Semua orang yang mencari rezeki bekerja sama ada secara makan gaji atau membuka perniagaan, bagi mendapatkan sumber pendapatan.
Bagaimanapun bukan semua orang di kalangan kita ini suka dengan apa yang kita lakukan. Tetapi kita tahu disebabkan ada keperluan, kita cekal melakukannya walaupun apa yang kita lakukan bukanlah apa yang kita impikan. Begitulah juga dengan sesetengah pemain bola sepak.
BESARKAN TEKS A- A+
Ada di kalangan mereka yang melihat bola sepak hanya sebagai satu kerja yang mampu mereka lakukan dengan baik, sehingga mencapai tahap tertinggi boleh dicapai karier mereka. Rasa suka, sayang dan cinta kepada sukan itu? Tak semestinya ada.
1. Christian Vieri
Nama Christian Vieri merupakan antara nama yang digeruni pada penghujung era deakd 90-an di Itali. Beraksi sebagai penyerang kepada kelab Lazio dan juga pasukan kebangsaan Itali, cintanya kepada sukan sebenarnya bukanlah kepada bola sepak - sebaliknya dia lebih meminati sukan kriket.
Walaupun lahir di Itali, Vieri mengikuti keluarganya berpindah ke Australia. Ketika zaman persekolahan, dia lebih banyak menghabiskan masa bermain kriket.
Minatnya terhadap sukan itu didorong ketika zaman tersebut, sehinggakan atlet sukan paling diminatinya bukanlah pemain bola sepak sebaliknya Allan Border, pemain legenda sukan kriket Australia.
Ketika masih bermain dengan kelab Inter Milan di Itali, Vieri mengejutkan semua pihak selepas mendakwa dia sanggup menukar kerjaya bola sepaknya untuk bermain kriket secara profesional seandainya ada kontrak ditawarkan.
Selepas bersara, Vieri dikatakan masih menghabiskan masa sekurang-kurangnya 3 jam sehari, menonton perlawanan-perlawanan kriket klasik di televisyen.
2. Gareth Bale
Seorang pemain bertaraf dunia yang pernah memenangi kejuaraan Liga Sepanyol, Piala Liga-Liga Eropah beberapa kali, menjadi tunjang pasukan kebangsaan serta membawa negaranya layak ke Piala Dunia pasti seorang yang sayangkan bola sepak kan? Tidak.
Gareth Bale lebih berminat dengan golf. Perbezaan ini dikatakan menjadi antara punca utama kenapa hubungannya dengan pemain-pemain lain dalam pasukan Real Madrid renggang. Berbeza dengan rakan-rakannya, Bale melihat bola sepak hanya sebagai kerja dan enggan 'menyentuhnya' selepas semua urusan bola sepak selesai.
Bagaimanapun tanggungjawabnya sebagai pengemudi utama pasukan kebangsaan Wales tetap menjadi antara tugasan yang diambil serius Bale - di mana Wales akhirnya layak bersaing dalam peringkat akhir Piala Dunia yang bakal berlangsung tahun 2022 selepas kali terakhir layak dalam tahun 1958.
Menyertai kelab golf West Byfleet Golf Club yang terletak di Surrey, England - kadar handicap Bale ketika ini berada di antara 4 ke 6, meletakkan beliau di kalangan pemain amatur terbaik dunia tetapi belum cukup baik untuk menyaingi pemain bertaraf profesional.
3. Benoit Assou-Ekkotto
Seorang pemain pertahanan yang mencipta nama di Liga Perdana Inggeris bersama kelab Tottenham Hotspurs, Benoit Assou-Ekkotto mencipta kontroversi selepas mengeluarkan kenyataan semua yang dilakukannya dalam sukan bola sepak, hanyalah untuk mencari pendapatan.
Keputusannya berpindah ke England mendapat kritikan presiden kelab lamanya, yang menyifatkan Assou-Ekkotto melakukannya hanya demi gaji lebih tinggi. Reaksi Assou-Ekkotto selepas mendengar kecaman itu; "tunjuk pada saya pemain mana yang berpindah bukan kerana gaji lebih baik?"
