Sehingga tahun 2014, kira-kira 11% peratus daripada tenaga di dunia ini dihasilkan daripada tenaga nuklear dan 39% pula dihasilkan daripada arang batu. Walau bagaimanapun, statistik ini pastinya berubah memandangkan permintaan yang semakin meningkat terhadap penjanaan tenaga bersih.

Walaupun tenaga nuklar dilihat sebagai alternatif yang bagus, kesukaran untuk menguruskan reaktor atau kilang penghasilan tenaga nuklear serta risiko keselamatan yang sangat tinggi menyebabkan tidak ramai pihak yang mahu mengambil risiko. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walau bagaimanapun, kerana kepelbagaian kemajuan teknologi di negara-negara Asia, kebanyakan daripada kilang-kilang penghasilan tenaga nuklear terbesar di dunia wujud di benua ini. Kali ini pihak Iluminasi ingin berkongsi senarai 5 kilang tenaga nuklear terbesar dunia yang wujud pada masa.

Senarai ini disusun mengikut jumlah kapasiti tenaga yang dapat dijana oleh setiap kilang tenaga nuklear ini. Data-data mengenai kapasiti tenaga yang dihasilkan pula diambil daripada data yang diterbitkan oleh pihak International Atomic Energy Agency (IAEA).

5. Kilang Tenaga Nuklear Hanbit, Korea Selatan - Kapasiti: 5,875 MW

kilang tenaga nuklear

Kilang Tenaga Nuklear Hanbit yang terletak di Korea Selatan ini (dahulunya dikenali sebagai Kilang Tenaga Nuklear Yeonggwang) adalah 1 daripada 6 kilang yang mampu menjana tenaga melebihi 5500 MW yang wujud di dunia. Terletak di daerah Jeollanam-do, kilang ini diuruskan oleh Korea Hydro & Nuclear Power iaitu syarikat subsidiari kepada pembekal tenaga terbesar di Korea Selatan iaitu KEPKO.

Kesemua 6 reaktor nuklear yang digunakan adalah jenis Pressurized Water Reactors (PWR). Dua daripadanya telah mula beroperasi pada tahun 1986 sementara baki 4 yang lain mula beroperasi pada tahun 1994, 1995, 2001 and 2002.

4. Kilang Tenaga Nuklear Hanul, Korea Selatan - Kapasiti: 5,928 MW

kilang nuklear korea selatan

Sebuah lagi kilang tenaga nuklear yang dibina di Korea Selatan. Kilang ini mula beroperasi pada tahun 1988 dan mempunyai 6 buah reaktor PWR dengan setiap satunya mempunyai kapasiti antara 968 MW- 997 MW.

Buat masa ini, dua buah reaktor lagi sedang dibina dan dua lagi akan mula beroperasi menjelang 2022. Reaktor-reaktor baru yang menggunakan teknologi baru ini dijangka menelan belanja sehingga $6 billion. Ianya juga buat pertama kalinya akan menggunakan keseluruhan komponen yang dicipta di Korea sendiri.

3. Kilang Tenaga Nuklear Kori, Korea Selatan - Kapasiti: 6,040 MW

kilang nuklear kori korea selatan

Kilang Tenaga Nuklear Kori merupakan kilang tenaga nuklear kedua terbesar di benua Asia dan merupakan terbesar di Korea Selatan. Ianya turut dioperasikan oleh syarikat Korea Hydro & Nuclear Power, iaitu subsidiari KEPCO yang merupakan pembekal tenaga terbesar di Korea Selatan.

Kilang ini mula beroperasi pada tahun 1978. Secara keseluruhannya, terdapat 7 buah reaktor nuklear yang wujud disini campuran antara reaktor berkapasiti kecil, sederhana dan besar.

2. Stesen Penjanaan Tenaga Nuklear Bruce, Kanada - Kapasiti: 6,384 MW

kilang tenaga nuklear kanada

Stesen Penjanaan Tenaga Nuklear Bruce yang terletak di Ontario, Kanada ini secara rasminya merupakan kilang tenaga nuklear kedua terbesar di dunia dengan kapasiti 6,384 MW. Kilang ini terletak di bahagian timur pantai Lake Huron dari mana ia menggunakan air daripada tasik  ini untuk sistem penyejukan.

Kilang ini mempunyai keluasan seluas 9.32 kilometer persegi. Ketika artikel ini ditulis, kilang ini merupakan kilang nuklear terbesar di dunia yang sedang beroperasi memandangkan Kilang Tenaga Nuklear Kashiwazaki-Kariwa di Jepun diberhentikan operasinya buat sementara waktu dan hanya dijangka akan beroperasi semula menjelang April 2019.

1. Kilang Tenaga Nuklear Kashiwazaki-Kariwa, Jepun - Kapasiti: 7,965 MW

kashiwazaki kariwa

Dengan kapasiti tenaga sekitar 7965 MW,  Kilang Tenaga Nuklear Kashiwazaki-Kariwa yang terletak di Jepun ini secara rasminya merupakan kilang tenaga nuklear terbesar di dunia pada masa kini. Kilang ini meliputi kawasan seluasa 4.2 kilometer persegi dan mempunyai 7 buah unit reaktor.

Setiap unit reaktor disini mampu menjana tenaga antara 1,100MW hingga 1,356MW. Kilang ini mula beroperasi pada September 1985 tetapi buat masa ini, operasi kilang ini diberhentikan buat sementara waktu bagi membolehkan kerja-kerja audit dan penyelidikan dilakukan bagi memenuhi garis panduan baru yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Kredit:

  1. The Guardian
  2. Power Magazine
  3. Wikipedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)