Oleh pada 08 Oct 2017 kategori

1. Marie Antoinette

Sehingga kini, Marie Antoinette Pemaisuri Raja Louis ke-14 masih lagi digelar sebagai ikon gaya hidup mewah dan penuh glamor. Masakan tidak, pesta dan kendurinya di istana sentiasa menjadi bualan warga Perancis.

Antoinette juga dikenali dengan dengan sifat boros beliau dalam membelanjakan dana negara untuk tujuan kenduri, berfoya-foya dan pesta yang melampaui batas. Ianya seakan menyemarakkan lagi gerakan tunjuk perasaan oleh kaum tani Perancis yang sedang dilanda kebuluran dan kelaparan. Kesempitan hidup golongan ini berpunca daripada desakan tuan tanah dan kaum feudal.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Setelah kehabisan dana negara, Raja Louis terpaksa mengenakan cukai pertanian yang membebankan kaum tani. Sementelah, isterinya boleh menempah pakaian dan membeli intan berlian tatkala ramai petani sedang mati kelaparan.

Pada 12 September 1792, ledakan Revolusi Perancis akhirnya berjaya menghapuskan sistem Raja. Wakil kaum tani dengan sebulat suara bersetuju supaya leher Permaisuri Marie Antoinette dipenggal pada 16 Oktober 1793.

2. Evita Peron

evita peron

Setelah tamatnya Perang Dunia Kedua di Amerika Latin, seorang "minah ranggi" dan "janda berhias" bernama Evita Peron akhirnya menjadi isteri kedua Kolonel Juan Peron. Jangan terkejut jika dikatakan yang beliau pandai menyanyi dan berlakon. Oleh sebab kelahirannya tidak sah taraf, Evita terpaksa mengubah tarikh lahirnya menjadi 3 tahun lebih muda bagi tujuan manipulasi.

Akhirnya Juan Peron menjadi presiden Argentina pada tahun 1946 disebabkan rampasan kuasa yang terjadi di negara itu. Sebaik Juan Peron dilantik menjadi presiden, Evita sekaligus menggelarkan dirinya sebagai "First Lady of Argentina".

Menurut sejarah Argentina, Evita dirakamkan sebagai figura yang berpengaruh dalam bidang politik Kolonel Peron. Melalui populariti yang dikecapinya ini, Evita berjaya mengambil harta negara. Pada tahun 1947, Evita bercuti ke Eropah dengan alasan untuk sebuah lawatan rasmi negara. Menerusi dakwaan oleh musuh politik, 'lawatan' ini sebenarnya bertujuan untuk membuka akaun bank di Switzerland.

Ternyata, Evita dibenci dan mencetuskan kontroversi hingga ke akhir hayatnya. Ketika mayatnya diawet dan dipamerkan kepada orang awam sementara monumen disiapkan untuk jenazahnya, Peron terpaksa lari ke luar negara dek kerana rampasan kuasa tentera pada tahun 1955. Pada masa itu, mayat Evita turut hilang dilarikan tanpa jejak sehingga menjadi misteri selama 16 tahun.

Akhirnya, jenazahnya ditemui dalam keadaan tidak sempurna di Itali akibat tertanam serta dirosakkan. Mayat Peron juga dicincang rakyatnya. Tangannya dipotong dengan gergaji dan dijadikan tebusan bernilai $8 juta.

3. Raden Ayu Siti Hartinah

raden ayu siti hartinah 117

Raden Ayu Siti Hartinah atau mesra dipanggil "Ibu Tien", merupakan isteri kedua kepada Jeneral Suharto. Pada tahun 1965, sebuah rampasan kuasa dilakukan Jeneral Suharto yang menerima tajaan CIA.

Ibu Tien juga menjadi "First Lady of Indonesia" yang amat berpengaruh. Media tempatan dan luar negara juga melaporkan tentang peranan Ibu Tien di sebalik kuasa pemerintahan Jeneral Suharto pada ketika itu.

Jeneral Haji Muhamad Suharto dikenali dengan cara pemerintahan yang kejam dan ganas. Buktinya, Suharto telah membunuh lebih dari 3 juta penyokong Sukarno bagi mengukuhkan rampasan kuasa yang dilakukannya. Selepas berjaya memegang kuasa sebagai pemimpin, ribuan warga Indonesia telah hilang. Pada tahun 1975, Suharto menyerang dan menawan East Timor iaitu tanah jajahan Portugal.

