Oleh pada 25 Jun 2018 kategori

Pada zaman sekarang, memang sukar untuk kita menonton mana-mana perlawanan bola sepak bertaraf amatur atau professional, tanpa pengadil melayangkan kad kuning atau merah dalam mengawal disiplin perlawanan.

Realitinya, satu masa dulu perlawanan bola sepak memang tidak mempunyai sistem 'hukuman' yang teratur, menyukarkan pengadil mengawal permainan dengan lebih baik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mari kita belajar serba sedikit berkenaan sejarah pengenalan undang-undang ini dalam permainan bola sepak. Untuk itu, kita perlu terlebih dahulu mengenali kisah seorang lelaki bernama Ken Aston.

Kisah pengadil bernama Ken Aston

ken aston mengajar kanak kanak ilmu pengadilan

Kenneth George Aston atau lebih mesra dipanggil Ken Aston adalah seorang lelaki yang lahir pada 1 September 1915 di Colchester, Essex. Seorang yang berpendidikan tahap kolej, Aston mendapat kelulusan untuk mengadili perlawanan pada tahun 1936, ketika dia berusia 16 tahun, berkhidmat panjang sebagai penjaga garisan dalam liga bola sepak England. Dia menyertai perang dunia kedua dan menghabiskan khidmatnya dengan pangkat Kolonel Lieutenan.

Kembalinya dia ke England, dia dilantik menjadi seorang pengadil penuh sambil mula menceburi bidang pendidikan mengajar di sekolah rendah di Essex sambil mula diberikan peluang mengadili perlawanan-perlawanan peringkat senior liga bola sepak mereka. Melihat potensi untuk pergi lebih jauh dalam karier pengadil, Aston mula lebih serius dalam kerjayanya.

Dia mula ditugaskan mengendalikan kursus-kursus pengadilan serta merangka satu silibus pendidikan bagi mengajar ilmu-ilmu yang diperlukan kepada bakal pengadil. Namanya pada era 60-an mula terkenal sebagai antara pengadil terbaik bola sepak serta menjadi rujukan pengadil-pengadil dalam menyelesaikan kekusutan yang dihadapi.

Pertarungan Santiago

ken aston beraksi dalam perlawanan chile itali

Berikutan namanya yang semakin terkenal, FIFA mula melantik beliau menjadi pengadil bagi perlawanan bertaraf Piala Dunia. Aston diberikan penghormatan mengendalikan perlawanan pembukaan kejohanan Piala Dunia 1962 di Chile, antara pasukan tuan rumah menentang Switzerland.

Prestasi yang baik di tunjukkan dalam perlawanan itu meyakinkan FIFA untuk melantik beliau sebagai pengadil dalam perlawanan yang ditabalkan sebagai 'Battle of Santiago' atau Pertarungan Santiago antara Chile dengan Itali. Timbul kontroversi sebelum perlawanan bermula apabila dua orang jurnalis Itali menyifatkan bandar Santiago, tempat di mana perlawanan akan berlangsung adalah bandar yang tidak berkualiti daripada segala aspek.

Selain itu kritikan, kedua-dua jurnalis turut sama mengkritik rakyat Chile yang dikatakan buta huruf, tidak cukup makan, miskin serta lebih banyak menghabiskan masa dalam keadaan mabuk. Media Chile membalas balik mengkritik era pemerintahan Benito Mussolini serta perangai-perangai stereotaip orang Itali zaman tersebut.

battle of santiago ken aston

Ekoran suasana yang sudah panas sebelum sepak mula lagi, FIFA terpaksa mengambil langkah berhati-hati dalam mengawal apa yang berlaku di atas padang dengan Aston diminta mengadili perlawanan itu sebaik mungkin.

Seperti sudah dijangka, perlawanan itu bermula dengan kasar dan terjahan kasar pertama berlaku 12 saat selepas sepak mula. Pergaduhan pemain Chile, Leonel Sanchez menumbuk pemain Itali, Mario David membawa kepada situasi tidak terkawal dengan Aston gagal mengarahkan pemain yang melakukan kekasaran melampau keluar padang. Polis terpaksa menyuraikan pergelutan yang berlaku sebanyak 3 kali namun perlawanan itu berjaya ditamatkan dengan Chile menang 2-0.

