Ahmadiyah merupakan sebuah gerakan Islam yang bermula di Punjab, India semasa India masih lagi salah sebuah koloni British. Dimulakan oleh seorang individu Muslim bernama Mirza Ghulam Ahmad, nama gerakan Ahmadiya diambil daripada nama timangan Rasulullah saw. yang kerap kali digelarkan 'Ahmad.'
Pengikutnya digelarkan dengan nama gelaran 'Ahmadi' memegang kepercayaan yang boleh dikatakan berlandaskan amalan Islam namun menyimpang jauh dalam beberapa bahagian. Persoalannya, adakah Ahmadiya itu perlu diambil sebagai satu cabang atau mazhab lain dalam Islam atau sebenarnya satu agama lain, yang tidak boleh disamakan dengan Islam?
BESARKAN TEKS A- A+
Siapa Mirza Ghulam Ahmad?
Mirza Ghulam Ahmad adalah individu pengasas gerakan Ahmadiya yang disanjungi pengikut ajaran beliau. Beliau dikatakan seorang ulama terkenal pada zamannya, mempunyai ilmu yang cukup mendalam berkat lahir dalam sebuah keluarga yang dikenali alim perwatakan mereka.
MIrza dilahirkan pada 13 Februari 1835 di Qadian, Punjab. Sejak kecil beliau sudah belajar bahasa Arab serta diajarkan ayat-ayat Quran dan bahasa Parsi sehinggalah meningkat remaja. Zaman mudanya dipenuhi dengan aktiviti berdebat pendakwah-pendakwah Kristian yang dibawa masuk ke India oleh British, dalam menentukan kebenaran agama masing-masing.
Sejak kematian ayahnya ketika beliau berusia 40 tahun, Mirza mendakwa Tuhan mula berkomunikasi dengan beliau - memberikan petunjuk.
Pada tahun 1886, Mirza dicabar oleh seorang pemimpin gerakan reformasi Arya Samaj beragama Hindu dalam menentukan kebenaran tentang agama yang dipegangnya. Bagi mendapatkan petunjuk, Mirza mengurungkan dirinya keseorangan berdoa kepada Allah swt. ditemani tiga orang pengikutnya yang mengawasi keselamatan beliau selama 40 hari.
Memulakan bay'ah bersama pengikutnya
Selepas melalui pengalaman bersendirian selama 40 hari, Mirza berkata Tuhan sudah memberikan petunjuk hala tuju yang perlu diambilnya. Mirza juga mula mengakui dirinya sebagai seorang Nabi bertanggungjawab meneruskan usaha Rasulullah saw. serta dilantik sebagai Imam Mahdi, semua direkodkan dalam karyanya yang berjudul Barahin-e-Ahmadiya.
Beliau juga mendakwa sudah mengetahui kisah sebenar tentang apa yang berlaku kepada Nabi Isa as/Jesus selepas digantung apabila mengumumkan yang Nabi Isa sebenarnya berjaya diselamatkan, berpindah ke Kashmir bagi menyelamatkan diri dan meninggal dunia tidak lama selepas itu.
Konsep Imam Mahdi yang dibawakan beliau juga berbeza kerana katanya Imam Mahdi yang sebenar yakni dirinya sendiri , adalah seorang yang akan menegakkan Islam menggunakan minda dan pemikiran - bukannya menerusi konsep peperangan atau penaklukan dunia seperti yang dipegang masyarakat Islam lain.
Berikutan pengakuan Mirza yang dia sudah dilantik sebagai 'individu yang bakal mereformasikan ajaran Islam' di seluruh dunia, upacara mengangkat sumpah kesetiaan atau bay'ah pertama kumpulan itu diadakan pada tahun 1888, di Ludhiana, Punjab.
Lafaz bay'ah di kalangan pengikut Ahmadiyya terdiri daripada lafaz kalimah syahadah, lafaz ikrar bertaubat serta janji untuk mengikut 10 arahan yang diwujudkan oleh Mirza Ghulam Ahmad, sebagai panduan untuk pengikutnya.
10 arahan yang disebutkan adalah
1. Larangan menyekutukan Tuhan
2. Larangan melakukan dosa
3. Kewajipan menunaikan solat
4. Larangan menyakiti makhluk Allah dengan lisan atau fizikal
5. Percaya dengan Tuhan dalam apa jua keadaan,
6. Larangan mengikut sebarang budaya atau amalan bukan berlandaskan Islam
7. Larangan untuk berbangga diri
8. Kewajipan meletakkan Islam sebagai perkara paling penting dalam hidup berbanding kesemua perkara lain termasuklah nyawa, harta benda, maruah, anak-anak dan keluarga
9. Wajib mengabdikan diri kepada Tuhan semata-mata
10. Larangan mengkhianati persaudaraan yang termateri bersama saudara lain yang memegang lafaz ikrar ini
Ekoran daripada langkah berani ini, ajaran Ahmadiyyah yang diketuai Mirza ini mendapat tentangan ulama-ulama di India. Walaupun begitu, Mirza serta pengikutnya mendapat perlindungan kerajaan British ketika itu.
