Apabila berlaku sesuatu insiden melibatkan penerbangan, selain daripada mengetahui berapakah jumlah penumpang yang terselamat atau terkorban dan sebab kenapa insiden itu berlaku, salah satu perkara yang akan diberikan perhatian adalah pengeluar pesawat tersebut.

Ini kerana pihak pengeluar pesawat akan turut sama menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca berlakunya tragedi-tragedi. Menjadi pengeluar pesawat memerlukan sesebuah syarikat itu memikul amanah yang sangat tinggi, dalam memastikan keselamatan mereka yang bakal menaiki produk-produk mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima pengeluar pesawat terkenal di serata dunia yang diyakini produk mereka serta mempunyai reputasi yang baik di kalangan pengguna-pengguna pengangkutan udara.

1. Airbus

airbus syarikat kapal terbang

Kini didaftarkan di bawah syarikat European Aeronautic Defence and Space Company atau EADS dan menggunakan jenama Airbus, jenama ini beroperasi dalam tiga divisyen iaitu pengeluaran pesawat komersial, pesawat ketenteraan dan angkasa serta helikopter. Airbus berpusat di Leiden, Belanda dengan penurusannya pula ditempatkan di Toulouse, Perancis.

Airbus memulakan perniagaan pada tahun 1970 dengan pembukaan Airbus Industrie GIE. Tujuan penubuhan Airbus pada awalnya adalah untuk mewujudkan sebuah konsortium milik Eropah yang dapat bersaing dengan beberapa syarikat milik Amerika Syarikat seperti Boeing, McDonnell Douglas dan Lockheed. Perbincangan di antara kerajaan Perancis, Jerman Barat dan United Kingdom mengambil masa 3 tahun sebelum Airbus berjaya ditubuhkan.

Kapal terbang pertama milik Airbus adalah sebuah model yang dinamakan A300, yang mula digunakan pada tahun 1972. Mampu memuatkan lebih 260 orang penumpang dalam satu masa, A300 mampu terbang sejauh 7,540 km dengan satu tangki dan muatan penuh. Produk Airbus yang paling terkenal pula adalah model A380 yang merupakan pesawat penumpang terbesar di dunia.

2. Bombardier Aerospace

bombardier pengeluar kapal terbang

Bombardier Aerospace adalah anak syarikat kepada Bombardier Inc. yang berpusat di Quebec, Kanada. Ditubuhkan pada tahun 1989 melalui penggabungan beberapa buah syarikat, teknologi yang digunakan oleh Bombardier datang daripada gabungan pengalaman-pengalaman pembuat kapal terbang Short Brothers di Ireland, syarikat Amerika bernama Learjet serta sebuah syarikat bekas subsidiari Boeing yang dimiliki mereka, iaitu de Havilland Aircraft of Canada.

Bombardier telah pun menjalinkan kerjasama dengan syarikat pembinaan kapal terbang Airbus pada tahun 2017, bagi pembangunan model siri C jenama Bombardier dalam meningkatkan keupayaan produk mereka. Hasil daripada kerjasama itu, Bombardier dan Airbus kini memiliki sebuah unit perkongsian yang dipasarkan oleh Airbus sebagai model A220, sebuah pesawat saiz sederhana yang mampu memuatkan 100 ke 150 tempat duduk.

Pesawat keluaran Bombardier tidak mensasarkan kapasiti yang tinggi, dengan modelnya yang paling terkenal iaitu CRJ700-1000 kini banyak digunakan oleh China Express Airlines, Garuda Indonesia dan juga banyak lagi syarikat kapal terbang komersial lain.

3. Cessna

cessna 172 prngeluar kapal terbang

Nama Cessna kerap kedengaran dalam media negara kita kerana pesawat keluaran mereka memang banyak digunakan sama ada secara komersial ataupun persendirian. Ditubuhkan oleh Clyde Cessna pada tahun 1911, perusahaan kecil-kecilan beliau akhirnya menjadi satu syarikat pada tahun 1927.

