Biasanya, jambatan dibina untuk tujuan menghubungkan dua tempat berasingan yang sukar dilalui menggunakan jalan biasa. Terdapat pelbagai jambatan zaman moden yang telah dibina seperti jambatan jalan raya yang boleh dilalui kenderaan, jambatan kereta api dan pelbagai jenis lagi.

Namun, sejarah membuktikan jambatan telah digunakan untuk sekian lamanya. Ia menjadi alat penghubung bagi manusia untuk menyeberangi gunung dan jurang. Apa yang menakutkan ialah jambatan seperti ini hanyalah untuk penjalan kaki sahaja. Jambatan menakutkan sebegini masih lagi wujud sama ada ianya baru atau diperbaharui. Berikut adalah beberapa jambatan paling menakutkan untuk dilalui di dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

10. Jambatan tali Carrick-a-Rede - Ireland Utara

jambatan tali carrick a rede

Jambatan tali Carrick-a-Rede adalah sebuah jambatan yang terkenal di daerah Antrim di Ireland Utara. Jambatan ini menjadi penghubung antara tanah besar dengan Pulau Carrickarede. Jambatan itu mula dibina oleh nelayan ikan salmon kira-kira 250 tahun yang lalu.

Terletak pada ketinggian 30 meter di atas batu-batu besar yang tajam, jambatan itu dianggap sebagai salah satu antara yang menakutkan untuk digunakan kerana angin kuat yang sering menggoncangnya. Keadaan air yang menghentam batu-batu di bawah menambahkan lagi suasana cemas.

Akan tetapi, jambatan itu akan memberikan anda pemandangan indah ke arah perairan dan pulau itu dan akan memberikan anda pengalaman yang begitu berharga. Untuk menggunakan jambatan ini anda perlulah membeli tiket terlebih dahulu. Pada waktu kemuncak musim cuti, tiket untuk menaiki jambatan ini boleh habis dijual seawal pagi.

9. Jambatan Gantung Ghasa - Nepal

jambatan gantung ghasa

Merupakan salah satu jambatan gantung paling menakutkan di Asia, Jambatan Gantung Ghasa ini terletak di kawasan yang dipenuhi penduduk. Jambatan ini diberi nama sempena kawasan penempatan berhampiran iaitu perkampungan Ghasa.

Jambatan gantung itu dibina bagi menyelesaikan masalah yang dialami penduduk di situ apabila terpaksa melalui lereng bukit yang sempit untuk keluar ke kawasan berdekatan.

Apa yang lebih menakjubkan lagi, jambatan gantung ini juga digunakan untuk oleh haiwan ternakan seperti kambing, kaldai, kuda dan lembu. Apa yang pasti ialah jambatan ini akan memberikan rasa gerun pada sesiapa yang mencubanya buat kali pertama.

8. Puente de Ojuela - Mexico

jambatan puente de ojuela

Puente de Ojuela adalah jambatan gantung yang dicipta pada abad ke-19 dan menghubungkan antara dua gunung. Sekiranya anda melalui jambatan ini, anda boleh melihat ngarai yang terdapat di bawah.

Puente de Ojuela ini juga dikenali dengan nama Jambatan Mapimi. Jambatan ini direka oleh orang yang sama mereka Jambatan Brooklyn di Amerika Syarikat. Jabatan ini bersaiz 305 meter panjang dan 2 kaki lebar, dan hanya digunakan untuk penjalan kaki sahaja.

Namun begitu, jambatan yang terletak di negeri Durango di Mexico ini sememangnya mencabar keberanian mereka yang melaluinya kerana sedikit bergoyong apabila dilalui. Jambatan yang terletak di lombong emas Ojuela ini disambung menggunakan wayar dan rail besi dan tiada apa yang menyokong jambatan berusia lebih dari 100 tahun ini dari bawah.

7. Jambatan Canopy Walk - Ghana

canopy walk bridge ghana

Jambatan Canopy Walk adalah jambatan tali gantung di tengah hutan hujan Taman Negara Kakum di Ghana. Jambatan Canopy Walk ini terletak pada ketinggian 36 meter dari atas tanah dan akan memberikan anda pemandangan hutan hujan yang menakjubkan.

Jambatan gantung yang sedikit longgar dan bergoyang-goyang ini dibina melalui beberapa pokok besar dan dipenuhi hidupan liar di sekelilingnya memberikan anda pengalaman sebenar berada di hutan. Kini, jambatan Canopy Walk ini telah dipasangkan jaring untuk tujuan keselamatan.

6. Jambatan Gantung Taman Capilano - Kanada

jambatan gantung capilano

Jambatan gantung Capilano ini adalah tarikan utama pelancong yang datang dari seluruh dunia dan Kanada dengan lebih 800,000 kehadiran setiap tahun. Jambatan gantung yang dibina atas Sungai Capilano ini telah berusia lebih dari 100 tahun.

Seorang jurutera awam dari Scotland iaitu George Grant Mackay adalah lelaki yang bertanggungjawab membina jambatan ini. Jambatan ini mempunyai jarak 137 meter panjang dan 70 meter tinggi. Namun, kemalangan sering berlaku di jambatan ini melibatkan beberapa insiden.

