Tidak seperti kebanyakan istana-istana Barat seperti yang terdapat di seluruh Eropah, istana-istana di Jepun tidak didirikan daripada batu batan seperti sebuah kubu atau benteng.

Walaupun ia kelihatan berbeza, namun istana di Jepun dibina untuk tujuan yang sama iaitu sebagai kediaman mewah yang mempunyai sistem perlindungan yang baik bagi keluarga diraja yang memerintah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Istana Jepun yang pertama dibangunkan ialah pada abad ke-15 ketika negara itu sedang melalui salah satu tempoh huru-hara yang jarang berlaku. Pada abad-abad yang berikutnya, istana-istana telah dibina sama ada sebagai pusat pentadbiran atau hanya sebagai kediaman pemerintah.

istana himeji

Istana Himeji

Ketika waktu kemuncak trend ini, dianggarkan lebih daripada 5,000 buah istana telah dibina di seluruh negara 'Matahari Terbit' itu. Akan tetapi, hanya beberapa puluh buah istana sahaja yang masih wujud dan terselamat pada hari ini. 

Secara tradisionalnya, istana Jepun dibina menggunakan campuran batu dan kayu serta memiliki ciri-ciri seni bina yang menarik. Salah satu istana Jepun paling mengagumkan pernah dibina ialah Istana Himeji yang merupakan salah satu tapak warisan dunia dan istana paling kerap dikunjungi.

Terletak di Kobe, istana ini terkenal dengan menara putihnya yang indah. Seluruh kompleks istana itu terletak di atas bukit dan terdiri daripada 83 struktur yang berbeza.

lantai burung bulbul 2

Kebanyakan struktur itu disambungkan oleh koridor. Bangunan utamanya setinggi enam tingkat itu boleh dilihat dari hampir semua lokasi di kota Himeji dan kawasan sekitarnya.

Walaupun istana lain mungkin kelihatan kurang hebat berbanding Istana Himeji, itu tidak bermakna mereka tidak mempunyai ciri-ciri seni bina yang asli.

Salah satu istana yang unik ialah Istana Nijo yang terletak ibu kota lama Jepun, Kyoto. Istana ini terkenal kerana memiliki contoh terbaik seni bina "Lantai Burung Bulbul" Jepun, yang direka khas untuk menangkap tetamu yang tidak diundang di dalam kawasan istana.

istana nijo

Istana Nijo

Sistem lantai asli ini berfungsi sebagai penggera automatik yang merupakan ciptaan terkini pada zaman Edo di Jepun pada awal abad ke-17 hingga akhir tahun 1860-an.

Pada zaman ini, Jepun diperintah oleh sistem separa feudal di mana ketua wilayah yang dikenali sebagai Daimyo mempunyai keistimewaan untuk mentadbir dan mengawal kawasan yang mereka miliki. Mereka juga mempunyai tentera swasta untuk tujuan perlindungan.

Sebagai orang yang mempunyai kuasa, Daimyo juga mempunyai ramai musuh. Pada zaman itu di Jepun, Ninja sering digunakan untuk melakukan kerja sebagai pembunuh upahan.

uguisubari 2

Ninja Jepun sememangnya terkenal dengan kehebatan mereka kerana dapat menyerang mana-mana sasaran dan menghilangkan diri tanpa dikesan. Oleh itu, pelbagai kaedah digunakan bagi tujuan mengelak daripada diserang mana-mana Ninja. Salah satunya penciptaan Lantai Burung Bulbul.

Dibuat oleh tukang kayu dan pengukir terhebat dari seluruh negara, Lantai Burung Bulbul atau "Uguisu-bari" yang bermaksud 'pengawal burung berkicau' direka bentuk sedemikian rupa untuk menghasilkan bunyi yang mirip dengan kicauan burung apabila seseorang berjalan di atasnya.

Dengan hanya sedikit pijakan sahaja, papan lantai itu akan membengkok dan cukup untuk menyebabkan kuku lantai bergesel dengan penyepit yang dipasang di bawahnya. Ia akan menghasilkan bunyi yang boleh didengar dengan jelas.

nightingale floor

Walaupun bunyi berkeriut seakan bunyi burung itu tidaklah begitu kuat, tetapi ia cukup untuk memecahkan keheningan malam yang sunyi.

Bunyi yang dihasilkan itu boleh menjadi amaran kepada mana-mana pengawal yang bertugas tentang kehadiran penceroboh dan akan memaksa Ninja atau pencuri membatalkan sahaja niat mereka.

Semasa zaman Edo, Istana Nijo merupakan salah satu tempat paling berkuasa di Jepun. Ia sering dikunjungi oleh ramai Daimyo serta komander tentera terkemuka yang dikenali sebagai Shogun.

lantai burung bulbul 3

Untuk memastikan semua tetamu berada dalam keadaan selamat, Lantai Burung Bulbul ini dipasang di beberapa tempat di dalam istana. Beberapa bilik tetamu kenamaan juga dipasang dengan lantai ini supaya memudahkan pengawal peribadi mereka mendengar sebarang pencerobohan dari tempat kawalan mereka.

Kini, Lantai Burung Bulbul ini masih lagi menghasilkan bunyi tetapi hanya sebagai tarikan bagi para pelancong dan pengunjung istana sahaja.

Memandangkan lantai yang unik ini merupakan kaedah yang baik untuk membantu pengawal menentukan kedudukan sebenar mana-mana penceroboh, ia kemudian telah dipasang juga di beberapa kuil yang berharga.

Selain Istana Nijo, contoh Lantai Burung Bulbul juga boleh dilihat di Kuil Buddha Shingon Daikaku-Ji di Kyoto dan Kuil Chion-in di Higashiyama-Ki.

Rujukan:

1. Open Culture

2. Zen Garden

3. Sora News 24




Hakcipta iluminasi.com (2017)