Jeneral Suharto juga memerangi gerakan pembebasan Papua Merdeka dan Gerakan Acheh Merdeka. Sejak itu, ramai mula menggelar Radin Ayu Siti Hartinah sebagai "Ibu Ten Percent". Ini kerana setiap projek di Indonesia yang mahu mendapat kelulusan diwajibkan membayar duit kopi berjumlah 10% kepadanya.

Jeneral Suharto juga dikhabarkan menjadi orang terkaya di Asia. Beliau turut berkawan rapat dengan ramai bangsawan Tionghua bagi mengumpul harta dan berjoli. Semua kroninya mendapat kekebalan politik dan diplomatik atas alasan persaudaraan dengan keluarga Suharto.

Oleh sebab kemarahan rakyat, Suharto dipaksa turun tahta pada 21 Mei 1998 melalui rusuhan besar-besaran yang dimulai dengan "Tragedi Tri Sakti".

4. Imelda Marcos

imelda marcos

"First Lady of The Philipinnes", Imelda Marcos merupakan bekas ratu cantik yang terlibat dalam dunia pelacuran kepada golongan berkuasa. Akhirnya, Imelda berkahwin dengan Presiden Marcos, seorang diktator yang berkuasa di Filipina dari tahun 1965 hingga 1986.

Imelda cukup berpengaruh dalam kerajaan Marcos. Beliau dikatakan telah merompak dan merampas harta milik negara Filipina selama tempoh 20 tahun. Oleh sebab dasar anti-komunis, misi Marcos juga dipelihara dan dibantu oleh CIA dan Amerika Syarikat. 

Pada zaman pemerintahan Marcos, ratusan aktivis NGO dan anti-diktator hilang tanpa dijejaki. Warga Filipina juga terpaksa melayan sifat Imelda yang muncul di kaca televisyen dan surat khabar pada setiap hari. Segala kenduri dan pesta yang diadakan oleh Imelda menjadi bualan satu dunia sehingga hari ini.

Imelda juga pernah menganjurkan festival filem yang dicanang sebagai lebih berprestij dari Festival Filem Cannes. Pada tahun 1986, semuanya berakhir apabila jutaan rakyat Filipina berkumpul di jalan raya bagi menghalau kaum keluarga Marcos keluar dari negara itu.

Muzium Marikina, "Sarang Sepatu" yang menyimpan 3000 pasang kasut Imelda Marcos adalah antara tinggalan sejarah kisah wanita yang cukup dikenali dengan sifat boros ini. Nilai barang kemas Imelda yang dirampas kerajaan sahaja bernilai $365 juta.

5. Leila Ben Ali

leila ben ali

Leila Ben Ali asalnya hanya bekerja sebagai pendandan rambut, namun berjaya berkahwin secara licik dengan Zainal Abidin Ali. Pada tahun 1987, Zainal Abidin Ali merampas kuasa untuk menjadi Presiden Tunisia.

Leila kemudiannya mengarahkan media Tunisia untuk memanggil dirinya "First Lady of Tunisia". Leila telah menubuhkan SAIDA iaitu badan amal untuk melawan penyakit barah. Ia bagi membuktikan beliau merupakan seorang figura yang prihatin. Melalui SAIDA ini juga, dana negara telah disalurkan ke poketnya sendiri.

Gaya hidup Leila seringkali mencuri tumpuan. Media Perancis melaporkan yang Leila pernah menghantar sebuah pesawat khas untuk terbang ke Selatan Perancis semata-mata demi membeli aiskrim kegemarannya.

Pada 4 Januari 2011, seorang pemuda bernama Mohamed Bouazizi telah melakukan protes dengan membakar dirinya sendiri. Oleh itu, sebuah gerakan jalan raya telah berlaku di Tunisia yang menamatkan kuasa Leila dan Zainal Abidin yang dipegang selama tempoh 22 tahun.

Sewaktu menjadi buruan rakyat, Leila dan Zainal memecah masuk ke dalam Bank Negara Tunisia dan melarikan 60 kilo jongkong emas ke Saudi Arabia. Kerajaan baru Tunisia menjatuhkan hukuman 35 tahun penjara kepada pasangan suami isteri ini. Sehingga hari ini, Interpol masih sedang memburu Leila dan Zainal atas tuduhan membunuh serta melarikan dana negara.

Rujukan:

1.    Malaysiakini

2.    Facebook Warga Prihatin

Imej:

1.    The Daily Beast

2.    EPA

3.    suratkabar.id

4.    Free Republic

5.    AP




Hakcipta iluminasi.com (2017)