Anda adalah seorang yang anti individu 'flat earth'? Pernahkah anda membaca apa sebenarnya yang mereka percayai secara mendalam, sebelum mentertawakan pendapat mereka?

Pernahkah anda sekurang-kurangnya cuba memahami hujah dan logik di sebalik idea mereka yang bumi ini ada kemungkinan sebenarnya rata? Pasti tidak pernah kan. Janganlah begitu. Sesuatu pendapat itu sepatutnya diberikan perhatian sama rata kita, walau bagaimanapun karutnya pandangan itu berdasarkan pemahaman anda.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Oleh kerana itu, kami tuliskan artikel ringkas ini cuba menerangkan kepada anda apa sebenarnya kepercayaan yang dipegang individu bumi rata ini, supaya kita dapat lebih memahami pemikiran mereka.

1. "Bumi ini rata dan dikelilingi ais."

bumi dikelilingi dinding ais

Secara keseluruhannya, kita semua dah tahu ada yang percaya bumi ini rata. Tetapi apa pula penjelasan mereka dalam menerangkannya? Tahukah anda mereka percaya bumi ini bukan sekadar rata malahan dikelilingi oleh ais? Ais yang dikatakan berada di kutub utara dan kutub selatan itu sebenarnya menjadi dinding yang menghalang air laut daripada jatuh ke angkasa.

Mereka juga selalu dipersoalkan - sekiranya bumi ini rata, kenapa tak pernah ada orang sampai ke hujungnya? Apa jawapan mereka?

Anda pernah main permainan video Pac-Man? Bila anda melanggar sempadan dinding di sebelah kiri misalnya, anda akan muncul semula di bahagian sebelah kanan. Itu penjelasan mereka kenapa sehingga kini tak pernah ada individu pernah sampai ke hujung bumi. Teori itu mereka gelarkan dengan nama 'Infinite Earth' di mana bumi kita ini sebenarnya tidak ada penghujung.

2. "Aku tak nampak lengkungan bumi."

bumi tidak melengkung

Salah satu hujah atau persoalan yang popular, kerana dipopularkan oleh selebriti-selebriti terkenal seperti pemain bola keranjang terkenal Shaquille O'Neal, idea disebalik hujah ini kelihatan sangat logik - kenapa mata kita tidak dapat mengesan lengkungan horizon sekiranya bumi ini bulat?

Hujah ini turut sama diperkuatkan dengan 'bukti-bukti' di mana apabila seseorang berdiri pada kedudukan yang tinggi seperti semasa berada dalam kapal terbang atau di puncak gunung, kita hanya nampak garisan horizon yang rata - tidak melengkung.

3. "Matahari dan bulan mempunyai saiz yang sama."

visual bagaimana bulan dan matahari berpusing

Dengan mengambil kira kedudukan matahari dan bulan yang kelihatan terletak di atas bumi, individu yang memercayai bumi ini rata percaya matahari dan bulan sebenarnya mempunyai saiz yang serupa - dan yang lebih memeranjatkan, mereka percaya bahawa kedudukan kedua-duanya terletak hanya 4828km daripada permukaan bumi yang rata.

Bayangkan kipas siling dua bilah dengan matahari dan bulan adalah penghujung bilah, bumi digambarkan sebagai rata dengan paksi putaran matahari dan bulan pula dipercayai berada di kutub utara.

4. "Saya tidak merasa bumi berputar. Bumi sebenarnya statik!"

bumi rata

Salah satu hujah yang kerap disebutkan individu 'bumi rata' adalah berkenaan teori bagaimana kita manusia sepatutnya dapat merasai bumi ini sedang berputar. Ini kerana pada pandangan mereka, bumi yang berputar 1600km/j setiap masa sepatutnya akan menghasilkan impak yang dapat kita rasai. Ini juga menyokong teori mereka yang disebutkan dalam hujah nombor 3 di atas.

Mereka percaya bumi ini sebenarnya tidak berputar di atas paksinya malahan hanya statik. Oleh sebab itulah kita tidak merasai putarannya. Atas sebab yang sama jugalah semua objek yang ada pada permukaan bumi jatuh kembali ke tanah serta tidak boleh terapung melainkan ada daya yang menujahnya. Graviti tidak wujud kerana bumi ini rata, jadi semua objek akan jatuh kembali ke atas permukaan yang rata.

5. "Satelit hanyalah pembohongan!"

satelit bumi rata

Kami tak mahu ulas panjang tentang kepercayaan ini, jadi kami terjemahkan saja pandangan mereka tentang satelit;

"Walaupun kita boleh melihat satelit di atas ketika langit gelap, kami memegang pendapat bahawa semua itu hanyalah satelit palsu yang sengaja diletakkan, bagi membodohkan mereka yang percaya!"

6. "Langit? Langit adalah kurungan yang mengurung kita semua."

flat earth ada dome firmament

Yang terakhir, mengambil kira pengaruh daripada elemen-elemen agama orang zaman dahulu seperti orang Babylon, Sumeria, Mesir Purba dan Kristian lama - golongan 'flat earth' percaya bahawa bumi kita ini (yang rata) sebenarnya ditutupi oleh sebuah dom yang besar digelarkan sebagai 'firmament.'

Mengambil daripada kepercayaan berasaskan ajaran-ajaran yang terkandung dalam Bible, golongan 'flat earth' percaya bahawa di atas kita, di langit sana ada satu dom yang mempunyai bentuk fizikal keras dicipta oleh Tuhan untuk membahagikan di antara beberapa peringkat langit.

Di situlah bintang-bintang serta segala apa yang kita nampak di langit (yang semulajadi) ditempatkan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)