Kebiasaannya, peminat siri adiwira sama ada melalui komik atau filem jarang memikirkan tentang agama yang dianuti watak-watak fiksyen kegemaran mereka.
Ini kerana majoriti watak yang diperkenalkan tidak secara terbuka menunjuk atau menayangkan kepercayaan masing-masing, membiarkan kita membuatkan kesimpulan sendiri. Walau bagaimanapun, wujud juga beberapa watak adiwira yang secara terang-terangan mempromosikan agama mereka tanpa berselindung lagi.
BESARKAN TEKS A- A+
Betul ke ada? Ada! Ini adalah lima watak adiwira yang secara terbuka bangga dengan kepercayaan dan anutan masing-masing, dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
1. Bibleman (Kristian)
Bibleman adalah apa yang akan terhasil, sekiranya beberapa orang paderi dari beberapa gereja diberikan peluang untuk menggunakan medium televisyen bagi menyebarkan ajaran Kristian.
'Bibleman' mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Miles Peterson yang mempunyai hidup mewah namun ketika berdepan kesusahan sehingga tidak ada jalan keluar, menemui penyelesaian setelah mendekati Tuhan. Dia menukarkan dirinya menjadi Bibleman, adiwira yang berusaha menyebarkan ajaran Kristian pada semua.
Diterbitkan daripada tahun 1995 sehingga ke tahun 2010 dan dikritik kerana kualitinya yang nampak ala kadar. Siri ini kembali diterbitkan semula dalam bentuk animasi bermula tahun 2016.
2. Green Lama (Buddha)
Green Lama merupakan salah satu watak paling tua dalam senarai ini, dicipta pada tahun 1940-an. Identiti sebenar Green Lama adalah seorang hartawan bernama Jethro Dumont yang tinggal di New York, serta pernah belajar di Tibet selama 10 tahun.
Semasa di Tibet, Jethro telah mempelajari ilmu-ilmu mistik yang berkaitan dengan ajaran Buddha selain daripada seni mempertahankan diri. Menyedari kemampuan dan pengetahuan yang ada, Jethro nekad menggunakan kemahirannya untuk melawan kejahatan.
Kisah komik Green Lama sudah diperbaharui dalam versi lebih moden dan kali terakhir diterbitkan pada tahun 2015.
3. Super Sikh (Sikh)
Berikutan ketiadaan komik yang memaparkan adiwira beragama Sikh, Supreet Singh bertindak mengambil risiko melancarkan kempen mencari dana bagi menerbitkan komik adiwira beragama Sikh. Hasilnya, terhasillah Super Sikh - sebuah komik yang memaparkan watak bernama Deep Singh yang berkhidmat melindungi keamanan dunia.
Lebih bersifat realistik, Super Sikh tidak memberikan kuasa kepada Deep Singh. Dia lebih kepada Batman yang memerlukan peralatan serta gajet untuk menyelesaikan masalah serta tidak mempunyai kostum tetap. Bagaimanapun, turban di kepalanya tidak pernah ditanggalkan kerana itu adalah identitinya yang paling penting.
4. Sabra Man (Yahudi)
Mampu menembak sinaran radioaktif daripada matanya, terbang dalam kelajuan tinggi serta mengeluarkan medan magnetik daripada tubuh - melihat senarai kuasanya saja penulis andaikan Sabra Man adalah adiwira paling kuat antara semua adiwira yang ada.
Identiti asal Sabra Man adalah seorang lelaki bernama Dan Bar On, salah seorang mangsa insiden Holocaust yang terselamat. Selepas menjalani prosedur, Bar On kemudiannya mendapat kuasanya.
Dalam kisah komiknya yang diterbitkan sejak tahun 1978, Sabra Man turut sama terlibat dalam pembentukan negara haram Israel, menyertai perang enam hari merampas Palestin pada tahun 1956 serta Perang Ramadan di antara Mesir dan Syria, menentang negara haram Israel pada tahun 1973.
5. Kismet (Islam)
Watak Kismet diiktiraf sebagai watak adiwira Muslim pertama di dunia, diperkenalkan pada era kegemilangan buku komik Amerika Syarikat pada tahun 1944. Walaupun begitu, Kismet hanya sempat mengisi empat judul penerbitan sebelum penerbitannya dihentikan atas masalah pelesenan.
Tidak banyak yang diketahui tentang watak ini sebelum jalan ceritanya ditambah baik pada siri penerbitan tahun 2015, memberikannya identiti sebenar seorang lelaki bernama Khalil Qisma yang berasal dari Algeria.
Sehingga kini watak adiwira Muslim pertama dunia ini diberikan penerbitan baru dengan siri atas taliannya dengan penerbitan secara mingguan oleh penerbit A Wave Blue World.