Aston serik melihat apa yang berlaku dan selepas perlawanan akhir Piala FA England tahun 1963, Aston mengumumkan persaraannya sebagai pengadil akibat kecederaan achilles.

Ken Aston menjadi ketua pengadil

Tiga tahun berikutnya, FIFA menjemput Aston menyertai persatuan pengadil, seterusnya kembali berkhidmat untuk menyelia semua pengadil yang mengadili kejohanan Piala Dunia 1966. Kontroversi timbul melibatkan satu perlawanan peringkat suku akhir apabila England bertemu dengan Argentina.

Seorang pemain Argentina, Antonio Rattin diperintahkan keluar padang oleh pengadil perlawanan dari Jerman, Rudolf Kreitlein namun Rattin yang melawan tidak mahu menurut arahan pengadil kerana tidak memahami apa yang perlu dilakukan. Setelah menyedari dirinya diperintah keluar padang, Aston sendiri sebagai ketua pengadil terpaksa turun menenteramkan Rattin daripada terus melakukan kekacauan.

Tamat perlawanan itu, kekeliruan mula timbul selepas suratkhabar melaporkan pengadil sebenarnya sudah pun mengeluarkan amaran pada Bobby dan Jack Charlton. Dua pemain England itu menghubungi Aston sebagai pengerusi pengadil kejohanan tersebut bagi mengesahkan dakwaan media itu, kerana mereka tidak mengetahui tentang hal itu semasa perlawanan berlangsung.

Ini menyebabkan Aston terpaksa mencari jalan keluar bagaimana hendak mengelakkan masalah-masalah ini daripada terus berlaku di masa akan datang, apatah pula bola sepak semakin lama menjadi semakin pantas dan pemain-pemain pula semakin lama semakin berani.

Semasa memandu sambil memikirkan langkah seterusnya, Aston menyedari bagaimana lampu isyarat digunakan bagi mengawal lalu lintas dengan lebih mudah. Penggunaan warna kuning sebagai tanda amaran sementara warna merah sebagai tanda berhenti jauh lebih mudah difahami semua orang, dengan masalah bahasa yang dihadapi seperti kes Antonio Rattin dapat dielakkan.

Penggunaan kad kuning dan merah mula diperkenalkan

david beckham dibuang padang pengadil muka selengda

Tibanya Aston di rumah, Aston menceritakan masalah yang dihadapinya kepada isteri beliau Hilda serta idea untuk menerapkan warna sebagai tanda bagi memudahkan kerja pengadil di padang.

Hilda mengambil dua kad, satu kad berwarna kuning dan satu kad berwarna merah yang telah dipotong mengikut saiz poket baju pengadil yang ada di rumah mereka, kemudian memberikan dua kad tersebut pada Aston.

Aston menggunakan kedudukannya lalu membawa idea itu kepada FIFA. Cadangannya diterima pakai dan penggunaan kad kuning sebagai amaran terakhir dan kad merah untuk arahan keluar padang, mula diperkenalkan secara rasmi pada kejohanan Piala Dunia 1970 yang diadakan di Mexico. Pemain pertama yang mendapat kad kuning adalah Evgeni Lochev dari Soviet Union dalam perlawanan pembukaan menentang pasukan tuan rumah.

Semakin dimakan usia, Ken Aston meneruskan khidmatnya melatih pengadil di seluruh dunia dengan sumbangannya kepada bola sepak Amerika melayakkan dirinya dianugerahkan pingat MBE atau Member of the Order of the British Empire pada tahun 1997. Empat tahun kemudian, pada 23 Oktober 2001, Kenneth George Aston meninggal dunia pada usia 86 tahun meninggalkan kita dengan satu idea mudah yang mampu difahami sesiapa saja, tak kira usia, bahasa dan budaya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)