Oleh pada 26 Mar 2018 kategori

Setiap kali menonton drama atau filem adiwira, mesti terlintas dalam fikiran, "Bestnya kalau aku ada kuasa macam superhero tu kan?" Tak sempat habis berangan, emak anda pula mesti meleteri anda yang semua cerita itu adalah rekaan dan fiksyen semata-mata.

Namun tahukah anda, wujud sebenarnya manusia superhero dengan kuasa luar biasa dalam dunia ini? Daripada kebolehan melihat lebih 100 juta warna sehinggalah keupayaan menghidu penyakit, kami kongsikan tujuh manusia dengan superpower unik yang anda hanya mampu angan-angankan:

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Lelaki Ais

Wim Hof merupakan seorang atlet Belanda dengan kelainan. Beliau yang lebih dikenali sebagai "The Iceman" mampu bertahan dalam cuaca dengan suhu sejuk melampau. Menurutnya, beliau mempunyai teknik pernafasan tersendiri iaitu dengan berhiperventilasi secara sedar sambil menurunkan kadar denyutan jantung dan mengekalkan adrenalin pada tahap tinggi.

Satu kajian yang dijalankan mendapati Wim Hof boleh mengawal suhu badan dengan kaedah pernafasan yang luar biasa itu sehingga meningkatkan aktiviti sistem saraf.

Tak kisahlah bagaimanapun beliau lakukan, beliau telah membuktikan yang beliau mampu bertahan dalam keadaan ekstrem termasuklah berendam dalam ais paling lama di dunia iaitu selama 1 jam 52 minit pada tahun 2011. Beliau juga telah mengambil bahagian dalam sebuah pertandingan maraton di Finland dalam keadaan cuaca -20°C pada tahun 2009 sambil memakai seluar pendek sahaja. Oh, ya. Beliau mendaki Gunung Everest pun dengan hanya berseluar pendek.

2. Wanita Pelangi

Seorang anak seni bernama Concetta Antico mempunyai kuasa pelik iaitu boleh melihat lebih banyak bilangan warna berbanding manusia biasa. Keadaan ini dipanggil tetrachromat. Ini bermakna beliau mempunyai dua mutasi berbeza pada setiap kromosom X.

manusia superhero superpower kebolehan kuasa luar biasa concetta antico

Situasi ini menyebabkan beliau mempunyai empat kon di dalam mata, tidak seperti manusia lain yang hanya mempunyai tiga kon. Walaupun mutasi genetik ini tidaklah terlalu unik kerana hampir separuh wanita di Eropah mempunyainya, namun hanya sebilangan sahaja mempunyai penglihatan luar biasa seperti ini.

Bagi Antico, batu yang kecil pun dilihat mempunyai warna seperti pelangi. Dilaporkan beliau mampu membezakan sehingga 99 juta warna berbanding kita yang hanya boleh melihat 1 juta warna sahaja.

3. Lelaki Makan Semua

Seorang penghibur dari Perancis bernama Michel Lotito telah mengagumkan para penontonnya dengan kebolehan makan segala macam benda.

Benda di sini bukan sahaja tertakluk dalam kategori makanan. Segala macam benda di sini termasuklah basikal, televisyen, troli dan banyak lagi. Aksi lagak ngerinya yang paling dahsyat adalah pada tahun 1980 ketika beliau habis memakan sebuah pesawat Cessna 150 yang mengambil masa dua tahun.

manusia superhero superpower kebolehan kuasa luar biasa michel lotito

Bagaimana beliau melakukannya? Saintis berpendapat beliau mempunyai sejenis kondisi dinamakan pica, iaitu keadaan psikologi yang bermakna beliau mempunyai nafsu makan untuk objek tidak bernyawa. Lapisan perut yang tebal juga telah membuatkan beliau mampu makan objek-objek ini tanpa sebarang kecederaan.

Rekod menyatakan beliau telah memakan 9 tan logam termasuklah sebuah keranda sebelum menghembuskan nafas terakhir pada tahun 2007. Beliau mati biasa dan bukan disebabkan masalah penghadaman atau sebagainya. 

