Gambar ahli politik bermain bola hanya sekadar hiasan

Sukan bola sepak adalah sukan nombor satu dalam dunia. Pendapat ini tidak boleh dinafikan lagi, disebabkan oleh populariti sukan ini di kalangan ahli masyarakat dunia. Termasuklah kita di Malaysia.

Ramai di kalangan anak muda kita yang berkemahiran bermain bola sepak memasang impian tinggi untuk sekurang-kurangnya dapat bermain dalam peringkat teratas liga tempatan. Namun bukan semua orang mempunyai bakat bermain bola sepak.

Apa pula pilihan yang ada bagi seorang individu yang layak dikategorikan kurang kemahiran tetapi tetap meminati industri sukan popular ini? Berikut adalah lima karier dalam sukan bola sepak yang boleh anda ceburi sekiranya anda seorang kaki bangku.

1. Jurulatih

carlos cuesta jurulatih muda

Keperluan untuk menjadi seorang jurulatih dalam sebuah kelab atau persatuan bola sepak, sudah terlalu besar skop kejurulatihannya serta melibatkan banyak aspek berbeza yang tidak hanya terhad kepada kemahiran bola sepak semata-mata.

Kelab-kelab besar di Eropah misalnya, sudah mempunyai jurulatih khusus yang hanya memfokuskan latihan mereka hanya kepada taktik dan strategi.

Ada juga kelab yang mempunyai jurulatih khas yang tugasnya menyelia pemain secara satu dengan satu di luar padang, bagi menjaga kebajikan, mental dan emosi pemain agar dapat fokus kepada tugas utama mereka.

Salah seorang jurulatih muda yang disebut sebagai jurulatih berpotensi, adalah Carlos Cuesta yang kini bersama kelab Arsenal di England. Seorang warga Sepanyol, dia langsung tidak pernah bermain sebagai pemain profesional tetapi memilih untuk mengambil lesen kejurulatihan EUFA Pro bertaraf diploma, memulakannya pada usia 18 tahun.

Cuesta memohon jawatan dengan kelab Athletico Madrid untuk memenuhi keperluan wajib kursus yang telah ditetapkan, sehingga dilantik menjadi jurulatih pasukan bawah 13 tahun kelab itu.

Dia berpindah ke kelab Itali, bersama kelab Juventus pada usia 22 tahun dan seterusnya menjadi 'jurulatih pembangunan individu' bersama Arsenal pada usia 25 tahun. Umur dia ketika ini baru 27 tahun. Ada rasa terinspirasi tak?

2. Pengadil

nazmi nasaruddin 1200x799

Perbincangan berkenaan status pekerjaan pengadil di negara kita khususnya, masih terus hangat - kerana di negara kita, majoriti pengadil perlawanan bola sepak yang menghakimi perlawanan di stadium bukanlah berstatus profesional.

Mereka sebenarnya masih mempunyai tugasan dan tanggungjawab lain yang lebih utama, berbanding menjadi pengadil atas padang.

Situasi ini mengakibatkan ada pihak berpendapat perlu berlaku perubahan diperkenalkan agar hanya pengadil bertaraf profesional di benarkan bertugas dalam semua perlawanan liga kita, bagi memastikan mutu pengadilan yang lebih sekata dan berkualiti dapat ditrampilkan.

Kelayakan untuk menjadi seorang pengadil tidak memerlukan seseorang mahir bola sepak. Dia perlu mahir tentang selok-belok peraturan permainan dan melalui kursus lima peringkat yang telah ditetapkan oleh FIFA, bermula daripada status Pembantu Pengadil Kelas III, Pengadil Kelas III, Kelas II, Kelas I dan seterusnya Pengadil Bertaraf FIFA.

Seseorang itu haruslah berada dalam lingkungan had umur 25 tahun minima dan 35 tahun maksima, bagi melayakkan dia bergelar Pengadil Bertaraf FIFA. Senang cerita, kena mula awallah kalau minat nak jadi pengadil.

Sistem Pengadil Profesional Malaysia pun baru saja ditubuhkan pada bulan Mac tahun 2022, jadi kepada mereka yang berminat - mana tahu ini jalan kerjaya terbaik anda?

3. Pegawai media

dave 2

Jurufoto rasmi kelab Liverpool bersama seorang peminat

Bidang pengurusan media melibatkan sesebuah kelab bola sepak adalah besar skop tugasannya, jadi ada banyak jawatan akan dibuka kelab bergantung kepada keperluan mereka.