Atas tindakan menyimpang itu, wujud dakwaan Mirza sebenarnya adalah ejen British yang diletakkan bagi melemahkan pengaruh Islam di India namun tuduhan itu dinafikan beliau serta pengikutnya yang setia.
Hujah yang kerap mereka gunakan dalam mempertahankan keIslaman mereka - Mirza sendiri pernah menjemput Permaisuri Victoria memeluk Islam dan Mirza adalah individu yang bertanggungjawab melemahkan gerakan penyebaran Kristian di kawasan mereka.
Apakah status sebenar Ahmadiyya?
Ahmadiyya di negara kita lebih terkenal dengan gelaran ajaran Qadiyani, yang merujuk kepada kawasan kelahiran Mirza Ghulam Ahmad iaitu Qadian. Ajaran itu difatwakan sesat pada 24 September 1998, kerana menyalahi ajaran Islam yang sebenar dengan majoriti ulama' Islam serata dunia menganggap pengikut ajaran ini sebahagian daripada orang kafir.
Semua pengikut Qadiani diwartakan sebagai murtad dan serentak dengan pengeluaran fatwa itu, beberapa bahan bacaan yang berpaksikan ajaran ini diharamkan daripada jualan atau pemilikan individu-individu di negara kita.
Antara penerbitan yang diharamkan adalah 'Invitation to Ahmadiyah' hasil karya Hazrat Hj. Mirza Bashir, Khalifah kedua ajaran Ahmadiyya, 'Alam Sebagai Saksi' karangan Mohamad Zaid bin Hasan serta 'Penawar Racun Fitnah Terhadap Ahamadiyyah' tulisan Pengurusan Besar Jemaah Ahmadiyyah.
Walaupun difatwakan sebagai kafir, ada juga pendapat mengatakan ajaran Ahmadiyyah sepatutnya diterima sebagai sebahagian daripada ajaran Islam, berikutan kewajipan mereka yang masih selari dengan tuntutan Islam. Tidak ada bezanya cara mereka bersolat lima kali sehari, puasa pada bulan Ramadan dan urusan haji di tanah suci masih lagi mengamalkan kaedah yang sama.
Secara asasnya, pengikut ajaran ini tetap wajib melakukan kesemua rukun Islam seta mempercayai rukun Iman dengan sempurna. Selain itu, Al-Quran tetap menjadi kitab suci bagi seluruh pengikut Ahmadiyyah walaupun mereka mempunyai sebuah lagi kitab yang dinamakan 'Tadhkirah.'
Bagaimanapun bagi pengikut Ahmadiyyah, kitab tersebut bukanlah kitab suci tetapi dianggap hanya sebagai sebuah buku hasil tulisan Mirza Ghulam Ahmad yang mengandungi apa yang ingin disampaikan sahaja.
Qadiani bukan agama Islam?
Menurut keputusan mahkamah yang diumumkan pada 6 Julai 2018, jelaslah dan bertepatan sekali ajaran Ahmadiyyah atau Qadiani di negara tidak seharusnya dipandang sebagai sebahagian ajaran Islam, walaupun pengikut-pengikut ajaran ini percaya yang mereka adalah orang Islam.
Berdasarkan fatwa yang telah digazetkan serta pandangan pihak mahkamah tinggi dalam menentukan status sebenar ajaran ini di negara kita, tidak perlu lagi kita menganggap pengikut ajaran Qadiani ini sebagai seorang Muslim namun seharusnya dilihat sebagai golongan murtad yang telah pun jatuh kafir atas terpesongnya akidah mereka.
Keputusan yang dibuat walaupun mampu menimbulkan kontroversi serta kritikan, harus diterima dengan hati terbuka sama seperti bagaimana umat Islam di Malaysia dapat menerima ajaran Kristian, Hindu, Buddha dan pelbagai lagi. Sseperti itu jugalah kita harus melihat kedudukan ajaran Qadiani di Malaysia.
Memang amat sukar menerima keputusan ini tetapi apa lagi boleh dilakukan.
Apa yang jelas - mempercayai MIrza Ghulam Ahmad adalah Nabi yang menerima wahyu, Imam Mahadi sebenar, penjelmaan semula Isa al-Masih dan mempunyai mukjizat sendiri membuktikan Qadiani adalah satu lagi agama baru yang langsung tidak berkait dengan Islam, walaupun namanya cuba dikaitkan dengan Rasulullah saw.
Ini kerana sudah terang dan nyata, ajaran Qadiani atau Ahmadiyah mengamalkan kepercayaan yang bercanggah dengan Islam serta perintah-perintah Allah swt.