Terkenal sebagai pengeluar pesawat bersaiz kecil dan ringan, Cessna menjadikan model perniagaan tersebut kekal sehingga ke hari ini walaupun sudah bertukar-tukar pemilik beberapa kali - dalam memenuhi permintaan peminat pesawat kecil. Model Cessna 172 adalah pesawat paling banyak dikeluarkan di antara semua jenis pesawat dan diiktiraf sebagai pesawat paling berjaya dalam pasaran.

Model tersebut masih dijual sehingga ke hari ini dan apa yang lebih mengagumkan, model itu telah pun dijual sejak tahun 1956. Sangat terkenal dengan ketahanannya, model Cessna 172 memegang rekod dunia terbang tanpa henti dalam tempoh 64 hari, 22 jam 19 minit dan 5 saat yang dicatatkan pada 4 Disember 1958 sehingga 7 Februari 1959.

4. Gulfstream Aerospace

gulfstream aerospace

Memulakan perniagaan sebagai sebuah pembina kapal terbang tentera, Grumman Aircraft Engineering membina kapal terbang bertaraf perniagaan pertama mereka di Bethpage, New York. Dinamakan dengan nama Gulftsream I (GI) sempena nama arus yang melanda kawasan pantai Florida, GI menjalankan penerbangan pertama pada 14 Ogos 1958 serta membawa 12 orang penumpang.

Kejayaan Gulfstream I yang mensasarkan penerbangan bercorak mewah sesuai dengan ahli perniagaan, mendapat sambutan menggalakkan dan pembinaan model-model baru iaitu GII dan GIII dijalankan. Bermula tahun 2002, model-model Gulfstream mula menggunakan sistem penamaan dengan nombor Hindu-Arabik bagi memudahkan pengguna mengenalpasti setiap model mereka.

Ketika ini semua pesawat Gulfstream adalah pesawat-pesawat mewah dengan kapasiti tertinggi hanyalah untuk menerbangkan 19 orang. Model terbesar mereka iaitu Gulfstream G650 dilancarkan pada tahun 2008 mampu terbang sejauh 13,890km dalam satu perjalanan. Tetapi hanya orang-orang tertentu sajalah yang boleh merasai pengalaman menaiki kapal terbang keluaran Gulfstream ni.

5. Boeing

boeing airbus lion air

Nahas pesawat Lion Air penerbangan JT610 memang mengejutkan kita semua, apatah lagi apabila diberitakan pesawat yang terhempas di lautan itu baru saja dua bulan tiba di Indonesia untuk berkhidmat. Walaupun insiden itu mungkin sedikit sebanyak akan menimbulkan kontroversi terhadap pengeluar pesawat Boeing - reputasi mereka sebenarnya sangat kukuh dan menjadi salah satu daripada dua pengeluar pesawat terbesar dunia.

Boeing diasaskan oleh William E.Boeing yang membuka kilang kapal terbangnya di Seattle pada tahun 1910 atas nama Pacific Aero Products Co. Memanfaatkan pengalamannya dalam bidang pertukangan dan perkayuan, Boeing menggunakan kemahirannya dalam rekaan struktur kapal terbang dengan berkesan. Kapal terbang beliau yang pertama hasil kerjasama dengan seorang jurutera bernama George Westerveld dilancarkan pada bulan Jun 1916 dengan nama B&W (Boeing & Westerveld).

Kini, Boeing dikatakan adalah pengeluar pesawat terbesar dunia berpusat di Renton, Washington dengan tiga program utama mereka dibahagikan kepada tiga lokasi iaitu di Renton di Washington, Everett di Seattle dan Charleston di Carolina mengikut siri-siri model pengeluaran. Model paling laris keluaran Boeing adalah pesawat 737. Sebanyak 10,200 unit telah dikeluarkan sejak tahun 1967 dan menjadi model paling popular untuk penerbangan komersial di serata dunia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)