fodor, kesemua ahli kumpulannya mempunyai kemahiran dalam bidang ketenteraan dan pertahanan diri, membolehkan mereka menyumbang kepada pembanterasan jenayah dengan efektif.

Menariknya, walaupun siasatan selesai dan kesemua identiti ahli Rain City Superhero dikenalpasti pihak polis, polis memilih untuk tidak mendedahkan siapakah pelaku sebenarnya kepada orang awam.

Identiti sebenar adiwira Seattle mula terdedah

phoenix jones adiwira seattle

Lebih kurang setahun selepas insiden melibatkan pihak polis itu, dalam satu cubaan untuk meredakan pergaduhan orang awam Phoenix Jones bersama seorang lagi adiwira bernama Ghost ditangkap, atas dakwaan menggunakan kekerasan dalam tindakannya.

Semasa insiden yang dirakamkan, Fodor yang berpakaian lengkap didapati bertindak menyerang dua individu terlibat dengan penyembur lada sehingga mengakibatkan kecederaan.

Atas dakwaan itu, polis perlu menahan kedua-dua adiwira itu yang membolehkan identiti mereka perlu didedahkan; dalam satu sidang media Benjamin Fodor membuka topengnya menunjukkan kepada dunia dia adalah 'Phoenix Jones.'

Pendedahan itu membawa kepada perkongsian semula kisah kerjaya Fodor sebagai atlet MMA, lebih dikenali dengan gelaran 'Flattop.'

Fodor seorang atlet amatur yang berkemampuan tinggi, pernah menjadi juara kategori lightweight dan welterweight di pertandingan sekitar Washington sejak tahun 2006 sehinggalah tahun 2010, sebelum mula bergelar profesional pada bulan Mei tahun sama.

Berikutan penangkapan dan pendedahan itu, banyak pihak merasakan tindakan pihak polis menangkap dan mendedahkan identiti sebenar mereka adalah disebabkan rasa kurang senang polis terhadap tindakan Rain City Superhero Movement yang gemar masuk campur urusan kepolisian.

Tindakan meletakkan undang-undang dalam tangan sendiri, dilaporkan bukan sahaja mampu membahayakan nyawa adiwira-adiwira tidak rasmi ini bahkan mampu mengakibatkan kecelakaan kepada orang awam.

Bermulanya perpecahan Rain City Superhero

phoenix jones adiwira purple reign

Phoenix Jones dan isteri, Purple Reign

Walaupun identiti telah didedahkan, aktiviti banteras jenayah yang dijalankan oleh Fodor dan rakannya terus berlangsung.

Setelah menjalani transisi kepada atlet profesional, Fodor turut mula meraikan kemenangan dalam perlawanan MMA dengan mengenakan topeng muka 'Phoneix Jones' bagi mempopularkan gerakan mereka.

Namun pertelagahan sesama ahli Rain City disebabkan hala tuju yang berbeza serta keengganan Fodor menerima ahli baru yang disyorkan oleh rakan-rakannya, mula meretakkan hubungan yang terjalin.

Rain City mula bertukar-tukar ahli untuk beberapa tahun sebelum nasib malang menimpa Fodor.

Perceraiannya dengan salah seorang adiwira wanita Purple Reign, menjadi detik paling besar mengubah perjalanan kumpulan adiwira itu. Bekas isterinya yang bertindak sebagai perancang gerakan mereka, merupakan antara penyokong kuat pergerakan mereka. 

Selepas beberapa insiden konflik serta pergaduhan baik di dunia nyata dan media sosial, pada 1 Jun 2014 Phoenix Jones mengumumkan pembubaran Rain City Superhero Movement secara rasmi.

Pengisytiharan itu dibuat atas alasan ramai individu tidak layak telah terpilih menyertai keanggotaan. Fodor juga dikatakan kurang bersetuju dengan tindakan sesetengah adiwira lain yang bertindak menggunakan senjata yang tidak sah disisi undang-undang.

Dengan itu pergerakan mereka sebagai sebuah kumpulan dianggap berakhir.

Bergerak sendirian tanpa bantuan

benjamin fodor phoenix jones

Walaupun telah berpecah, Fodor tidak boleh meninggalkan apa yang dia rasakan tanggungjawabnya. 

Fodor bergerak sendirian sebagai Phoenix Jones, aktif membanteras jenayah dan kerja amal, selain turut bertarung dalam kejohanan MMA. Situasi ini kekal sehinggalah sekitar tahun 2017, bila Fodor tidak lagi mengemaskini akaun 'Phoenix Jones' dengan video rondaan terbaru beliau.

Lama menyepi, banyak pihak beranggapan bahawa 'Phoenix Jones' sudah bersara.

Pada bulan Mac tahun 2019 dalam sebuah temubual bersama seorang pempengaruh internet, Fodor mengumumkan bahawa aktiviti beliau sebagai 'Phoenix Jones' perlu diperlahankan ekoran perubahan hidup.

Nama Fodor dan personanya 'Phoenix Jones' mula lenyap walaupun mempunyai legasi untuk masyarakat Seattle yang cukup mengagumkan. Tetapi sebuah kisah superhero tidak akan berakhir tanpa satu penamat yang meninggalkan impak besar bukan?

Tanggal 28 Januari 2020, satu berita yang mengejutkan semua pihak dilaporkan di Seattle.

Benjamin Fodor atau 'Phoenix Jones' bersama teman wanitanya telah ditangkap atas dakwaan mengedar dadah jenis ekstasi dalam satu operasi pembelian yang dirancang oleh pihak polis sendiri.

Walaupun dibebaskan selepas itu, reputasi pembanteras jenayah yang dibina Fodor sekian lama musnah - kerana akhirnya dia sendiri melakukan apa yang cuba dicegahnya.

Ketika ini, Benjamin Fodor telahpun dibebaskan walaupun masih berdepan dakwaan, terus aktif bergerak sendirian tanpa kostum membantu pihak polis di Seattle.

Kita boleh ikuti perkembangan aktiviti beliau menerusi akaun media sosial rasminya.

Apa yang dapat kita pelajari dari kisah Benjamin Fodor ini - bukan senang nak jadi adiwira. Konflik keluarga, kawan-kawan, ancaman penjahat dan campur tangan pihak polis - semuanya perlu ditangani dengan baik. 

Kekuatan mental yang jitu perlu ada pada seseorang adiwira, bukan setakat kekuatan fizikal semata-mata. Buat baik macam mana pun kita, sebagai seorang adiwira - harus diingatkan, pihak polis tak akan suka dengan apa yang kita lakukan. 

Baik dalam filem, komik mahupun dunia nyata.



Hakcipta iluminasi.com (2017)