Pada tahun 1999, seorang wanita tidak sengaja menjatuhkan anaknya yang berusia 18 bulan. Pada tahun 2006 pula, sebatang pokok fir Dauglas yang berusia lebih 300 tahun telah tumbang ketika ribut salji yang tebal dan terkena pada jambatan ini. Pada 2012, seorang pengunjung berusia 30 tahun dari Ontario mati apabila terjatuh dari jambatan itu. Pada tahun yang sama juga seorang remaja mati ketika cuba memanjat landasan dan terjatuh pada ketinggian 30 meter.

5. Jambatan Musou Tsuribashi, Japan

jambatan musou tsuribashi

Jambatan Musou Tsuribashi tidak diragui lagi sebagai salah satu jambatan tali paling menakutkan di Jepun. Walaupun jambatan ini sudah berusia lebih dari 50 tahun, tetapi ia kelihatan lebih tua berbanding yang sepatutnya. Tujuan utama jambatan ini dibina masih belum diketahui.

Jambatan ini dibina menggunakan wayar halus dan papan yang nipis untuk dipijak. Setiap langkah yang anda lalui akan mengeluarkan bunyi, menambahkan lagi ketakutan dan membuatkan jantung anda berdegup kencang. Disebabkan jambatan ini tidak diselia dengan baik, ia mungkin akan runtuh pada bila-bila masa sahaja.

4. Sky Bridge Langkawi - Malaysia

langkawi sky bridge

Jambatan Sky Bridge Langkawi merupakan jambatan kabel penjalan kaki yang melengkung dan terletak pada ketinggian 661 meter di atas paras laut. Jambatan ini terletak di puncak Gunung Mat Cincang di Pulau Langkawi, Kedah.

Jambatan ini berukuran 125 meter panjang dan 1.8 meter lebar. Walaupun agak menakutkan untuk menyeberangi jambatan ini, namun ia memberikan anda pemandangan yang sangat cantik berhadapan dengan luat Andaman dan juga bukit bukau yang dipenuhi dengan pokok-pokok hijau.

Oleh kerana bentuknya yang melengkung, jambatan Sky Bridge ini dianggap sebagai salah satu kehebatan kejuruteraan. Bukan itu sahaja, jambatan ini juga dapat menampung 250 orang pada satu-satu masa. Bayaran sebanyak RM 5 akan dikenakan bagi pengunjung dewasa manakala kanak-kanak pula sebanyak RM3.

3. Jambatan Gantung Hussaini - Pakistan

jambatan gantung hussaini lama

Jambatan Gantung Hussaini lama

Jambatan Gantung Hussaini ini dianggap sebagai salah satu jambatan yang paling berbahaya di dunia. Melihat daripada jambatan ini sahaja sudah cukup untuk membuatkan anda berasa kecut. Walaupun pada zaman yang serba canggih ini, anda boleh ke mana sahaja dengan pelbagai medium pengangkutan.

Namun, tidak bagi penduduk yang tinggal di daerah Gilgit-Baltistan di Utara Pakistan kerana terpisah dari tanah besar Pakistan sehingga 1978 kerana keadaan gunung dan keadaan jalan yang tidak menentu. Anda boleh pergi ke sana melalui kapal terbang, tetapi ia hanya untuk golongan orang kaya sahaja.

jambatan gantung hussaini baru

Jambatan Gantung Hussaini baru

Pada tahun 1978, lebuh raya Karakoram telah siap dibina untuk menghubungkan daerah itu, namun bagi kawasan yang jauh di pendalaman, keadaannya sukar seperti 100 tahun yang lalu. Hanya setelah terbinanya jambatan gantung Hussaini ini barulah penduduk pendalaman dapat berhubung dengan kawasan yang lebih maju.

2. Jambatan Salbit - Switzerland

jambatan salbit

Jambatan Salbit kini merupakan jambatan gantung kedua tertinggi di Eropah iaitu dengan 2,981 meter di atas paras laut. Sebelum tahun 1948, kawasan ini tidak boleh diakses oleh manusia. Jambatan sepanjang 90 meter ini dibina untuk menyeberangi kawasan pendakian antara khemah Voralp dan khemah Salbit.

Jambatan yang dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Salbitbrücke ini siap dibina pada tahun 2008 dan dibuka untuk laluan umum pada tahun berikutnya. Sebahagian jambatan ini masih lagi terdedah dan agak berbahaya, jadi kebanyakan orang akan membawa peralatan keselamatan tambahan untuk menyeberangi jambatan ini.

1. Titlis Cliff Walk - Switzerland

titlis cliff walk

Jambatan Titlis Cliff Walk ini merupakan jambatan gantung paling tinggi di Eropah dengan 3041 meter di atas paras laut. Jambatan penjalan kaki ini terletak di tebing Gunung Titlis di kawasan pergunungan Apls di Switzerland.

Walaupun berukuran hanya 93 meter panjang, namun jambatan ini agak berbahaya dan boleh memberikan rasa takut kepada sesiapa yang menyeberangnya. Ramai para pengunjung menggambarkan jambatan ini memberikan pengalaman yang hebat buat mereka.

Sekiranya anda seorang pendaki yang berpeluang ke sana, jambatan Titlis Cliff Walk ini adalah suatu perkara wajib yang anda perlu kunjungi. Dari jambatan ini anda dapat melihat pemandangan indah gunung yang dipenuhi salji.




Hakcipta iluminasi.com (2017)