Ekoran pandangan sebegitu, corak hidup Assou-Ekkotto di luar bidang bola sepak juga berbeza.Beliau tidak bersosial dengan rakan sepasukan, tidak percaya ada keperluan untuk dia berkawan dengan rakan sekelabnya.
Layak bermain dengan pasukan kebangsaan Cameroon sejak tahun 2009 sehingga 2015 dan memegang 24 cap antarabangsa, Assou-Ekkotto mengakui dia tidak minat bola dan hanya melakukannya kerana enggan kerja makan gaji dalam sebuah pejabat.
Tetapi dia melakukan kerja bukan pilihannya dengan bersungguh-sungguh sehingga layak ke peringkat teratas, semuanya untuk duit semata-mata.
4. Dani Osvaldo
Seorang pemain yang terkenal dengan kekuatannya serta masalah disiplin atas padang dan di luar padang, karier Pablo Daniel Osvaldo berakhir selepas dia memilih untuk bersara pada tahun 2016, ekoran pergaduhannya dengan jurulatih kelab Argentina Boca Juniors - selepas Osvaldo ditangkap merokok.
Beberapa bulan ketiadaan kelab, akhirnya Osvaldo menamatkan karier bola sepak yang membawa beliau dari Argentina ke Sepanyol, Itali bersama kelab Roma, Inter Milan dan Juventus serta satu musim bersama kelab Southampton di England. Dalam tempoh sama, dia melakukan 14 penampilan bersama pasukan kebangsaan Itali menjaringkan 4 gol.
Dia bersara awal pada usia 30 tahun untuk bermain muzik, minatnya yang utama walaupun dia mempunyai rekod cukup baik sebagai seorang penyerang menjaringkan 99 gol daripada 320 perlawanan. Namun rekodnya dalam bergaduh dengan rakan sepasukan, jurulatih dan pengurusan kelab juga agak 'baik.'
Kini menumpukan sepenuh perhatian sebagai vokalis utama kugirannya di Bercelona, Sepanyol, kumpulan muzik itu telah pun melancarkan album sulung mereka pada tahun 2017 dan aktif melakukan persembahan di serata Sepanyol.
5. Gabriel Batistuta
Memang aneh untuk menceritakan berkenaan seorang penyerang legenda berbakat dan ikonik seperti Gabriel Batistuta - dan mengetahui beliau sebenarnya tidak langsung meminati sukan bola sepak. Dia melihat bola sepak sebagai kerja dan dia sebagai seorang yang profesional akan melakukan yang terbaik dalam kerjayanya.
Walaupun demikian rekod dan statistiknya cukup mengagumkan. Sebagai penyerang utama kepada kelab di Argentina dan Itali di mana dia mencipta nama, Batistuta mempunyai rekod jaringan 296 gol daripada 551 penampilan. Untuk pasukan kebangsaan Argentina, rekodnya lebih hebat - 56 gol dalam 78 perlawanan.
Dia yang pada awalnya cuba bermain bola keranjang ekoran ketinggian yang ada, secara suka-suka menyertai ujian bola sepak yang disaksikan jurulatih legenda Argentina, Marcelo Bielsa. Selepas menarik minat mereka yang hadir, karier beliau dalam bola sepak mula diasah.
Cinta sebenar Batistuta dalam sukan lebih terarah kepada sukan polo berkuda, kerana hobi menunggang telah pun diasuh dalam dirinya sejak kecil. Dia mula bermain sukan tersebut dan akhirnya menjadi sesuatu yang serius dalam kariernya.
Berkat pendapatan yang diperolehi sebagai pemain bola sepak, Batistuta kini memiliki pasukan polonya sendiri di Argentina dan kekal aktif bermain dalam kejohanan-kejohanan yang dianjurkan di sana.