Sebut sahaja sukan berbasikal, pasti kita akan teringat jaguh sukan berbasikal negara, Azizualhasni Awang yang kerap kali disebut sebagai Raja Keirin Dunia.
Bila kita sebut keirin tu, adakah kita faham apa sebenarnya yang dimaksudkan dan mengapa apabila Azizulhasni memenangi acara tersebut dikatakan satu pencapaian yang cukup besar?
Pertama sekali perlu kita fahami, asas sukan berbasikal ada dua iaitu acara pecut dan acara ketahanan. Kesemua acara berbasikal di kategorikan di antara dua kumpulan tersebut.
BESARKAN TEKS A- A+
Untuk kali ini, kita akan melihat kepada acara pecut dahulu. Acara pecut dibahagikan kepada empat acara secara amnya; pecut, pecut Berpasukan, kejar-mengejar dan keirin, semuanya dianjurkan dalam trek lumba di velodrom.
a. Pecut Individu
Dalam perlumbaan 3 pusingan, pemenang adalah individu yang sampai pertama di garisan penamat.
b. Pecut Berpasukan
Dalam perlumbaan 3 pusingan, 3 pelumba dari setiap pasukan akan memulakan perlumbaan pada bahagian yang berlainan.
Selepas tamat pusingan pertama, pelumba yang paling hadapan sekali akan mengundurkan diri dan seterusnya pelumba kedua, pada pusingan kedua.
Pada pusingan ketiga, pelumba yang tinggal dan menamatkan perlumbaan dengan masa paling pantas akan dinobatkan sebagai pemenang.
c. Kejar-mengejar individu
Dalam acara kejar mengejar individu, 2 pelumba akan memulakan perlumbaan di petak permulaan yang berlainan.
Objektifnya adalah untuk memotong pelumba lawan sebelum habis 3 pusingan. Jika berjaya, dia akan dikira sebagai pemenang. Jika pelumba gagal memintas lawan, pemenang akan ditentukan melalui kiraan masa.
d. Kejar-mengejar kumpulan
Undang-undangnya sama seperti kejar-mengejar individu.
Perbezaannya adalah taktik yang digunakan setiap pasukan di mana pelumba dalam pasukan akan bertukar-tukar tempat untuk memaksimakan stamina dalam perlumbaan 16 pusingan.
Pemenang akan ditentukan jika salah satu pasukan berjaya memintas lawannya atau kiraan masa yang lebih pantas akan diambil. Ketiga-tiga pelumba perlu melepasi garisan penamat kerana masa hanya akan dihentikan selepas tayar depan pelumba ketiga melepasi garisan penamat.
e. Keirin
Keirin mendapat nama sedemikian kerana acara ini berasal dari Jepun sejak tahun 1948.
Keirin bermaksud "bulatan pertandingan" di mana pada awalnya dijadikan acara perjudian, sebelum diambil sebagai salah satu acara rasmi Sukan Olimpik pada 2000.
Apa kaitan judi dengan berbasikal ni?
Dalam perlumbaan keirin, pelumba akan mengikut satu motor automatik yang digelarkan 'pacer' yang akan bergerak mengelilingi trek pada kelajuan yang dinaikkan setiap satu pusingan, sebelum mencapai had laju maksima 50km/h.
Pacer akan keluar dari trek dalam 700m sebelum garisan penamat dan pelumba akan memecut tanpa henti pada jarak tersebut untuk menjadi pemenang.
Pemenang ditentukan oleh siapa yang melintasi garisan penamat terlebih dahulu. 3 pelumba paling pantas dari setiap pusingan akan layak ke pusingan berikutnya sebelum perlumbaan keirin terakhir diadakan bagi menentukan pemenang utama.
Masyarakat Jepun gemar menggunakan sistem keirin ini, bagi berjudi memilih pemenang kerana perlumbaan basikal ini sangat sengit, hanya ditentukan pada waktu terakhir serta apa saja boleh berlaku pada penghujung perlumbaan - selepas pacer keluar.
Budaya berjudi menggunakan acara keirin ini berlangsung beberapa dekad, menjadi perniagaan yang mencecah trilion yen setahun serta mampu membuatkan sahabat karib bergaduh.
Itulah serba sedikit penjelasan tentang acara sukan berbasikal yang selalu kita sebut-sebut. Kami harapkan agar artikel ini dapat membantu anda memahami perbezaan di antara acara-acara pecut sukan berbasikal.