4. Super Samurai

Isao Machii dari Jepun merupakan seorang pengamal seni mempertahankan diri yang berbeza daripada orang lain. Tindak balas refleksnya adalah sangat mengagumkan sehingga beliau mampu membelah peluru pistol BB menggunakan pedang.

Beliau memegang pelbagai rekod dunia termasuklah aksi membelah peluru BB menggunakan pedang paling laju iaitu pada kelajuan 158.29 km/j dan juga membuat potongan pedang pada tikar jerami paling banyak dalam masa 3 minit (252 potongan).

Tidak dapat kami pastikan bagaimana beliau mampu melakukannya. Namun, kelihatan seperti beliau memproses maklumat pada kadar yang luar biasa berbanding manusia biasa.

5. Memori Superior 

Marilu Henner dikenali sebagai seorang pelakon yang membintangi sitkom Taxi. Walau bagaimanapun, beliau mempunyai satu kelebihan unik iaitu memori luar biasa. Ini disebabkan beliau mampu mengingati hampir kesemua perkara yang terjadi dalam hidupnya secara terperinci.

manusia superhero superpower kebolehan kuasa luar biasa may lou henner

Beliau pernah memberitahu akhbar the New York Times yang beliau boleh mendengar lagu yang berkumandang di radio ketika sedang memandu dan boleh mengimbas semula semua memori ketika mendengar lagu itu seperti montaj cepat.

Menurut para saintis, Marilu mengalami sejenis keadaan unik yang dipanggil hyperthymesia iaitu sejenis gangguan neurologi yang lebih dikenali sebagai memori autobiografi paling superior (HSAM). Punca kejadian tidak dapat dikenal pasti, namun beliau boleh mengimbas memori lebih kerap berbanding manusia lain. Disebabkan itulah beliau mampu mengingati setiap kenangan silam yang pernah berlaku.

6. Manusia Kalkulator

Scott Flansburg adalah seperti sebuah mesin. Bukan kerana beliau mempunyai kekuatan fizikal dan sebagainya tetapi kerana beliau mampu menyelesaikan masalah matematik lebih pantas daripada sebuah kalkulator.

Disenaraikan sebagai Manusia Kalkulator Terpantas oleh Rekod Dunia Guinness pada tahun 2001 dan 2003, beliau mampu menambah nombor yang sama dengan nilai sendiri 15 kali lebih pantas daripada seseorang yang memegang kalkulator.

Baru-baru ini, beliau kerap ditemui menghiburkan orang ramai dengan bakat yang menakjubkan itu sambil membantu anak muda mencintai matematik. Pada bulan November 207 juga, beliau telah mengagumkan penonton di Kejohanan Liga Junior PGA dengan kebolehan luar biasa yang dimiliki.

Ketika itu Flansburg bertanyakan sesiapa untuk berkongsi tarikh lahir dengannya secara sukarela. Hunter Po dari pasukan New Jersey telah memberitahu tarikh lahirnya iaitu 6 Januari 2005. Tanpa sekelip mata Flansburg membalas, "Anda lahir pada hari Khamis. Ingat tak?"

7. Penghidu luar biasa

Joy Milne berasal dari Perth, Scotland. Beliau mempunyai kuasa luar biasa kerana mampu "menghidu" penyakit Parkinson pada seseorang walaupun belum dikesan oleh pakar perubatan.

manusia superhero superpower kebolehan kuasa luar biasa joy milne parkinson

Dalam satu ujian yang dijalankan oleh Edinburgh University, beliau berjaya mengesan penyakit Parkinson sebanyak 11 kali dalam setiap 12 pesakit

Apa yang menarik, mendiang suaminya meninggal dunia pada tahun 2015 akibat Parkinson. Ketika itu, beliau telah berjanji pada suaminya untuk mengkaji kelebihan yang ada pada dirinya dan menggunakannya untuk membantu orang lain.

Dipercayai masih ramai lagi X-men di luar sana selain mereka. Semoga manusia superhero seperti ini sentiasa menggunakan kurniaan Allah yang luar biasa itu ke arah kebaikan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)