Pegawai media sesebuah pasukan memerlukan seseorang yang berkemahiran dalam bidang penulisan untuk melapor atau mengemaskini semua berita, maklumat dan informasi berkenaan kelab atau pasukan.

Biasanya sebuah jabatan media akan dibentuk menggunakan tenaga kerja ramai lagi individu lain dengan skop kerja masing-masing.

Jurufoto dan juruvideo rasmi pasukan adalah orang yang setiap masa ke sana ke sini memetik gambar (menggunakan kamera optik sebenar bukan dengan telefon pintar!) bagi merakamkan saat-saat berharga yang dialami pemain dan pengurusan kelab.

Ada juga kelab mempunyai jabatan atau pasukan khas menguruskan kesemua akaun media sosial berkait kelab itu, bagi memastikan maklumat bukan sahaja sampai dengan tepat tetapi perkongsian itu juga mampu tular di kalangan netizen.

4. Pakar pemakanan dan diet

pakar pemakanan diet sains sukan

Anak panah menunjukkan pakar pemakanan bagi JDT

Kami tidak merasakan banyak kelab atau persatuan di Malaysia menggunakan khidmat pakar pemakanan dan diet, dalam memastikan kesihatan setiap pemain berada di tahap optimum.

Oleh kerana itulah apabila kelab Johor Darul Takzim melaporkan kejayaan mereka mendapatkan khidmat pakar pemakanan dari Argentina, Vanesa Soledad Rotondi yang pernah berkhidmat bersama kelab gergasi Boca Juniors - perlantikan beliau mendapat reaksi positif daripada banyak pihak.

Ini kerana jelas bidang sains yang diaplikasikan ke dalam sukan sudah menjadi salah satu cabang yang penting, dalam menyelia keadaan tubuh setiap pemain.

Seorang pemain profesional zaman sekarang tak kiralah dalam sukan apa sekalipun, seharusnya bersedia mengorbankan diet makanan dan minuman kegemaran mereka untuk mendapatkan kondisi badan terbaik.

Dengan kehadiran seorang pakar pemakanan yang bertugas khusus untuk sebuah kelab, mudah bagi pengurusan kelab merekod dan menyelia keadaan pemain serta merekabentuk diet pemakanan yang khas, dalam membantu memaksimakan prestasi mereka.

5. Ejen pemain

salesman

Walaupun ramai kurang menggemari pengaruh ejen dalam urusan kontrak pemain dengan kelab, kehadiran ejen hendak tak hendak sudah menjadi satu perkara wajib yang diterima. Khasnya dalam memastikan kehendak pemain semasa rundingan turut terjaga dan kontrak tidak hanya memihak kepada kelab semata-mata.

iklan

Namun kita di Malaysia kurang kedengaran kisah-kisah berkenaan ejen pemain sebegini, walaupun realitinya ramai pemain sudah memiliki ejen sendiri.

Ini kerana berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia atau FAM, jumlah ejen pemain yang berdaftar secara rasmi dengan FAM adalah amat rendah sehingga dikritik pengurusan FAM.

Bagaimanapun kritikan itu dijawab sesetengah agensi, yang menyifatkan yuran pendaftaran dikenakan FAM adalah terlalu tinggi jika dibandingkan dengan majoriti negara Eropah lain.

Apa yang perlu kita sedari, industri ejen pemain ini sebenarnya semakin lama semakin berkembang. Rata-rata pemain kita masih lebih gemar menggunakan kaedah lama melakukan perbincangan terus dengan kelab atau pemain, bagi mengabsahkan sesebuah kontrak - tetapi trendnya sudah semakin berubah.

Di masa depan, kami yakin lebih ramai pemain akan sedar keperluan untuk mereka mempunyai ejen sendiri dan ini membuka lebih banyak peluang kepada orang awam, untuk mula menceburi kursus-kursus pelesenan sebagai ejen khidmat sukan.

Janganlah terkejut pula seandainya 10 tahun akan datang, akan ada rakan lama anda yang bukan setakat berjaya jadi ejen penapis air, takaful dan hartanah - bahkan dia turut sama berjaya mewakili ramai pemain kebangsaan negara kita juga.




Hakcipta iluminasi.com (2017)